Integriti, Bala dan Kumutha di Bagan Pinang / Nizar / PKFZ

Ahmad Lutfi Othman

PENGUNDI di Malaysia, melalui pilihan raya umum 8 Mac 2008 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, semakin bijak memilih dan mementingkan calon yang berintegriti.

Di Permatang Pasir, personaliti calon BN yang bermasalah menjadi tumpuan dan kritikan, hinggakan pemimpin atasan parti pun tidak mampu mempertahankannya. Begitu juga di Kuala Terengganu, walaupun penyandangnya BN, sejak awal wibawa calon PAS jauh meninggalkan ayam tambatan Umno, yang juga timbalan menteri yang baru meletakkan jawatan.

Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan agar jangan memandang rendah keupayaan intelektual pengundi hari ini. Bekas Perdana Menteri itu langsung tidak bersedia berkempen untuk Isa, yang dilihatnya bakal menyebabkan Umno secara keseluruhannya akan menghadapi lebih banyak masalah, walaupun mungkin boleh membawa kemenangan mudah buat Bn.

Memilih Isa Samad, yang sudah disabitkan amalan rasuah semasa berkempen merebut Naib Presiden Umno 2004 dan digantung selama enam tahun tetapi dikurangkan tiga tahun selepas rayuan, akan meninggalkan kesan buruk yang mendalam ke atas usaha Umno dan kerajaan untuk membanteras korupsi yang semakin membudaya dalam masyarakat.

Di atas kertas, Isa mungkin sukar dikalahkan, tetapi kemenangannya itu bakal membawa persepsi salah terhadap kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Seolah-olah pengundi kita - seperti juga pemimpin BN (dan sebelumnya perwakilan Umno) - langsung tidak mementingkan soal integriti calon jika mereka memenangkan Isa.

Apa pun saya percaya, jika masyarakat kita didedahkan dengan kefahaman sebenar tentang kejijikan rasuah dan kebaikan memilih kepimpinan berintegriti, serta hubungannya dengan penghayatan hidup beragama, maka orang yang terbukti korup seperti Isa bukan sahaja akan ditolak rakyat, malah tidak ada mana-mana parti yang bersedia mencalonkannya. Bukan itu sahaja, tokoh rasuah yang dicalonkan juga berasa malu dan menarik diri dari awal-awal lagi.

Justeru, ramai menunggu keputusan di Bagan Pinang, sebuah kawasan semi-urban di selatan Semenanjung, bagi menjangkakan pola pengundian dalam pilihan raya umum paling kritikal buat BN dan juga Pakatan, sekitar 2-3 tahun akan datang.

Menang atau, apatah lagi, kalah dalam pilihan raya kecil ini, buat BN, ia langsung tidak boleh disandarkan harapan untuk kita mengembalikan satu budaya politik yang berintegriti, beretika dan bermaruah.

II.

Semasa membuat tinjauan persiapan Harakah di markas besar jentera kempen PAS Bagan Pinang, Ahad lalu, saya sempat berbual-bual dengan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India (KPPI) Malaysia, N Balasubramaniam yang ternyata bersemangat membantu kempen Pakatan Rakyat. Sebelum hari penamaan calon lagi beliau sudah dua kali turun ke kawasan Dun yang mempunyai pengundi India sekitar 20 peratus itu.

"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," katanya, sambil menjelaskan banyak isu memihak PAS, seperti perarakan kepala lembu di Shah Alam, kenyataaan pemimpin Umno yang merendahkan kaum India dan janji MIC semasa kempen pilihan raya 2008 yang tidak tertunai. Beliau memberitahu lebih 200 aktivis KPPI hadir semasa hari penamaan calon dan 20 daripadanya akan berkampung untuk berkempen sehingga hari mengundi.

"MIC janji nak bagi tanah satu hektar kepada setiap keluarga di Estet Sua Betong, tapi mereka perlu dapatkan dulu bangunan sekolah Tamil yang kini ditempatkan di atas rumah kedai di Lukut," ujarnya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana mula beliau tertarik dengan Parti Islam, Bala yang juga pernah menjadi sami, percaya sesiapa saja yang patuh kepada ajaran agama, dan dalam Islam mengikut al-Quran seperti diamalkan penyokong dan pemimpin PAS, maka ia akan membawa kebaikan dan perlu disokong.

Bala juga tidak bimbang dengan kempen MIC di kawasan ladang, begitu juga dengan pemilihan Isa sebagai calon BN. "Selama lebih 20 tahun jadi MB, ISA tak rapat pun dengan akar umbi. Dalam masa 50 tahun BN memerintah, kami dilupakan dan tiada usaha serius untuk membangunkan masyarakat India," tegasnya.

Mengulas kehadiran agak ramai mereka yang mendakwa anggota Kelab Penyokong BN semasa hari penamaan calon, Bala berkata, kebanyakannya adalah pelajar Kolej Tafe milik MIC yang belum pun 'cukup umur untuk menjadi pengundi'. "Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh berkempen memenangkan PAS," tambahnya.

Turut dalam pertemuan itu, R Kumutha, Ketua Wanita KPPI Malaysia, yang tidak lokek dengan senyuman manisnya. Beliau yang pernah mewakili PAS, tetapi atas simbol KeADILan, dalam pilihan raya umum 2008 di Johor, cukup yakin masyarakat India sukar untuk kembali menyokong BN.

"Sepanjang kami berkempen dari rumah ke rumah, penerimaan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Saya menjelaskan tujuan kami datang ke rumah mereka, mendedahkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka, seperti pendidikan dan kerjaya anak-anak. Dan jika mahukan perubahan, kita harus sokong PAS," jelas Kumutha, yang juga seorang peguam.

Beliau yang arif tentang perlembagaan PAS mudah menjelaskan sebarang salah faham yang ditimbulkan pengundi: "Selain isu hudud yang saya jelaskan berdasarkan perlembagaan parti, contoh kesederhanaan hidup Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dibandingkan gaya hidup pemimpin BN, misalnya Dr Khir Toyo yang mempunyai istana mewah, begitu menarik minat mereka. Begitu juga dengan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat."

Lebih menarik apabila wanita muda yang berasal dari Johor Bahru ini menceritakan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya umum, Mac 2008. Kumutha yang hanya balik dari United Kingdom pada Julai 2007 selepas menamatkan pengajian undang-undangnya tertarik dengan PAS selepas mengikuti ceramah pada awal 2008.

"Saya tidak dapat lupa sokongan tulus ikhlas orang PAS, mereka begitu ringan tulang membantu saya," ujarnya.

Bagi Kamutha dan Bala, masa depan PAS di negara ini "begitu menjanjikan". Tembok perkauman yang roboh, selaras dengan motto"PAS for All", perlu disusuli dengan sikap yang konsisten demi membebaskan Malaysia daripada segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Bagan Pinang memang penting buat PAS, Pakatan dan juga BN, namun apa jua keputusannya nanti, momentum perubahan politik ke selatan tanahair sudah tidak dapat disekat lagi," kata Kumutha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan