UBN Najib Altantuya: Ramai ADUN Umno boikot Muhyiddin

Dua tokoh utama dalam kumpulan ADUN Umno Terengganu yang menentang menteri besar memboikot majlis untuk merapatkan barisan kepemimpinan negeri yang disertai timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha perhubungan negeri Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno bahagian Hulu Terengganu itu, lapor
Bernama.

Ketika Umno negeri itu dilanda krisis berpanjangan, termasuk desas-desus sembilan wakil rakyatnya ingin melompat menyertai PKR untuk bergabung dengan lapan ADUN PAS, ketiadaan mereka menimbulkan pelbagai spekulasi.

Seorang daripada 15 ADUN yang tidak hadir itu mengesahkan kepada
Malaysiakini petang ini bahawa mereka mengatur pemulauan majlis tersebut kerana ia tidak menolong menyelesaikan konflik dalam parti itu.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Ahmad Said, yang juga menteri besar, hadir di majlis yang disifatkan sangat penting itu.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik berkata kunjungan dan perjumpaannya ini dengan pemimpin Umno negeri "adalah kritikal" bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau, yang juga timbalan perdana menteri, sendiri menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan dua kumpulan tersebut, antara pemimpin pro-Idris dengan pro-Ahmad.

Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.

"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita... bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya.

"Saya melihat Umno dan BN perlu kukuh dan bersatu padu... Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.

Muhyiddin juga percaya tiada wakil rakyat Umno di negeri itu akan
bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.

"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.

Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan