Najib, 'kelucahan ringan' dan rasuah Umno / UBN Najib Altantuya / PKFZ

H Fansuri

Bahasa-bahasa pertuturan Melayu selalunya mencerminkan adab dan budi pekerti yang tinggi. Kita sering mengguna istilah berlapik untuk menyebutkan sesuatu khasnya yang melibatkan alat kelamin, sama ada lelaki mahu pun wanita. Tapi, Perhimpunan Agung Umno kali ini sekali lagi disulami gelak tawa, gara-gara Presiden Umno, Najib Razak berhasil menyulam unsur kelucahan lewat ucapan penutupnya. Petang 16 Oktober menjadi saksi bahawa bukan sedikit kenyataan ini diulang-ulang oleh Najib Razak.

Antaranya, Najib kerap mengulang-ulang sebutan nama seorang pemimpin kulit hitam, bersama Nelson Mandela; pejuang Apartheid di Afrika yang bernama Dakote.

"Namanya D-A-K-O-T-E ..." Najib terdiam sejenak selesai dia mengeja abjad D-A-K-O-T-E satu-persatu sambil menanti reaksi para perwakilan. Tidak lama selepas itu meledaklah ketawa besar perwakilan setelah menyedari gurauan lucah itu.

Paling mengejutkan, Najib tergamak menyebutkan perkataan 'anu' lelaki dengan jelas di hadapan orang-ramai secara langsung setelah didesak para perwakilan sendiri.

Najib boleh memilih untuk tidak menyebut atau boleh juga terus menyebut nama pemimpin itu sekali lalu dan terus merujuk kepada perjuangan menentang sistem yang tidak adil itu.

Jika Najib menyebut hal ini sekali lalu tanpa berniat menyerapkan unsur kelucahan dalam ucapannya para perwakilan pun tidak akan terikut-ikut rentak kelucahan itu dan mereka pun tidak terfikirkan hal kelucahan yang cuba digambarkan oleh Najib itu.

Batang Berjuntai

Tapi, Najib tetap menyebutkan menyebutkan hal itu. Malah, dalam pilihan raya kecil di Batang Berjuntai, ucapan Najib turut mengheret pengertian batang berjuntai dengan alat kelamin lelaki dengan sengaja.

Kita pun tertanya-tanya, dalam fikiran Najib, ada apa yang berselirat dalam kepala dia sebenarnya selain komisen kapal selam Scorpene?

Dalam perhimpunan agung Umno tahun lalu Najib menyentuh sekilas hajatnya untuk nikah sekali lagi. Tetapi, malangnya, menurut kata Najib, 'kilang lama' tidak mengizinkannya membuka 'kilang baru'. 'Kilang lama' merujuk Rosmah, sementara 'kilang baru' merujuk isteri baru.

Dalam perkembangan lain, ketika menyentuh hal jenaka lucah bersama Dato' Ishak, Najib mengulas semula kenangan lalu bersama rakannya itu.

Kata Najib, jika ada letupan maka rakannya itu berpesan agar jaga 'anu' masing-masing terlebih dahulu. Najib, sempat bergurau, iaitu dia rasa risau kalau-kalau rakannya menjaga anunya jika ada letupan itu. Tidaklah diketahui, adakah letupan itu seperti ledakan bom C4 bunyinya?

Terdahulu, dalam ucapannya, Ishak bercerita bahawa Najib pernah bertanya kepadanya setelah dengar letupan itu: "Ishak, apa kita nak buat?" Lalu soalan itu disambut Ishak, "... raba telur you."

"Saya tanya, ada (anu) Dato'?" kata Ishak kepada Najib. "Dia (Najib) menjawab ada (anu) Hak."

Tambah Ishak lagi, gurauan itu beliau kemukakan sebagai alasan - bahawa menjadi suatu kewajipan untuk Perdana Menteri memiliki 'anu'. Apa kes dan apa kejadahnya gurau-gurauan seperti ini?

Semua bentuk gurauan lucah seperti ini, walaupun masih tersirat, tapi ia mahu dibawa ke arah mana sebenarnya? Lawak Abu Nawas ada inti pengajaran juga. Lawak lucah Najib nak diambil pengajarannya daripada sudut mana agaknya? Najib Razak adalah anak Pahang, Ahli Parlimen Pekan.

Cukuplah dengan MB Pahang Adnan Yaakob yang membuat isyarat lucah secara terbuka dengan tangannya dalam salah satu kempen pilihan raya dulu. Tindakan itu, sudah cukup memalukan anak Pahang.

Najib juga turut merujuk program anjuran mereka yang dibuat di Kg Janda Baik berulang kali. Ada apa dengan Kg Janda Baik? Apakah Najib ada 'seseorang' pula di sana?

"Janda..yang baik ...," kata Najib lagi dengan lirik mata dan senyum simpul, seperti membayangkan ada kerakusan dan dahagakan ketawa, sorak-sorai hadirin perwakilan.

Borang keahlian Umno hilang?

Tamat isu lucah. Timbul isu lain. Mutakhir ini, Umno ghairah menyebut bahawa parti itu mahu jadi sebuah parti inklusif. Ini menunjukkan, mereka tidak mahu lagi dilihat sebagai parti elit, lagi eksklusif.

Tapi, hakikatnya Najib sendiri terpaksa mengakui bahawa parti itu dahulunya pernah bersikap tidak meraikan orang-orang luar yang ingin menjadi ahli.

"Ada kes sampai hilang borang di pejabat," kata Najib lagi. "Sampai tiga kali hilang borang untuk menjadi ahli Umno."

Penyakit hilang borang ini rupa-rupanya menjadi masalah Umno yang berat juga. Apatah lagi, kesan wabak ini merayap lalu merebak ke kampus universiti.

Di kampus, masih kedengaran isu-isu seperti mahasiswa tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kampus dengan sebab borang yang dijual amat mahal atau siswa gagal mendapatkan tandatangan dekan fakulti dalam borang tersebut.

Masa untuk Umno menilai semula sikapnya sudah tiba. Ketika Najib mengusulkan supaya sistem kuota dihapuskan sehinggalah ke tahap pemilihan Presiden Umno, beliau juga mesti selesaikan kes hilang borang ahli Umno termasuk kes siswa yang gagal bertanding dengan sebab gagal mendapat pengesahan, tandatangan dekan fakulti dalam borang.

Isa Samad dan rawatan rasuah yang bersifat eksklusif

Pendirian Umno tentang isu rasuah juga agak lemah. Pertamanya, Umno tidak mengguna kalimah rasuah sebaliknya 'politik wang'. Istilah ini tidak tepat.

Jika sebelum ini Najib mahukan Umno menjadi sebuah parti inklusif, maka ia mestilah inklusif dari sudut pengertian rasuah juga.

Contohnya, jika seseorang yang bukan ahli Umno mengamalkan rasuah, maka mereka dihukum mengikut hukum negara. Sebaliknya, dalam kes Isa Samad, mantan MB Negeri Sembilan itu hanya dihukum parti dan hukum negara tidak pula dihukum ke atasnya.

Rasuah di dalam Umno menjadi penyakit yang mana rawatannya bersifat eksklusif dan bukan inklusif. Ini bermakna, non-Umno akan dihukum negara, sebaliknya orang Umno itu akan dihukum parti. Hukuman ke atas 'perasuah Umno' pun menjadi eksklusif.

Manakala hukuman ke atas 'perasuah non-Umno' bersifat inklusif. Ini tidak adil. Najib perlu peka terhadap maksud inklusif dan eksklusif yang beliau maksudkan.

Jangan Najib hanya melihat isu inklusif ini cuma terhad kepada topik 'outreach' untuk mendapatkan jumlah ahli Umno saja. Lalu, dalam hukuman ke atas Umno dan 'non-Umno' masih lagi ada bezanya.

Umno, 'parti Islam' yang tiada pendirian jelas mengenai isu rasuah

Umno sebagai 'parti Islam' (kununnya 'parti Islam' mengikut tafsiran Najib) tiada pendirian jelas ke atas penerima rasuah.

Walaupun Najib mengaku bahawa Umno adalah parti Islam, tapi parti tersebut bukan mengambil sumber agama sebagai suatu hukuman yang jelas, khasnya yang berhubung dengan jenayah rasuah ini.

Hadis nabi menyebut bahawa 'perasuah' dan 'penerima rasuah', (ar-Rasyi wal Murtasyi) kedua-duanya berada dalam neraka. Ini bermakna, Islam melihat kedua-duanya adalah penjenayah. Maka, untuk itu, kedua-dua mereka (Rasyi, perasuah dan Murtasyi, penerima rasuah) wajib dihukum.

Tetapi Umno cuma hukum 'perasuah', manakala 'penerima rasuah' tidak dihukum. Di situlah kesilapan Umno. Hukum hakam ekonomi berfatwa, "Di mana ada permintaan, maka di situ ada penawaran." Pasaran industri rasuah ini boleh dikembangkan lagi dengan hukum hakam, fatwa sebegini...

"Di mana ada perasuah, maka di situlah akan ada penerima rasuah, di mana ada permintaan untuk dirasuah, maka di situ juga akan ada penawaran untuk merasuah."

Tetapi, sekali lagi, Umno hanya menghukum perasuah seperti Isa Samad dan mereka tidak menghukum 'penerima rasuah' daripada Isa. Inilah masalah besar 'parti Islam' Umno.

Pada 16 Oktober lalu, ketika Najib berkata, bahawa bahawa Isa Samad itu telah insaf, dan kembali ke pangkal jalan serta tidak mengkhianati parti, para perwakilan itu pun bertepuk tangan dengan gembira, dan raikan dengan penuh rasa terharu bersarang di dada.

Nanti dulu... para perwakilan itu mungkin bertepuk tangan kerana terharu dengan sebab Isa Samad sangat setia kepada partinya.

Tetapi, antara perwakilan itu, ada juga barisan penjenayah yang telah menerima suapan demi suapan sebelum ini. Mereka ini bukan cuma menerima suapan Isa malah menerima suapan daripada calon-calon para pimpinan Umno sebelum ini.

Jadi, ketika para perwakilan Umno bertepuk tangan tatkala Najib berkata Isa telah pun kembali ke ribaan parti, maka penjenayah (penerima rasuah) ini bertepuk tangan kerana gembira. Dan, gembira mereka ini perlu dibedah siasat dalam banyak tafsiran juga.

Para perwakilan (penjenayah - penerima rasuah) yang bertepuk tangan kerana gembira sebab terharu terhadap kesetiaan Isa itu, menghadapi sindrom tahap bengap yang keterlaluan. Bani Murtasyi yang pertama ini perlukan suntikan ilmu, hikmah, kebenaran dan perlu mendidik mereka dengan sabar.

Yang paling 'cerdik' ialah para perwakilan (penjenayah, penerima rasuah) yang gembira kerana Isa (mantan perasuah) telah kembali pangkuan parti rasuah. Mereka ini geliga, amat berkualiti dalam melakukan kejahatan demi kejahatan yang berkesinambungan tanpa titik noktahnya.

Setiap iringan tepuk tangan mereka sungguh dalam maknanya. Mereka tahu perasuah boleh berterusan merasuah dan perasuah adalah sumber wang Umno. Isa, mungkin terus beri wang, projek melimpah-ruah dan mencurah-curah dalam poket, kantung mereka.

Para perwakilan Bani Murtasyi kedua (penjenayah-penerima rasuah) inilah yang mungkin tepuk tangan dengan girang, gembira meraikan kehadiran semula Isa dalam Umno. Mungkin mereka ini yang paling banyak terima habuan rasuah Isa sebelum ini? Bagaimanapun, mereka akan selamat daripada Najib.

17 Oktober, 3:14 a.m
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan