Idris Harus Berkepala Dingin / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Zolkharnain Abidin

Membaca sanggahan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap Dr Abdul Aziz Bari agak mengejutkan. Bagi saya sanggahan itu kurang objektif dan kurang manis keluar daripada pimpinan kanan PAS Pusat. Idris benar ketika dia membela Presiden dan pimpinan PAS yang lain, tetapi dia tidak patut ‘menyerang balas’ Abdul Aziz, samada atas sifat Abdul Aziz sebagai ahli akademik, apatah lagi atas sifat Abdul Aziz sebagai orang yang turut ‘menyumbang’ dengan caranya yang tersendiri kepada PAS.

Selaku pimpinan kanan PAS Idris, harus berkepala dingin biar pun hati panas. Ini bukan sekadar terhadap golongan akademik seperti Abdul Aziz bahkan terhadap anggota parti paling bawah sekali pun. Watak ini adalah watak para nabi.

Baca kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-hud. Rujuk surah an-Naml ayat 20. Burung Hud-hud adalah burung kecil sahaja jika dibandingkan dengan besarnya kekuatan dan bilangan tentera Sulaiman yang terdiri daripada manusia, jin dan binatang. Ketiadaan burung Hud-hud jika tidak diambil kira oleh Sulaiman pun tidak menjejaskan apa-apa.

Tetapi, bagaimana sikap Sulaiman? Dia mencari burung Hud-hud, bahkan Sulaiman bersedia menghukum burung itu sekiranya ketiadaannya dalam barisan tentera tanpa alasan menasabah. Akhirnya burung Hud-hud tampil dengan berita besar. Berita tentang kekufuran seorang maharani di negeri Saba’.

Tindakan Sulaiman mencari burung Hud-hud dan bersedia menghukumnya menggambarkan keprihatinan Sulaiman terhadap setiap individu tenteranya. Selepas Sulaiman mendengar penjelasan burung hud-hud, dia tidak ‘menyerang balas’ burung Hud-hud tetapi segera direncanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu.

Ini sebenarnya seni kepimpinan seorang pemimpin bila berhadapan dengan kerenah orang yang dipimpin. Saya agak hairan bila Idris seperti tidak menguasai seni ini sedangkan dia adalah bekas TPJ Perak dan Timbalan Ketua DPP Pusat.

Mengapa Idris tidak meletakkan dirinya di tempat Sulaiman dengan menganggap penting semua maklumat yang disampaikan dan seterusnya merencanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu? Perlukah Abdul Aziz ‘diserang’ kembali?

Pemimpin tidak tahu semua perkara. Tidak semestinya orang yang berada di atas nampak semua benda. Dia mungkin nampak gajah yang berjalan tetapi dia tidak nampak semut yang merayap. Sulaiman adalah seorang nabi, menerima wahyu, tenteranya tidak terbilang, tetapi baginda ‘terlepas pandang’ terhadap isu di negeri Saba’.

Bila burung Hud-hud tampil dengan maklumat sebegitu besar, Sulaiman sangat berlapang dada menerimanya. Walau pun, secara zahirnya maklumat itu mencabar wibawa Sulaiman, yakni, bagaimana seorang nabi ‘tidak tahu atau tidak peka’ terhadap kekufuran seorang maharani?

Pemain bolasepak tidak tahu semua perkara. Kadang-kadang penonton lebih tahu apa yang patut dibuat oleh pemain berbanding pemain sendiri. Apa salahnya pemain menerima idea dan kritikan penonton itu? Jangan bimbang, penonton yang mengkritik pemain itu tidak akan menggantikan tempat pemain.

Ahli akademik memang sebahagian kerjanya adalah di bilik berhawa dingin. Walau pun mereka tidak turun ke medan tetapi mereka mendapat akses terhadap maklumat daripada sumber yang banyak dan berwibawa. Ibarat seorang jurutera, dia tidak perlu setiap jam berada di tapak pembinaan. Dia hanya mendapat maklumat sahaja daripada mandur yang dilantik. Dengan maklumat itu dia boleh membuat tanggapan, analisa dan keputusan.

Saya sangat berharap, pemimpin terutamanya pemimpin kanan PAS lebih berlapang dada apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Apa salahnya, walau pun Idris tidak berupaya berterima kasih dengan dengan pandangan Abdul Aziz itu, dia mengeluarkan kenyataan menyambut baik pandangan itu.

Bukankah itu lebih manis?

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan