Tinjauan awal PRK Bagan Pinang / UBN Najib Altantuya

Menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang dijadualkan pada 11hb Oktober 2009, satu kaji selidik lapangan di kalangan pengundi di DUN Bagan Pinang mendapati bahawa rakyat meyakini bahawa pilihan raya kali ini akan menunjukkan pertembungan sengit di antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan keyakinan majoriti pengundi untuk memenangi kerusi ini

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan awal pengundi terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, kriteria calon pilihan dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan serta kebarangkalian mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

Berdasarkan hasil dapatan kajian lapangan yang dijalankan oleh Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan lapangan bebas mendapati bahawa 57.2% rakyat menjangkakan pilihan raya kali ini melibatkan pertembungan di antara Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili oleh PAS dengan Barisan Nasional (BN).

Hanya 32.8% meletakkan harapan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kawasan itu memandangkan N31 Bagan Pinang merupakan DUN yang berada di bawah Parlimen Teluk Kemang yang dimenangi oleh Parti itu.

1. Faktor Pengaruh Isa Samad Terlalu Dominan di Bagan Pinang dan Kekuatan Calon dan Parti Berimbang untuk Penilaian Pengundi

Dalam dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa faktor Isa Samad jauh lebih penting dari Mohamad Hassan dalam pilihan raya kali ini iaitu sebanyak 59.6% menyatakan bahawa legasi Isa Samad (gambar di kanan) adalah lebih utama. Namun begitu responden yang juga merupakan pengundi tetap gusar sekiranya beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional di kawasan itu.

Dapatan kualitatif lapangan para penyelidik mendapati, selain pengaruh baik dan jasa besar tokoh ini, namun ia juga dikaitkan dengan beberapa isu negatif seperti skandal rasuah wang pada pemilihan UMNO empat tahun lepas, isu kronisme di kalangan ahli keluarga dan ahli parti di sekitar Port Dickson terutama di kawasan Si Rusa, Teluk Kemang dan Bagan Pinang. Ini juga membuka kepada krisis masalah dalaman parti UMNO untuk meletakkan calon yang sesuai di DUN Bagan Pinang ini. Calon lebih dominan walaupun agak seimbang dengan kekuatan parti.

288 responden mencatatkan 48.5% memilih kekuatan berbanding kekuatan calon yang hanya 41.8%. Baki selebihnya iaitu 8.1% memilih jawapan tidak pasti.

2. Kebimbangan UMNO terhadap pengundi muda dan BN amat bergantung kepada undi POS untuk menang.

Hampir separuh daripada keseluruhan responden iaitu 45.9% adalah pengundi muda iaitu kebanyakan mereka di saluran empat dan lima bersepakat menyatakan bahawa BN mungkin mempunyai masalah untuk menang dengan majoriti besar kerana kebarangkalian berdepan dengan pengundi muda yang terutama menetap dan tinggal di luar kawasan.

Responden bagaimanapun menunjukkan sikap seimbang dalam menilai prestasi UMNO-BN di kawasan tersebut. Seramai 32.3% responden menyatakan reputasi dan prestasi rekod bekas wakil rakyat UMNO akan menjadi beban untuk BN untuk memenangi pilhan raya kali ini.

Berkenaan dengan Undi POS, seramai 47.0% responden bersetuju bahawa UMNO-BN amat bergantung kepada undi POS untuk menang manakala, hanya seramai 11.1% tidak bersetuju manakala 41.9% menyatakan tidak pasti. Kebanyakan responden yang ditanya terutamanya di kalangan anggota tentera beranggapan bahawa sistem undi POS sekarang adalah tidak telus dan kebarangkalian berupaya memberikan kemenangan kepada BN.

3. Pakatan Rakyat berdepan laluan sukar untuk menewaskan UMNO/Barisan Nasional di Bagan Pinang.

Para pengundi yang ditemubual menjangkakan UMNO/BN akan mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang ini dengan majority yang lebih besar. Seramai 44.4% meletakkan keyakinan tersebut berbanding hanya 16.7% mendakwa sebaliknya.

Baki responden yang agak kurang pasti mewakili peratusan sebanyak 38.9%. Beberapa kelebihan dijangka akan memihak kepada jentera UMNO/BN berbanding Pakatan Rakyat yang akan diwakili oleh PAS. Antaranya ialah:

3.1 Program kebajikan dan kemasyarakatan PAS tidak menyeluruh. Malah sebahagian mendakwa tidak mengenal kepimpinan parti berkenaan. Ini mengakibatkan sebanyak 64.6% responden mendakwa pengaruh PAS tidak begitu ketara dari aspek program bersama masyarakat dan rakyat di Bagan Pinang.

3.2 Undi Pos dijangka membantu UMNO/BN untuk menang dalam pilihan raya kecil ini. Persepsi ini ditunjukkan menerusi peratusan sebanyak 47% yang mendakwa UMNO/BN akan menang bergantung kepada undian pos. 41.9% tidak pasti dan baki responden tidak bersetuju sebanyak 11.1%.

3.3 Selain daripada dua faktor di atas, prestasi Menteri Besar sedikit sebanyak membantu jentera BN di Bagan Pinang ini. 64.6% responden melihat prestasi Menteri Besar akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang ini. Beberapa strategi lain dilihat mampu dikekalkan oleh UMNO/BN ialah pimpinan pusat mahupun negeri di kalanan jentera Barisan Nasional merupakan strategi ampuh untuk memenangi hati pengundi.

Melihat kepada kejayaan strategi ini di Manek Urai, pengundi melihat strategi akan dikekalkan oleh UMNO/BN untuk menang. Ini diwakili oleh 70.7% responden. Barisan Nasional juga perlu semua parti komponen mampu menggerakkan jentera secara bersepadu sekiranya ingin menang. Pergeseran antara parti komponen Barisan Nasional berpotensi mengundang peralihan sokongan rakyat.

4. Majoriti bersetuju bahawa BN adalah parti perkauman dan parti terpalit rasuah.

Pihak Ilham Centre menggariskan beberapa soalan yang menjurus kepada kekuatan isu nasional yang berkemungkinan mempengaruhi paten pengundian. Namun, sepanjang kajian ini dijalankan, didapati isu Teoh Beng Hock yang mati di bawah tahanan SPRM dan Demontrasi Kepala Lembu di Seksyen 23 Shah Alam tidak memberi kesan di Bagan Pinang sepanjang kaji selidik ini dijalankan.

Para pengundi lebih terkesan dengan pergolakan dalaman UMNO berhubung dilemma pemilihan calon yang sesuai diletakkan oleh parti. Ini mengakibatkan soalan berhubung tanggapan terhadap parti UMNO lebih memberikan kesan kepada para responden. Sebilangan besar responden iaitu sebanyak 34.8% bersetuju untuk menyatakan bahawa UMNO adalah parti yang bersifat perkauman, hanya 32.8% responden tidak bersetuju dengan kenyataan itu manakala 32.3% memberikan respon tidak pasti.

Selain itu, majoriti responden iaitu sebanyak 52.0% bersetuju bahawa UMNO-BN adalah parti yang terpalit dengan pelbagai rasuah dan gejala buruk yang memungkinkan akan menjejaskan sokongan kepada parti itu pada pilihan raya kali ini terutama penolakan di peringkat pengundi muda. Hanya seramai 22.2% menyatakan tidak setuju yang kebanyakkan mereka merupakan pengundi di saluran satu dan dua yang juga merupakan penyokong tegar kepada UMNO-BN.

5. Calon PAS mestilah calon Pakatan Rakyat

Berdasarkan kecenderungan pengundi, 72.2% tidak pasti siapakah calon yang sesuai untuk dijadikan saingan kepada calon UMNO/BN. Namun, bekas calon dalam pilihan raya umum lalu, Ramli Ismail mendahului calon lain sebagai calon. Ramli memperolehi 20.2% pandangan rakyat sebagai calon berbanding Pesuruh Jaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohammad Omar yang hanya diwakili 4.5%.

Calon lain iaitu Kassim Tahir dan Rosli Yaakob tidak dikenali oleh pengundi Bagan Pinang. Selain itu dapatan lapangan mendapati, para pengundi menginginkan calon Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS mestilah seorang yang berjiwa rakyat, rajin turun ke padang menemui masyarakat, profesional dan berwibawa.

Pengundi juga melihat PAS perlu bergerak dalam jentera Pakatan Rakyat. Sebanyak 52.5% melihat PAS amat memerlukan bantuan parti lain dalam Pakatan Rakyat untuk bersaing sengit dengan parti UMNO/BN. Sekiranya aspirasi ini dipenuhi, ini tidak mustahil PAS/PR akan berjaya merampas kerusi DUN Bagan Pinang daripada UMNO/BN.

6. Kesimpulan

Dari hasil kajian lapangan di atas bolehlah dibuat kesimpulan bahawa pengundi N31 Bagan Pinang lebih cenderung menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan sengit untuk terus memenangi kerusi N31 ini sekiranya PAS hadir dengan semangat dan kerjasama yang padu bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR).

Latar Belakang Kajian Lapangan "Tinjauan Awal Perspektif Umum dan Kecenderungan dan Trend Pengundian di N31 Bagan Pinang".

  • Para pengundi berdaftar dan penduduk di N31 Bagan Pinang dipilih menerusi kaedah pemilihan berstruktur dan ditemubual (interviews) di samping pemerhatian secara terus dan penglibatan di lapangan (Survey by Direct and Participant Observation).
  • Responden terdiri daripada 53.0% pengundi Melayu, 30.8% Cina dan 12.1% India.
  • Responden dipilih berdasarkan komposisi kaum dan lokaliti Unit Peti Undi (UPU)
    mengikut saluran di tempat itu.
  • Persampelan dibentuk dengan mengambil kira jumlah pengundi berdaftar/penduduk di setiap DUN dalam N31 Bagan Pinang berasaskan parti, pecahan kaum, UPU, lokaliti kawasan, jantina, umur dan pekerjaan.
  • Kawasan/lokaliti kajian adalah sekitar N31 Bagan Pinang yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di 8 buah UPU (Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Eastern, Kampung Bagan Pinang, Si Rusa dan Teluk Kemang).
  • Temubual dan observasi dijalankan dari 15hb hingga 16hb September 2009.
  • Ralat bagi kaji selidik ini adalah ±1.41%

Mengenai ILHAM CENTRE (KT0211031-M)

Ilham Centre ditubuhkan pada 2006 sebagai sebuah firma penyelidikan bebas yang menumpukan pengkhususan dalam kajian lapangan. Fokus dan tumpuan penyelidikan berasaskan kajian lapangan mengambil kira pendekatan sepertimana kaedah penyelidikan akademik di peringkat pengajian tinggi. Penyelidikan pandangan awam yang dilakukan menerusi kaji selidik lapangan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan dan kajian dasar.

Ilham Centre dibarisi oleh para pengkaji sosial yang mempunyai kepakaran di dalam bidang sains politik, politik antarabangsa, ekonomi dan kewangan, sains kemasyarakatan dan juga kajian dasar. Ilham Centre yakin bahawa sebuah negara yang maju harus didukungi dengan fakta dan statistik.

Usaha ini juga bagi meletakkan harapan untuk menyumbangkan kepakaran untuk mengangkat tamadun Malaysia yang didasari dengan penggubalan dasar berdasarkan suara rakyat terbanyak.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh:
Panel Penyelidikan
ILHAM CENTRE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan