Mohd Rashidi Hassan | |
JIKA hendak dikira, barangkali jasa selama 22 tahun Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, hampir menyamai jasa-jasa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sebagai PM, Mahathir merupakan orang yang bertanggungjawab membangun serta mengharumkan nama negara, sehingga terkenal di mata dunia. Jasa-jasa Mahathir kepada negara cukup besar untuk dikenang dan direkodkan dalam buku-buku sejarah. Manakala sebagai MB, Isa turut punyai tanggungjawab yang sama. Harus diingat bahawa tugas kedua-dua Mahathir dan Isa sama sahaja. Mereka adalah orang yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan amanah rakyat, memimpin dan membangunkan negara. Sesebuah negara menjadi maju atau membangun, bukan kerana keberkesanan atau kekuatan ideologi yang menjadi dasar pemerintahan. Sama ada Negeri Sembilan, mahu pun Malaysia, membangun bukan kerana dasar-dasar nasionalisme Umno, MCA dan MIC dalam Barisan Nasional. Komunis di negara China juga buat pembangunan. Malah dengan dasar komunis itulah hari ini China sudah menjadi antara kuasa ekonomi dunia yang disegani. Walau apapun dasar sesebuah parti yang memerintah sesebuah negara, pembangunan tetap menjadi tanggungjawab utama kerajaan. Oleh itu rakyat tidak harus termakan dengan dakyah Umno-BN yang mengatakan negara maju kerana pemerintahan mereka. Kerana jika tidak wujud BN pun negara tetap akan membangun, jika tiada Isa Samad pun, Negeri Sembilan tetap akan membangun juga. Jasa-jasa ini tidak perlu diungkit. Jasa-jasa Mahathir selama 22 tahun bukan jaminan untuk beliau terus dihormati atau diterima sebagai pemimpin. Begitu juga dengan Isa Samad. Cuba pembaca imbas kembali apa yang terjadi kepada Mahathir. Bayangkan betapa hebatnya beliau sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2003. Apa yang terjadi? Fakta membuktikan, belumpun dua minggu Mahathir digantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebahagian besar pemimpin Umno-BN sudah lari meninggalkan beliau. Malah ketika Mahathir membuat teguran kepada Abdullah, Mahathir dimaki hamun, dihina, ditindas, dikalahkan dalam pemilihan. Siapa punya kerja semua ini? Tidak lain dan tidak bukan, semuanya ini dilakukan oleh pemimpin Umno-BN sendiri. Mereka ini, hampir semuanya menjadi pemimpin, dilantik jawatan penting dalam kerajaan, menikmati kemudahan dan kesenangan dalam hidup, semuanya kerana jasa Mahathir. Tetapi kerana kepentingan peribadi, perangai mereka menjadi buruk. Mereka lupa daratan dan menjadi seperti 'anjing yang menggigit tangan tuan yang memberinya makan.' Rakyat harus berfikir, mengapa Mahathir yang banyak berjasa kepada orang-orang Umno-BN, suatu ketika disanjung dan dicium tanggannya, dilayan 'macam hampas' oleh mereka? Sikap mereka ini hanya menunjukkan bahawa perjuangan nasionalisme dalam diri mereka sudah terhakis dan mati. Nasionalisme Umno, MCA dan MIC mati kerana pemimpin mereka sudah begitu tamak dan menganut fahaman materialistik. Justeru, jika orang Umno-BN sendiri yang tidak tahu mengenang jasa ketua mereka yang begitu hebat seperti Mahathir, mengapa rakyat Bagan Pinang harus terpedaya untuk mengenang jasa Isa? Mahathir sudah tidak relevan, Isa juga sudah tidak relevan dan mengenang jasa Isa juga sudah tidak relevan sama sekali. Semuanya menjadi tidak relevan kerana dasar nasionalisme yang diamalkan Umno, MCA dan MIC, sudah lapuk dan semakin ditolak rakyat. Usaha mempertaruhkan Isa hanya kerana populariti beliau di Bagan Pinang, hanya menunjukkan bahawa Umno-BN sudah tidak semakin yakin dengan dasar perjuangan mereka sendiri. Bagi mereka kepentingan bangsa, agama dan negara tidak menjadi keutamaan lagi. Tidak kisah letak siapa, penyamun ke, perompak ke, penjenayah ke, perasuah ke, asalkan yang penting Umno-BN menang. Meletakkan Isa sebagai calon BN selepas dijatuh dan dipalitkan dengan tuduhan jenayah rasuah, adalah seumpama 'mengkitar tong najis, kemudiannya dimasukkan nasi di dalamnya' buat jamuan kepada rakyat. Oleh itu, kita mengharapkan rakyat Bagan Pinang, supaya tidak terpedaya dengan kepalsuan yang dihidangkan di hadapan mereka oleh Umno-BN. Mereka harus bertindak bijak mengikuti jejak langkah rakan-rakan pengundi di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti, Manek Urai dan terakhir di Permatang Pasir. Inilah masa terbaik untuk rakyat meninggalkan Umno-BN dan mengundi calon Pakatan Rakyat daripada PAS. Selamat mengundi! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan