Bila diuji dengan ISA...Berdosa kalau diam, Norlaila / UBN Najib Altantuya / PKFZ

"Semua orang akan mati, tapi tidak semua orang akan kena ISA. Jadi bagi saya, mungkin telah ditakdirkan oleh Allah, saya kena ISA. Jadi bila kita dah diuji dengan ISA ni, anda tak boleh hanya mendiamkan diri, tahu?""Kalau kamu diam," sambil memandang ke arah suaminya, bekas tahanan ISA, Norlaila Othman sambung, "Mat, berdosa ya?"

Demikianlah keyakinan dan ketabahan seorang aktivis Gerakan Mansuhkan ISA, Norlaila Othman (gambar kiri) apabila memilih untuk menentang ketidakadilan yang menimpa pada diri dan keluarganya. Suaminya, Mat Sah Mohd Satray ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada tahun 2002, meninggalkannya bersama seorang anak yang berumur 8 tahun ketika itu, untuk memulakan penderitaan hidup yang bakal dilanjutkan setiap dua tahun...

Sesungguhnya, tujuh tahun bukanlah jangka yang pendek. Bukan senang untuk menahan keperitan hidup, namun lebih sukar untuk menahan godaan. Seperti Mat Sah, Norlaila juga berdepan dengan dilema, apabila diberitahu bahawa tempoh penahanan suaminya dilanjutkan kerana penglibatan dirinya dalam perjuangan Mansuhkan ISA.

Pernahkah Norlaila terfikir untuk mengundur diri dari perjuangan tersebut, apabila digoda dengan "kemungkinan Mat Sah dibebaskan lebih awal"?

"Pernah, tapi terlintas saja." Jawapan Norlaila sama dengan suaminya. Cuma, dari mana datangnya keyakinan dan ketabahan Norlaila?

Punca keyakinan dan ketabahan

Bukan seperti Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berperanan sebagai "isteri Timbalan Perdana Menteri" sebelum suaminya ditendang dari puncak kuasa, Norlaila hanyalah seorang guru sekolah menengah. Ketika Anwar Ibrahim ditumbangkan, keluarganya disokong gerakan reformasi dari setiap pelusuk, dijadikan tumpuan media antarabangsa, sebagai desakan untuk membebaskan tahanan politik tersebut.

Namun, ketika Mat Sah digari dan dibawa pergi hanya dengan alasan "mengancam keselamatan negara", masyarakat sedang diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, ekoran daripada tragedi 911 yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Malah, PAS yang ketika itu ditonjolkan dengan imej pengganas oleh propaganda kerajaan BN, turut berasa ragu-ragu untuk membantu keluarga Mat Sah.

Namun, Norlaila bukan bersendirian. Ketika mengimbas pengalaman pahit yang lalu, Norlaila tidak melupakan bantuan yang dihulurkan wartawan dari Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Yang lebih penting, apabila Norlaila berdepan dengan jalan buntu, kawan-kawannya dari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadikan sandaran.

"Saya luahkan perasaan saya, mereka akan dengar dan kata kepada saya, 'inilah perjuangan, oleh Wan Azizah dan yang lain. Semua wanita struggle,and you are not alone (kamu bukan bersendirian). Kalau kamu nak memperjuangkan keadilan, inilah harga yang mesti dibayar!'" ceritanya.

"We will always be with you, (Kami akan sentiasa bersama anda)" inilah kata-kata daripada kawan Norlaila yang menyuntik semangat agar tidak rebah di tengah perjuangan.

"Kesian dia Mat Sah, bila sampai dia mati orang akan kata dia terrorist(pengganas). Sampai anaknya Suhaib, ada cucu, orang akan kata cucu bekas tahanan ISA. Padahal, Mat Sah orang baik, dianiaya dan dijadikanscapegoat (kambing hitam)."

Inilah kata-kata yang diterima oleh Norlaila sepanjang tujuh tahun. Sokongan sedemikian tidak datang melimpah begitu sahaja. Norlaila mendedahkan rahsianya, "Sebelum orang support (sokong) kita, kita perlu ke depan kan, supaya orang nampak kita!"

Perjuangan berlandaskan prinsip

Ramai yang tertanya-tanya, apakah Norlaila akan mengundur diri selepas suaminya dibebaskan? Norlaila bukan pemimpin Hindraf yang mampu mengerah puluhan ribu penyokong ke jalan raya, tetapi jiwa perjuangannya lebih besar daripada itu.

Norlaila yang rajin membaca, merujuk fakta sepanjang perjuangan membebaskan suami dirinya, memperolehi keyakinan daripada ilmu pengetahuan. Norlaila berasa bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi sesetengah orang PAS, bahawa ISA boleh digunakan terhadap komunis.

Dari pembacaan, Norlaila mendapati tahanan ISA meliputi ahli kesatuan yang memperjuangkan kepentingan buruh, pekerja kilang, peladang dan sebagainya, yang digolongkan sebagai "orang kiri". Malah, Norlaila menganggap komunis turut menyumbang dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair ini, cuma melalui cara yang mereka junjung.

"ISA bukan untuk menangkap komunis yang berjuang di hutan. Itu mitos sahaja." katanya. Norlaila kemudian menyusul, "Sebenarnya ISA untuk menjaga kemelayuan, hak-hak melayu. Bukan hak rakyat Melayu, tapi hak Melayu orang UMNO sahaja. Bukan UMNO semua, tapi segelintir pemimpin UMNO sahaja."

Beliau akhirnya menyimpulkan,"ISA bukan untuk komunis, tetapi alat politik segelintir orang UMNO untuk memastikan survival politik mereka. Itu saja."

Maka, Norlaila menemui jawapan untuk mereka yang teragak-agak untuk menyokong Gerakan Mansuhkan ISA. "The main idea is 'detention without trial'. Kita pegang kepada prinsip. Kamu tak persoalkan kamu ni PAS, DAP, Hindraf, atau Komunis?"

Berasaskan pengetahuan, kepercayaan agama, kata semangat daripada rakan seperjuangkan, Norlaila dengan tabah tampil di pentas antarabangsa, mendedahkan kisah bagaimana keluarganya dibayangi bintik hitam dalam Malaysia yang dilihat sebagai syurga.

"Ramai yang menangis selepas mendengar pengalaman saya, dalam satuconvention di Geneva", dan ini amat bermakna sekiranya dilihat dalam konteks "suasana global untuk memerangi pengganas".

Dalam tempoh tujuh tahun, Norlaila cuba segala upaya untuk memperjuangkan pembebasan suaminya dan pemansuhan ISA. "Segalanya saya lakukan dengan beradab, tetapi apabila kerajaan kurang ajar dengan kita, perlulah kita untuk terus mengajarnya."

Demikianlah seorang wanita yang mengharungi ranjau hidup tujuh tahun. Kepada sesiapa yang masih meragui "kesetiaan" Norlaila untuk tetap bersama perjuangan ini selepas itu, mungkin tersenyum apabila melihat isteri ini dengan manja mengajak suaminya untuk bersama memperjuangkan keadilan. Dengan lembut Norlaila bertanya kepada Mat Sah, di depan wartawan, "Janji ya?"

Lim Hong Siang dan Chen Shaua Fui dari MerdekaReview.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan