PAS dan DAP Selangor jumpa di meja bulat 7 Oktober

Harakahdaily
SHAH ALAM, 5 Okt: PAS dan DAP Selangor akan mengadakan pertemuan meja bulat pada Rabu 7 Oktober ini, kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir dalam blognya.

Bagi beliau, pertemuan ini bakal menyaksikan suatu sejarah baru dalam politik PAS dan DAP Selangor pasca PRU12.

"Dalam sibuk media memainkan darihal keretakkan dalam PR hasil dari kononnya perbalahan antara PAS dan DAP, usaha jujur dibuat bagi meneguhkan ikatan kedua-dua parti ini sekaligus mengukuhkan kerajaan PR Selangor," tulis beliau.

Hubungan PAS dan DAP Selangor penuh warna warni sejak kebekangan ini dan sering mendapat sorotan utama media.

Ia bermula dengan isu jualan arak yang memperlihatkan pertembungan Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hassan Ali dengan Ronnie Liu.

Yang terbaru, Hassan sekali lagi dilihat bertembung dengan DAP apabila beliau mengkritik Selcat yang dipengerusikan oleh Teng Chan Kim.

Menurut Roslan, sesi persidangan meja bulat ini bertujuan menyusun langkah mengukuhkan hubungan dan memastikan kerajaan PR Selangor terus kekal membela dan memimpin rakyat.

Image"Memang ada sengketa sebelum ini, kita tidak nafikan. Memang nampak seolah tegang sebelum ini, semua dapat menghidu dan membaca dari pendedahan media.

"Tetapi apakah sehingga akan berpecah dan roboh kerajaan PR Selangor yang baru berusia 1 tahun 7 bulan ini? Kalau tanya Khir Toyo memang begitu, dan sesiapa yang menyimpan mimpi sebagaimana Khir Toyo teruslah bermimpi," tulis Roslan lagi.

Beliau yakin, Kerajaan PR Selangor adalah satu kerajaan baru setelah kerajaan yang lanjut usianya iaitu kerajaan BN berjaya ditelentangkan.

"Orang baru, berdarah muda, penuh dan kaya dengan idea dan pandangan. Kerana itu ia nampak berkocak, tetapi kocakkan itu tidaklah sehingga menumpahkan muatan yang telah sama kita perjuangkan dengan darah dan airmata," katanya.

Menurut Roslan, PAS dan DAP sebenarnya memiliki sejarah yang panjang.

Bukan hanya dizaman Ustaz Hasan Shukri malah dizaman almarhum Ustaz Ismail Hashim pun sebenarnya telah ada persefahaman walaupun tidak sampai keperingkat tahaluf sebenar sebagaimana hari ini.

"Pemimpin PAS dan DAP kerana masing-masing duduk di bangku pembangkang memang sentiasa memiliki hubungan walaupun tidaklah sekental hubungan pada hari ini," tulisnya lagi.

Perjumpaan hari Rabu ini cuba untuk melihat dan mengenal pasti saluran dan rangkaian persamaan yang ada pada kedua-dua parti.

Berbincang dan cuba memahami dasar dan prinsip masing-masing dan yang paling penting menghormati perbezaan masing-masing dan bergerak dari situ itu melangkah gagah mempertahankan kerajaan yang dibin oleh kekuatan bersama, katanya.

Menurutnya, PAS punya dasar dan prinsip perjuangannya.

ImagePrinsip dan dasar ini akan terus dijunjung oleh PAS sampai bila-bila kerana itulah didikan dan tarbiyah yang diterima oleh ahli dan pimpinan PAS yang memperjuangkan Islam yang diwarisi dari Baginda Rasulullah saw.

"Dalam pada itu kita bersedia berkawan dan bertahaluf dengan mereka yang bersedia berbuat demikian dengan kita," tulisnya lagi.

Roslan yakin, usaha 7 Oktober ini akan membuahkan hasil yang baik sekaligus memadamkan api persengketaan yang cuba dibakaroleh pihak-pihak tertentu.

"Islam dijunjung di kepala tahaluf diletakkan di bahu. Itulah PAS. Sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden dalam ucapan dasarnya yang diterima oleh muktamar PAS ke 55 lalu iaitu:

"Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat USULIY dari segi prinsip-prinsip perjuangan, MU'ASIRAH dari segi kepimpinan dan organisasi jentera, ISTIQBALIY dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan," petiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan