Melayu tak sedia meninggalkan bantal busuk bernama Umno / UBN Najib Altantuya

LanH

Nampaknya orang Melayu masih belum sedia melepaskan bantal busuknya y

ang bernama Umno selepas parti itu menang besar di Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil Dun itu 11 Oktober lalu. Malah dengan kemenangan Umno dengan majoriti lebih 5,000 undi, kesetiaan mereka masih berpihak kepada Si Tuah yang taat membabi-buta.

Orang Melayu terlalu bergantung kepada perkara disanjungnya, dalam kes ini Umno yang telah menghuni dalam diri mereka sejak penubuhan parti itu sebelum merdeka sehingga negara sudah 52 tahun bebas daripada cengkaman penjajah.

Mengkaji kecenderungan sesetengah kanak-kanak kepada bantal busuk (dalam kes ini Umno) mungkin dapat melerai persoalan bersediakah orang Melayu meninggalkan Umno dalam menghadapi zaman baru yang lebih mencabar.

Jika sesetengah kanak-kanak tidak lekang dengan bantal busuknya, demikian juga orang Melayu, tidak selesa untuk meneruskan kehidupan tanpa pegangannya.

Daripada zaman kecilnya sehinggalah hampir ke liang lahad, sebahagian Melayu memerlukan wira, idola, tokoh, legenda dan ikon semasa (termasuklah Umno) untuk dijadikan dahan, tempat berpahut sama seperti seorang kanak-kanak mendambakan bantal busuknya.

Hang Tuah adalah antara idola dan ikon Melayu. Sama ada dia benar-benar wujud atau tidak, Hang Tuah tetap membawa kehebatan dan keperkasaan Melayu yang juga mahu dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Seguntang Mahameru.

Zaman berubah, sepanjang sejarahnya, Melayu berusaha mendekatkan diri dengan idolanya. Idola Melayu turut berubah daripada Hang Tuah yang digambarkan sentiasa berkeris kepada 'pahlawan' Melayu berkot dan bertali leher atau sesekali berpakaian Melayu seperti Dr Mahathir Mohamad.

Melayu baru adalah jelmaan Melayu lama. Ia tidak berubah sepenuhnya kerana sebahagian ciri, sifat dan sikapnya masih kekal. Ia masih mengekalkan pemujaan idola Hang Tuahnya (perhatikan bagaimana Melayu baru tetap bangga dengan keris seperti yang dipertunjukkan dalam perhimpunan agung sebuah parti Melayu).

Melayu baru yang mendakwa kontemporari masih mengekalkan cara hidup Melayu lama, jadi tidak hairanlah semoden mana seseorang Melayu itu, ia mengekalkan 'apa-apa yang diajarkan datuk neneknya' seperti adat bersanding, kenduri kendara dan menghidupkan budaya lama berdondang sayang, mak yong, berkuda kepang dan mendendangkan lagu unsur khurafat seperti Ulik Mayang atau Puteri Santubong.

Manusia Melayu yang bertuhankan sesama insan, harta benda, wang ringgit, pangkat, nafsu serakah dan iblis syaitan ini adalah kemuncak kepada pergantungan kepada idola seperti yang menjadi amalan sesetengah orang Melayu.

Slogan-slogan seperti 'hanya......saja mampu buat itu dan ini. Hanya ......saja yang mampu memerintah negara adalah antara manifestasi kebergantungan orang Melayu kepada idola dan pujaannya.

Slogan berbentuk indoktrinasi inilah sebahagian faktor penghalang minda Melayu untuk berkembang dan keluar daripada kepompong menyanjung idolanya sama seperti seorang kanak-kanak yang berpegang kejap kepada bantal busuknya. Sejak kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kebanyakan manusia Melayu menerima apa saja yang disogokkan tanpa berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat sesuatu perkara itu.

Kebanyakan menggunakan alasan, 'itu adalah ajaran datuk-nenek (budaya) kita' sedangkan dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 170, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.' "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"

Indoktrinasi ke atas orang Melayu begitu berkesan sehingga sebahagiannya tidak bergerak akal fikiran mereka - asyik memikirkan laba dunia - dengan semata-mata berpegang kepada idola, tidak lebih daripada kanak-kanak yang mahukan bantal busuk mereka sekalipun ia hapak, busuk dan meloyakan.

Jika tiada ajakan paradigma Melayu, orang Melayu dikhuatiri akan terus kekal hanyut dengan idolanya itu tidak kira dalam apa bidang pun, sama ada politik, ekonomi, budaya dan sebagainya sekalipun parti Melayu terbesar di dunia terus bersidang saban tahun.

Selagi Melayu tidak meninggalkan slogan '......dulu, kini dan selamanya', jangan harap Melayu lama akan bertukar Melayu baru yang hidup bertunjangkan al-Quran dan hadis, bukannya kerap menghunuskan keris lama (seperti sesetengah pemimpin Umno) ke udara seperti idola lamanya, Hang Tuah!

Kebergantungan orang Melayu kepada ‘bantal busuk’ bernama Umno itu nampaknya masih kejap (berdasarkan pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang). Orang Melayu masih tak lekang dengan idolanya, mereka mahu kekal dulu, kini dan selamanya.

1 ulasan:

  1. semut tenggiling atas batu
    kemut keliling no 1

    demi allah apa yang PAS buat memang jauh terpesong dengan ajaran islam..menghuru harakan keadaan..tiada nilai keislaman..tidak seperti umnoBN yang sentiasa menjaga perpaduan demiukwah islamiyah..

    BalasPadam