Selain kaya dengan hasil bumi dari sektor pertanian, Negeri Sembilan juga terkenal sebagai tempat tumpuan pelancong.
Salah satu daerah yang begitu terkenal dengan pelancongan tentunya Port Dickson. Nama Port Dickson mula dikenali menjelang 1902, kerana menjadi satu-satunya stesen kereta api di Selatan Semenanjung serta kemunculannya sebagai pelabuhan terunggul.
Pada waktu itu, sistem pengangkutan melalui kereta api dan jalan raya mendatangkan faedah kepada syarikat multinasional seperti Shell dan sebagainya. Nama Port Dickson kemudiannya terus unggul sebagai kawasan pelancongan namun sayangnya ia tidak bertahan lama.
Waima kini, Port Dikcson tidak lagi menjadi pilihan utama pelancong untuk bersantai pada cuti hujung minggu. Beberapa faktor menjadi punca utama mengapa Port Dickson seolah-olah 'luput' dari peta pelancongan masyarakat di negara ini.
" Kita boleh lihat, seperti yang pernah dibangkitkan keadaan sekitar pantai tidak begitu bersih dan tidak ada pembangunan pelancongan yang baru. Kita masih lihat gerai-gerai usang yang sepatutnya perkara ini menjadi fokus utama bagi mereka".
"Ini mencerminkan keadaan pantai itu. Saya fikir tidak akan ada perubahan. Selain daripada kalau perubahan. Selain daripada kalau kita ada keinginan Port Dickson ini dimajukan seumpama Melaka, tertarik dengan pembangunan di Melaka" ujar Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin.
Dari sudut pembangunan, dapat kita lihat dengan jelas beberapa projek terbengkalai menyambut kehadiran tetamu di pintu masuk ke Port Dickson. Keadaan yang seumpama ini bukan hanya menyajikan panorama yang kurang enak pada pandangan mata malah turut merosakkan imej Port Dickson sebagai pusat pelancongan terkemuka di Malaysia.
Menurut penduduk Kampung Bagan Pinang, Jasni Abdul Rahman, projek terbengkalai memberikan banyak kesan sampingan kepada kehidupan penduduk setempat.
" Projek terbengkalai ini pada pandangan saya, kalau kita melalui sepanjang persisiran pantai Port Dikcson, kita dapati kawasan Bagan Pinang sehingga Teluk Kemang banyak terdapatnya projek-projek terbengkalai".
"Jadi saya harap pihak berkuasa tempatan dapatlah menguruskan projek-projek terbengkalai. Ia akan mengundang masalah sosial seperti penggunaan dadah dan sebagainya. Penduduk harap pihak berkuasa tempatan bersihkan kawasan tersebut" ujarnya.
Apa sebenarnya yang berlaku di Port Dickson? PD Marina World misalnya yang terletak di pintu masuk Port Dickson memberi gambaran kawasan pelancongan yang tidak terjaga.
Malah PD Marina ini juga dikatakan terletak di kawasan tanah rezab orang Melayu Kampung Bagan Pinang. Bagaimana pula projek yang diusahakan di atas tanah rezab orang Melayu ini tidak diselenggara dengan baik?
Bangunannya yang kelihatan usang malah dikelilingi oleh semak-samun mencemarkan imej destinasi pelancongan itu.
Kami ajukan persoalan ini kepada penduduk Bagan Pinang sendiri yang melihat dari dekat keadaan di tempat mereka.
Seorang lagi penduduk tempatan yang tidak mahu namanya disebut berkata, projek terbengkalai memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di Port Dickson.
“Okay, bila menyebut tentang projek terbengkalai ini, Port Dickson ini adalah merupakan pusat pelancongan, kita mempunyai ramai pelawat dari dalam dan luar negeri".
"Yang penting apa pandangan masyarakat apabila melihat kebanyakan bangunan-bangunan terbengkalai.Daripada situ je pun, kalau ada pelabur asing datang melawat ke negara kita, kalau dia tengok banyak projek terbengkalai. Jadi daripada situ je, pelabur asing yang datang ke negara kita, dia akan tengok banyak projek terbengkalai, jadi macam mana situasi sebenar ekonomi negara kita" ujarnya.
“Jadi macam mana situasi negara kita sebenarnya, adakah negara kita ini negara maju atau negara kita ini negara rasuah disebabkan bangunan terbengkalai? Cuba kita tengok, sekiranya seorang pelancong asing yang datang sini, kita tengok, dia dapat data daripada bank dunia yang sudah mengeluarkan data mengatakan negara kita ini adalah negara yang paling banyak rasuah" tambahnya lagi.
"Bila dia tengok rasuah dengan dia tengok pula bangunan tepi pantai ni ini banyak pula terbengkalai, jadi apa pandangan dia. Sekiranya satu-satu projek yang hendak dijalankan tidakkah mereka semak dulu latar belakang syarikat, mampu ke syarikat ini buat projek sampai siap, mampu ke projek ini diberi kepada satu syarikat sedangkan syarikat itu tidak mampu hendak dibuat. Ada tidak kajian dibuat? Terus dia bagi satu syarikat yang tidak mampu disiap dan akhirnya syarikat itu turut terbengkalai begitu sahaja,” katanya.
Mengapa perkara ini berlaku?
Para pelabur bagaikan takut mahu menaburkan wang mereka di Port Dickson. Kempen Think Tourism yang diwar-warkan nampaknya gagal membuahkan hasil. Adakah ini puncanya mengapa banyak bangunan terbengkalai yang dapat di lihat di sekitar Port Dickson dan Negeri Sembilan?
-tvantara.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan