ABD. JALIL ALI
Kita banyak betul ‘jawatankuasa khas’
Dua hari lalu kerajaan menimbangkan kemungkinan menubuhkan satu unit khas gabungan beberapa kementerian bagi menangani masalah penderaan dalam kalangan pembantu rumah asing. Kenyataan di Kuala Lumpur itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berikutan kematian Mantik Hani, 36, pembantu rumah warga Indonesia yang didera oleh majikannya di Taman Sentosa, Klang.
Demikianlah, setiap kali ada tragedi, kita pasti akan menubuhkan jawatan kuasa khas. Dulu, kini, dan selamanya orang kita memang suka benda-benda macam itu. Pantang meletup sikit, tubuh jawatan kuasa khas. Pantang terusik sikit, tubuh unit khas, atau pasukan khas. Sekolah roboh, ada jawatankuasa khas. Murid cirit-birit keracunan di kantin, ada jawatankuasa khas. Nahas bas, satu lagi jawatankuasa khas.
Kalau jawatankuasa khas tidak memadai, kita minta tubuh suruhanjaya khas. Kalau tidak cukup juga, tubuh pula Suruhanjaya Diraja. Sebab itu setahun dua ini kita sudah ada berpuluh-puluh jawatankuasa khas, dan tiga-empat suruhanjaya. Semuanya ditubuhkan untuk menyiasat tragedi: tanah runtuh, bangunan runtuh, masjid runtuh, makmal sekolah runtuh, pejabat kerajaan runtuh, tembok runtuh, dan paling akhir jambatan gantung di Perak runtuh.
Ada ketikanya penubuhan unit khas, jawatankuasa khas, juga suruhanjaya khas, dirasakan tidak perlu. Bukan sahaja tidak perlu tetapi juga membuang tenaga. Pada hal tanpa yang khas-khas itu siasatan boleh dilakukan dengan sempurna. Dalam kes pembantu rumah kena dera, kita sudah ada cukup prasarana untuk menanganinya. Ada polis dan pihak berkuasa lain untuk menjalankan siasatan.
Mantik Hani yang ingin mencari rezeki di sini, sudah sah mati didera. Tidak sukar mencari siapa penderanya, sebab wanita itu hanya tinggal di rumah majikannya. Cari sahaja siapa majikannya dan siasat secara terperinci. Ini kerja polis. Polis kita boleh menyiasat kes yang jauh lebih besar dan tragis – Altantuya kena bom, umpamanya! – apa susahnya mengesan majikan yang mendera Mantik? Sekiranya ada bukti memang majikan yang melakukan penderaan maut itu, heret sahaja dia ke mahkamah. Habis cerita.
Kes jambatan gantung lagi mudah. Sudah diketahui jambatan tersebut baru dua minggu dibuka. Baru dua minggu, sudah runtuh, mesti ada yang tidak kena. Kita tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas hanya untuk menyiasat punca jambatan itu roboh. Penubuhan jawatankuasa khas hanya menambahkan birokrasi. Birokrasi akan hanya melambatkan lagi kes yang boleh dilangsaikan secara mudah.
Sudah dilihat struktur binaannya tidak sempurna. Sudah diketahui bahan binaan yang digunakan tidak sesuai. Itu yang kita patut siasat. Kita ada jurutera JKR untuk mengesahkan binaan yang tidak sesuai. Kita ada arkitek, ada juruukur bahan, dan lain-lain profesional di jabatan dan pihak berkuasa berkenaan. Apakah kita tidak percaya pada kepakaran mereka sehingga kita memerlukan jawatankuasa khas? Kita ada SPRM. Kita sudah tahu siapa pemajunya, dapatkanlah maklumat darinya. Kalau ada penyelewengan SPRM pasti boleh membantu.
Atau, apakah SPRM terlalu sibuk dengan kes-kes penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, sehingga tidak cukup kakitangan untuk menyiasat kes-kes seperti jambatan gantung runtuh? Harap-harap tidak ada desakan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat penyelewengan berjuta-juta yang didedahkan dalam laporan tersebut! Komputer riba berharga tidak sampai RM5,000 seunit, dibeli oleh sebuah institusi kerajaan pada harga lebih RM40,000 seunit. Itu rasuah yang nyata, siasat segera.
Pada hemat saya bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan penubuhan jawatankuasa khas. Sejarah telah membuktikan penubuhan sekian banyak jawatankuasa khas tidak menyegerakan siasatan, malah semakin melambat-lambatkan kes. Banyak yang kita tubuhkan untuk menyiasat, tetapi hasilnya tidak ada.
Stadium berharga berjuta ringgit runtuh begitu sahaja di Terengganu tidak lama dulu. Kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa khas, sampai sekarang kita tidak tahu apa hasilnya. Belum ada kontraktor yang diheret ke mahkamah, tidak ada pun pembekal yang didenda. Semua nampak seperti biasa sekarang, macam tidak ada apa-apa. Tanah runtuh di Hulu Klang menyebabkan berpuluh rumah musnah dan nyawa melayang, ada juga jawatankuasa khas. Sampai sekarang tidak siapa yang tahu apa hasil siasatan jawatankuasa khas itu.
Demikianlah, kita asyik menubuhkan banyak jawatankuasa khas, semuanya dengan janji dan ikrar awal “akan melakukan siasatan segera, dan penuh profesional”, fuhh! Tetapi banyak siasatan memakan masa yang lama, dan nampak tidak profesional. Sesetengahnya terlalu lama, hingga bertahun-tahun...akhirnya perkara itu hilang dari ingatan. Bukankah telah dikatakan – dan disahkan – bahawa orang kita mudah lupa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan