'Pasukan Lumba 1 Malaysia ' tidak rasional, saat ekonomi tidak menentu / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 26 Okt:
Parlimen hari ini menyaksikan bidasan dan kritikan ahli parlimen berhubung penubuhan pasukan lumba kereta 'Formula 1' dengan nama '1Malaysia' yang mendapat sokongan daripada kerajaan.

Sungguhpun ianya adalah projek usahasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, Naza Motor dan Air Asia, namun kesediaan pihak kerajaan membantu sebuah pasukan lumba kereta yang biayanya mencecah jutaan ringgit dalam suasana ekonomi sekarang, mengundang keresahan rakyat.

Perkara ini disuarakan sendiri oleh Datuk Bung Mokhtar (BN-Kinabatangan) yang mengajukan soalan tambahan kepada Kementerian Belia dan Sukan berhubung projek Pasukan Lumba Kereta itu di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Adakah Timbalan Menteri sedar bahawa Formula One ini bukanlah 'permainan' rakyat Malaysia. Apakah rasional ianya ditubuhkan?

"Rakyat secara realitinya tidak setuju dengan Formula One ini," katanya yang mendapat sokongan gemuruh daripada barisan pihak pembangkang.

Sebelum itu, Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) menjawab bagi pihak Kementeriannya menjelaskan bahawa projek tersebut adalah hasil usaha dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Katanya kerajaan tidak mempunyai sebarang ekuiti atau pelaburan dalam projek tersebut ataupun dibuat melalui syarikat berkaiatan kerajaan GLC.

Namun kata Razali komitmen kerajaan terhadap projek ini lebih kepada kelengkapan infrastruktur seperti penyediaan tapak tanah untuk pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan akses kepada teknologi Proton yang dimiliki oleh kerajaan.

"Bagi mencapai matalamat penubuhannya '1 Malaysia F1 team' telah mengesahkan bahawa modal permulaannnya mereka sebanyak RM168 juta

"Dan menganggarkan bajet tahunan yang diperlukan adalah sebanyak RM308 juta bagi memastikan pasukan ini bersaing seperti yang dirancang," katanya

Beliau menjawab soaaln yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah pelaburan kerajaan dalam projek Pasukan tersebut secara langsung dan tidak dan adakah ianya menguntungkan pihak kerajaan.

Lim dalam soalan tambahannya mahu jaminan daripada pihak kerajaan, supaya tidak melakukan 'bail-out' terhadap syarikat dan pasukan lumba kereta itu sekiranya ianya mengalami kegagalan seperti Sauber Petronas.

Sewaktu, perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010, tengah hari tadi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh dan kesal dengan tindakan kerajaan yang menyokong penubuhan pasukan Formula One ini di waktu, negara menghadapi ekonomi yang tidak menentu seiring dengan beban yang ditanggung rakyat atas kesan pembiayaan pasukan itu.

Bulan lalu, Penasihat Undang-Undang PKR Negeri Pahang Ahmad Nizam Hamid, mengkritik sikap tipikal kerajaan pimpinan Umno dan BN yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab melalui tindakan penyertaan kerajaan dalam projek F1 yang hanya mengundang pembaziran dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Kenapa negara yang lebih maju industri automatifnya di sebelah rantau ini seperti Korea Selatan tidak pula beria-ria dan ghairah untuk sama terlibat dalam lumba kereta. Padahal dari segi keupayaan kejuruteraan dan teknologi, mereka jauh meninggalkan Malaysia.

"Inilah sifir ekonomi Najib, jika rugi sekalipun, rakyatlah yang akan menanggungnya, kerana wang yang dibelanjakan itu bukan milik Najib tetapi datang dari khazanah negara.

"Dalam kes F1 ini, dari kocek Proton, Protonlah yang menjadi mangsa. Akhirnya 1Malaysia terpaksa berjimat, 1Malaysia menanggung beban kos kehidupan yang tinggi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan