Blok Utara & Blok Selatan... / UBN Najib Altantuya / PKFZ
ZUKRI AKSAHPERANG Saudara Amerika yang berlangsung antara tahun 1861 hingga 1865 adalah perang di antara kuasa utara dan kuasa selatan.Secara ideologinya, ia adalah perang di antara kehebatan faham perubahan dengan keunggulan amalan warisan di sana iaitu sama ada menolak atau mengekalkan tradisi perhambaan.Akhirnya kuasa utara menang. Kemenangan itu mengakhiri sistem perhambaan di Amerika walaupun ia tidak berlaku dalam sekelip mata.Dalam konteks Malaysia, jika diamati betul-betul, pengaruh dan fahaman politik juga terbahagi mengikut zon. Saya ingin ambil diri saya sendiri lah sebagai contoh.Dalam tubuh saya, separuh dari darah yang mengalir adalah leluhur selatan, secara spesifiknya Johor. Kebiasaannya dalam kita melakar zon peta negara kita, negeri-negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka ditakrifkan sebagai negeri selatan.Menariknya, dalam konteks politik mutakhir ini, terutama sejak berakhirnya Pilihanraya Umum 2008, seakan telah berlaku juga “perang saudara” di antara blok utara dan blok selatan.Kita semua maklum bahawa negeri-negeri utara semenanjung, termasuk utara pantai timur semenanjung seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan sebahagian besar Perak sekarang ini berada dalam kekuasaan Pakatan Rakyat kecuali Negeri Perlis.Sementara negeri-negeri selatan kekal sehingga hari ini sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional. Negeri-negeri lain bolehlah kita klasifikasikan sebagai penyokong atau sekutu blok utara dan blok selatan ini.Perang besar terakhir yang dilalui oleh kedua-dua blok kuasa ini adalah Pilihanraya Umum 2008. Ketika itulah blok utara membuat kebangkitan.Selain mengambil-alih negeri-negeri di utara semenanjung dan utara pantai timur semenanjung, blok utara juga berjaya menguasai sempadan utara – selatan iaitu negeri Selangor dan sebahagian besar Kuala Lumpur.Kemudiannya, sebelum Bagan Pinang, kita menyaksikan lapan edisi pilihanraya kecil berlangsung, tujuh darinya di semenanjung Malaysia dan ketujuh-tujuh ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat.Yang mungkin tidak diambil perhatian adalah enam dari kawasan yang dimenangi oleh Pakatan ini letaknya di dalam kekuasaan blok utara.Ketika itu, kemaraan blok utara nampaknya seakan sudah tidak tertahan lagi oleh blok selatan. Blok selatan yang nyata bergantung nyawa dan harap kepada negeri-negeri di selatan ini seperti semakin tertekan dan terdesak.Apatah lagi dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, BN yang berperang dengan Pakatan Rakyat di negeri yang secara hemisferanya adalah negeri utara pantai timur semenanjung tetapi masih kuat menjadi sekutu blok selatan, tumbang tanpa diduga.Anwar Ibrahim yang memimpin Pakatan Rakyat bertambah yakin yang beliau akan menjadi Abraham Lincoln dengan “the Union”nya.Lalu datanglah pula Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Bagan Pinang menjadi medan perang yang sangat penting dan strategik buat kedua-dua belah pihak. Bagan Pinang terletak dalam negeri selatan yang dikuasai oleh blok selatan.Bagi BN mereka wajib menang dengan apa cara sekalipun, pertama untuk membuktikan yang Pakatan Rakyat gagal menyebarluaskan pengaruh mereka dari yang sedia ada.Kedua, sebagai sumber keyakinan bahawa mereka akan terus kekal berkuasa memerintah Malaysia selepas Plihanraya Umum Ke-13 nanti, sekurang-kurangnya dengan struktur yang ada sekarang, penguasaan di blok selatan dengan bantuan negeri-negeri Malaysia Timur dan negeri-negeri utara serta utara pantai timur yang masih menjadi sekutu kuat mereka.Kekalahan di Bagan Pinang adalah petanda bahaya kepada BN, petanda pengaruh Pakatan Rakyat sedang menjadi virus yang semakin cepat menjalar, itu yang mahu dihentikan.Bagi Pakatan Rakyat pula, sebagai kuasa blok utara, Bagan Pinang yang letaknya di Negeri Sembilan dilihat mampu berperanan secara strategik menjadi Gemas dalam konteks perhubungan politik.Bagan Pinang boleh membuka laluan kepada Pakatan Rakyat dalam usaha mereka menguasai blok selatan. Sebab itu pertembungan kali ini begitu sengit sehingga kita menyaksikan insiden-insiden yang tidak kita harapkan berlaku.Akhirnya tamat juga Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Keputusannya seperti kita semua sedia maklum berpihak kepada BN. Apapun persoalan berkaitan latar belakangnya, pertaruhan BN terhadap Tan Sri Isa Samad ternyata betul dan balik modal, setidak-tidaknya untuk politik dalaman Negeri Sembilan.Isa Samad bahkan membawa kemenangan yang jauh lebih besar berbanding kemenangan lepas di kawasan yang sama. Ini satu tanda pengukuhan blok selatan.Sebagai seorang yang membawa sebahagian besar darah selatan dalam tubuh saya, saya memahami situasi ini, berdasarkan budaya, khususnya budaya orang politik di blok selatan.Di kala muda dan bebas komitmen dahulu, saya sudah menjelajah dari Mersing ke Kota Tinggi, ke Johor Bharu, ke Batu Pahat, ke Muar, ke Melaka Bandaraya Bersejarah, seterusnya ke Seremban.Selain berhubung dan mengenal saudara serta rakan-taulan, saya juga mengambil kesempatan mengenali budaya orang dari kota-kota selatan ini.Blok selatan menjadi kuasa teraju BN, khususnya Umno yang begitu kuat kerana Umno hidup dalam masyarakatnya secara aktif.Bukan maksud saya aktif mengejar projek atau makan komisyen, tetapi mereka aktif bersama masyarakat, di sana ada Ketua Cawangan Umno yang menjadi Tok Imam dan mengajar mengaji, mereka dihormati masyarakat, JKKK pula adalah organisasi yang terkedepan dalam soal kenduri-kendara, nikah-kahwin, kematian, mengangkat seni-budaya setempat, aktiviti-aktiviti muafakat bersama dan sebagainya, mereka menjadi sandaran masyarakat.Pendek kata mereka sudah membesar menjadi cantuman daging masyarakat, bukan lagi sebagai sebuah institusi politik yang terpisah. Buat masa ini, bagaimana mungkin mereka boleh ditarik dan diceraikan, kerana yang akan luka adalah masyarakat juga.Ini berbeza contohnya dengan negeri Terengganu. Kalau separuh darah saya dari selatan, separuh lagi adalah leluhur negeri Cik Mek Molek ini. PAS pernah menguasai negeri ini untuk tempoh 1999 – 2004 dahulu.Ketika itu masyarakat di negeri ini mempunyai dua jawatankuasa di peringkat kampung mereka. Satu dipanggil JSR (baca: jawatankuasa lantikan Kerajaan PAS Terengganu) dan kedua JKKK (baca: jawatankuasa lantikan JPP, Kerajaan BN Persekutuan).Seperti diceritakan oleh seorang sahabat kepada saya, ada pula anggota JSR dan JKKK ini bersaudara, maka mereka telah membuat perkongsian pintar silang politik yang menguntungkan diri masing-masing bukannya membina penghormatan masyarakat.Sebab itu kita lihat dalam kes Terengganu, rakyatnya mudah sahaja untuk menolak BN, menerima PAS, menolak PAS dan menerima BN kembali, semacam tiada ikatan kesetiaan.Jika mereka, masyarakat ini merasa dicubit, pada mereka pemimpin-pemimpin sama ada dalam JSR atau JKKK ini tidak bersama merasa sakitnya, berbeza dengan masyarakat di blok selatan.Masalahnya masyarakat sedang berubah, tidak boleh tidak tempiasnya turut merenyai di blok selatan. Walaupun ada tanda pengukuhan yang ditunjukkan oleh kemenangan Isa Samad di Bagan Pinang, apakah ada kekuatan yang dibina?Tidak kiralah dari sudut spiritual, material atau moral. Bolehkah rentak kemenangan ini diterus atau ditambah andai muncul lagi pilihanraya-pilihanraya kecil di blok selatan pada masa akan datang?Apakah penguasaan BN di blok selatan ini sekadar penguasaan benteng terakhir blok selatan sebelum dijatuhkan, atau sebaliknya menjadi kubu kuat buat melancarkan serangan balas bagi mengalahkan blok utara dan sekutu-sekutu kuat mereka dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti?-mstar.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan