Rakyat tak percaya undi pos tidak dimanipulasi - Prof Dr Khoo Kay Kim /PKFZ / Nizar

BANYAK perkara berlaku sejak hari penamaan calon hingga hari pengundian di Bagan Pinang baru-baru ini. Dari kes ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa ditumbuk penyokong PAS, undi pos hinggalah kepada larangan mengibarkan bendera parti yang tidak bertanding

Bagi mendapatkan pandangan mengenai apa yang berlaku, Harakah mendapatkan karyawan tamu Jabatan Pengajian Sejarah Universiti Malaya, Professor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim untuk memberikan pendapat beliau. Ikuti temubual bersama beliau 8 Oktober lalu.

Dari segi hak asasi manusia, apakah Prof. rasa sistem undi pos atau pengundian secara pos ini masih lagi relevan buat masa ini?

PROF DR. KHOO KAY KIM: Itu saya rasa bergantung kepada keadaan. Macam sekarang, anggota bersenjata yang diberi peluang untuk mengundi, bila mereka tidak ada dalam kawasan yang mereka sepatutnya mengundi, dari segi hak asasi itu memang mereka ada hak untuk membuang undi.
Yang menjadi masalah bukan undi pos. Tetapi orang tak begitu percaya sama ada undi itu ada pihak tertentu menganggu ataupun tidak. Ini kerana orang ramai pernah dengar, misalnya anggota tentera atau polis, mereka diberi arahan supaya undi pihak itu atau pihak ini.
Undi pos bukan masalah. Tapi setiap individu ada hak untuk membuang undi mengikut kepercayaan beliau. Kalau orang yang sudah didaftar untuk mengundi di satu tempat, mereka sepatutnya diberi peluang untuk mengundi.

Sejak beberapa kali pilihan raya kecil diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat supaya hanya parti yang bertanding sahaja boleh mengantung bendera atau poster untuk berkempen. Pada pandangan Prof. dari sudut demokarsinya, apakah wajar syarat itu dikenakan?

Itu boleh diselesaikan bergantung kepada undang-undang. Undang-undang dibuat di parlimen. Jadi terpulanglah kepada ahli parlimen. Ahli parlimen yang majoriti itu biasanya diberikan kuasa oleh rakyat sendiri.
Kalau rakyat tidak puashati mereka boleh beritahu kepada wakil rakyat. Wakil rakyat mesti patuh kepada rakyat. Rakyat tidak perlu patuh kepada wakil rakyat sebaliknya wakil rakyat yang perlu patuh kepada rakyat.

Dari sudut demokrasinya macam mana?

Rakyat sendiri mesti membuat keputusan. Kita punya masalah ialah rakyat sendiri tidak faham. Kalau hanya seorang dua sahaja yang membangkitkan perkara itu, ia tidak memadai. Ini perlukan tuntutan atau desakan dari rakyat.

Dalam setiap pilihan raya, kita lihat Barisan Nasional (BN) sering saja memanipulasikan media. Mengapa situasi ini berlaku?

Media di negara ini banyak dimiliki oleh parti politik. Jadi media memang tidak bebas. Yang manjadi majikan boleh menentukan apa yang pekerjanya perlu buat. Itu tak dapat diubah.
Selagi parti politik boleh memiliki media jadi parti politik boleh menentukan dasar media itu.

Ketika hari penamaan calon di Bagan Pinang baru-baru ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa ditumbuk penyokong PAS. Sebelum ini ketika pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini juga beliau mendakwa ditumbuk penyokong PAS. Tidakkah tindakan ini sengaja diada-adakan untuk tujuan politik dan sengaja untuk mengolah agar PAS dilihat sebuah parti yang ganas?

Saya rasa di setiap tempat yang ada pilihan raya, rakyat sendiri boleh menyiasat apa sebenarnya yang berlaku. Kita tidak boleh menganggap pihak pembangkang lebih ikhlas dari pemerintah.
Tidak boleh. Saya dapati ahli politik tidak kira pembangkang atau pemerintah ada agenda sendiri. Sebagai rakyat kita perlu menyiasat dengan sedalam-dalamnya apakah agenda orang dan juga parti yang bertanding itu.

Tapi, tidakkah tindakan Azeez itu mengambarkan beliau seorang yang suka mengambil kesempatan dalam politik kerana sudah ditetapkan jalan untuk setiap penyokong dan pemimpin parti tetapi beliau tetap mahu menggunakan laluan yang sudah diwartakan SPR untuk penyokong PAS?

Kalau itu tujuan beliau, rakyat sendiri dapat membaca dan boleh menunjukkan rasa tidak puashati mereka di hari mengundi. Rakyat yang paling penting. Kita tidak boleh salahkan ahli politik.
Rakyat perlu difahamkan tentang perkara ini. Kalau rakyat boleh dibeli, mudah ditipu, jadi kita tidak boleh menjamin satu keadaan yang sentiasa betul akan wujud.

Calon BN, Tan Sri Isa Samad yang pernah didapati bersalah oleh Umno kerana amalan rasuah politik, nampaknya tetap dicalonkan. Pada pandangan Prof. mencalonkan individu yang sudah tercalar integriti itu perlu dihentikan atau diteruskan asalkan sesuatu parti itu dapat mencapai kemenangan?

Setakat ini, bila saya tanya orang di Bagan Pinang, mereka kata Isa boleh menang. Jadi itu bermaksud pengundi sendiri berpuashati dengan beliau. Kalau dinegara lain, calon yang sebegitu tidak boleh bertanding kerana imejnya yang tidak baik. Tetapi tidak di Bagan Pinang.

Maksud Prof. rakyat negara ini tidak dididik dengan secukupnya dalam soal integriti dan kreadibiliti?

Setakat ini saya mempercayai rakyat kita terdidik dalam banyak hal termasuk soal integriti calon yang mahu dipilih sebagai wakil rakyat mereka.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan