Bagan Pinang ulangi tragedi Ijok dan Pengkalan Pasir / UBN Najib Altantuya /PKFZ

Lanjusoh

SEORANG petugas PAS di Bagan Pinang meluahkan rasa tidak senang hati. Katanya, beberapa penduduk tempatan yang ditemui di situ langsung tidak mempamerkan sikap keruan terhadap isu rasuah membabitkan Tan Sri Isa Samad. Bagi mereka ‘dosa’ bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sudah diampunkan.


“Pada mereka Isa banyak jasa. Sedangkan Zulkefli Mohamad Omar langsung tidak dikenali,” ujar petugas terbabit dari Lembah Klang.

Kenalan yang rapat dengan Umno pula dari awal lagi kelihatan confident majoriti diraih BN bertambah di Bagan Pinang. Dia juga memberi alasan jasa Isa di Teluk Kemang tidak mampu dinafikan.


Petugas pilihan raya dari Selangor juga sering mendengar penduduk tempatan bercakap tentang sikap cakna Isa.


Pemimpin masyarakat India di Kelantan, Musa Amin pula bimbang penduduk India di beberapa ladang mudah tertarik dengan kempen BN.


“Saya takut kalau jentera pilihan raya PAS dan Pakatan Rakyat alpa, penduduk India di ladang akan beralih sokongan. Mereka merupakan penduduk miskin.

“Umno dan BN mempunyai kekuatan wang ringgit. Orang miskin mudah terpengaruh dengan umpan seperti itu,” katanya.


Berdasar kepada situasi awal tersebut, BN sudah berada di hadapan meninggalkan PAS di belakang sebelum hari mengundi.

Dan pada awal malam 11 Oktober lalu, telahan dibuat mereka ternyata mengena. Ladang Atherton berjaya dikuasai semula BN apabila mendapat 218 undi sedangkan PAS meraih 115 undi.


Begitu juga di Sua Betong, BN mendapat 371 undi dan PAS (149 undi). Pekan Siliau pula BN membolot 349 undi, manakala PAS (113 undi).

Sedangkan pada pilihanraya umum 2008, PAS menang di Pekan Siliau apabila mendapat 275 undi. Dan BN pula sebanyak 194 undi.


Begitu juga di Ladang Atherton PAS mendapat 208 undi dan BN (124 undi). PAS turut menang di Sua Betong dengan mendapat 290 undi dan BN (244 undi).

Namun pada 11 Oktober lalu semua statistik itu tiba-tiba berubah.


BN terus mengekalkan pengaruh di Ladang Bradwal dengan memperolehi 215 undi dan PAS mendapat 90 undi. Jumlah itu menunjukkan berlaku pertambahan daripada 172 undi pada Mac 2008.


Undi diraih PAS menurun di ladang terbabit berbanding Mac 2008. Pada Mac 2008 PAS memperolehi 131 undi.


Berdasar kepada perkembangan itu maka tidak hairanlah Dun Bagan Pinang terus kekal di tangan BN.


Pada pilihan raya kecil berkenaan Isa dipertaruh BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan. Akhirnya Isa menang dengan majoriti 5,435 undi.


“Petunjuk yang tidak mampu dinafikan PAS apabila pengundi India sudah beralih semula kepada BN. Mungkin ada kaitan dengan Makkal Sakti.


”Kalau dahulu orang India simpati terhadap perjuangan Hindraf, namun sekarang badan itu sudah berpecah sehingga lahir parti baru, Makkal Sakti. Ini punca pengundi India meninggalkan PAS,” kata sumber Umno di Kuala Lumpur.


Bagaimanapun tanpa sembunyi sumber itu menyebut kuasa duit menjadi punca utama. Duit sudah menarik hati dan perasaan pengundi India di ladang-ladang.


Fenomena itu serupa dengan apa yang berlaku di Manek Urai, 14 Julai lalu. Orang kampung yang rata-rata miskin mudah terperangkap dengan jerangkap wang. Malah ada yang sering berulang alik ke masjid pun tergoda angkara duit.

PAS sebenarnya bermula dengan nombor ‘0’ di Bagan Pinang ketika Umno sudah menggengam erat 4,604 pengundi pos di Bagan Pinang.


Kelebihan itu juga diraihkan bekas Adun, Azman Mohd Noor Umno ketika memenangi Bagan Pinang pada 8 Mac 2008.


Kekuatan undi pos jauh mengatasi jumlah pengundi India dan Melayu yang terayun kepada BN. Bandar Tentera Darat menjadi tahi hayat kepada BN mengekalkan kuasa di Port Dickson dan Malaysia.


Bandar yang diteroka Sir John Frederick Dickson pada zaman pentadbiran di bawah Negeri-Negeri Selat, sudah menjadi perkampungan tentera sejak 1933.


Ketika itu Kompeni Percubaan diwujudkan bagi membentuk Rejimen Askar Melayu Diraja. Di Port Dickson ada Pusat Latihan Tentera Darat. Selain itu ada tujuh lagi institusi latihan milik tentera darat. Mengikut laporan terdapat kira-kira 10,000 anggota yang menetap di Port Dickson sekarang. Di mana-mana sahaja taman perumahan mudah ditemui anggota tentera.


Pada 11 Oktober lalu seramai 3,521 anggota tentera mengundi BN. Jumlah itu meliputi 82.9 peratus daripada 4,604 pengundi pos di Bagan Pinang. Cuma seramai 601 pengundi tentera yang ada keberanian.


Mereka tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang pernah dipalitkan rasuah. Inilah keberanian sebenar seperti yang disebut Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Mursyidul Am PAS itu mahu anggota tentera berani membuat perubahan politik.

“Seharusnya perwira kita perlu berani memberi sokongan padu kepada perjuangan mendaulatkan Islam.


“Tanggungjawab hendaklah dilaksanakan selaras mengikut syariat dan tidak memberi peluang kepada pihak lain mempergunakan kebolehan mereka,” kata Menteri Besar Kelantan.


Tanpa undi pos, Isa tidak mampu melonjat majoriti sehingga 5,435 undi. Hakikat itu dapat diterjemahkan apabila 44.6 peratus daripada 9,060 pengundi biasa tetap memilih PAS. BN mendapat sokongan 55.4 peratus pengundi awam.


PAS hanya ketinggalan 2,495 undi di belakang Isa, kalau diambil kira tanpa kehadiran pengundi pos. Kalau benar begitu Isa hanya mendapat lebihan sebanyak 162 undi berbanding majoriti dipunggut Allahyarham Azman sebelum ini.

Setiausaha Kelah Penyokong Kerajaan Kelantan, Wan Yusoff Wan Mustapha berkata, kemenangan besar Isa mungkin hanya bersifat sementara.


“Situasi itu tidak akan berpanjangan. Undi pos yang meragukan adalah pemangkin kepada kemenangan BN di Bagan Pinang.


“Biar pun Umno menang pada pilihan raya kecil, namun parti itu kalah dari sudut moral. Isu rasuah yang membelit Isa tidak terhenti setakat 11 Oktober lalu,” katanya.


Pengerusi KeADILan Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata, BN banyak taktikal dan tipu helah bagi memenangi setiap pilihan raya kecil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman memberitahu kemenangan Isa tidak bermakna dia sudah bersih dari segala dosa rasuah 2004.


Biar apa pun petunjuk di Bagan Pinang seolah-olah mengulangi apa yang berlaku di di Ijok pada 2007 dan Pengkalan Pasir (2005).


Pilihan raya kecil di Ijok pada 28 April 2007 memperlihatkan calon BN, K Parthiban menang dengan majoriti 1,850 undi. Beliau mendapat 5,884 undi manakala Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari KeADILan memperolehi 4,034 undi.

Sedangkan pada pilihan raya umum 2004, BN menewaskan KeADILan dengan 1,649 undi.Dan pada pilihan raya umum 2008 pula Khalid menang dengan majoriti 1,920 undi.


Di Pengkalan Pasir BN meninggalkan PAS dengan hanya kelebihan 134 undi pada pilihan raya kecil 6 Disember 2005. Ketika itu calon BN, Hanafi Mamat mengatasi Haji Hanifa Ahmad (PAS) dan calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.


Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2008, Hanifa mengatasi Hanafi dengan majoriti 2,348 undi.


Bagan Pinang hanya mengulangi tragedi Ijok dan Pengkalan Pasir.

Oleh itu sekiranya ditakdirkan berlaku pilihan raya kecil kali ke-10, kewujudan kem tentera dan calon bekas menteri besar menjadi taruhan kepada BN.

Tanpa undi tentera 1Malaysia menjadi seperti tidak bermakna. Buktinya ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan