Usaha Memulihkan Umno Kurang Diyakini! / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Mohd Sayuti Omar

BILA diminta pandangan umum - rakan-rakan Facebook mengenai nawaitu Umno hendak memperbaiki parti berkenaan dengan meminda perlembagaanya hari ini, ramai kawan-kawan FB saya memberi pandangan yang hampir sama.

Soalan yang saya lontarkan berbunyi; Sejauh mana keyakinan anda pindaan perlembagaan Umno yang dibuat hari ini dapat menaikkan martabat parti berkenaan? Apakah pindaan itu mampu menghapuskan politik wang dan akhirnya mengukuhkan Umno? Ataupun pindaan itu tak ubah seperti seribu janji yang pernah ditabur sebelum ini untuk memperkukuhkan parti tersebut yang mana akhirnya kosong belaka.

Jawaban dan ulasan yang diberikan hampir sama saja nadanya. Rata-rata tidak yakin atau kurang percaya dengan langkah itu boleh merubahkan Umno. Ada setengah beranggapan isu itu hanya gimik saja tanpa membawa kesan yang diharapkan.

Ada seorang dua bersikap lebih tasamuh untuk melihat perubahan itu dalam tempoh setahun dua. Mereka mahu diberikan masa untuk melihat perubahan yang diharapkan itu.

Pandangan rakan FB adalah pandangan bebas dan agak jujur. Kebanyakan mereka bukan menjadi pengikut parti yang totok ataupun berfikir hanya satu juring saja. Pandangan mereka boleh digunapakai sebagai pandangan yang sihat dari generasi muda.

Sekiranya pandangan ini boleh dianggap mewakili generasi muda dan cerdik pandai, ini bermakna usaha Umno meminda perlembagaan itu tidak membawa banyak perubahan. Politik wang tetap juga akan berlaku di dalam parti itu yang sudah berakar umbi. Kegagalan ini akan membawa natijh kehancuran kepada Umno.

Selain itu ada juga yang bersetuju dan memberi cadangan kalau Umno ingin menghapuskan rasuah politik dalam parti itu dan juga dalam kerajaan bukan dengan cara meminda perlembagaan yang memberi kuasa luas kepada pemilihan tetapi mesti harus ada penekanan pembangunan keagamaan dalam setiap hari ahli Umno dan rakyat.

Maksudnya ahli Umno harus ditunjungi dengan keimanan yang tinggi, di mana mendidik mereka mengenali dan yakin kepada soal dosa dan pahala. Mereka yang sedia melaku dan menerima rasuah ialah kerana tidak percaya kepada soal dosa dan pahala. Kalau mereka yakin pasti mereka tidak akan melakukannya.

Rasuah tidak dapat dicegah dengan undang-undang melainkan dengan iman yang tebal. Semoga pendapat rakan FB saya ini tidak akan diketepikan oleh pihak Umno khususnya dan juga golongan politik di negara ini.

Persoalan rasuah politik bukan saja berlaku dalam Umno dewasa ini. Tetapi ia juga turut mula bercambah dan membibit dalam parti-parti lain yang dulunya dilihat kontras dengan perbutan syaitan yang menjijikkan itu. Cuma parti lain itu bernasib baik kerana rasuahnya masih lagi tersembunyi dan dilindung dengan kitab-kitab tertentu. Hakikinya rasuah sudah berleluasa dalam benua politik Malaysia.

Pindaan perlembagaan oleh Umno kerana hendak menghapuskan rasuah ini diharap bukan saja dilihat penting oleh ahli Umno tetapi biarlah ia juga dijadikan renungan oleh semua golongan politik di negara ini.
[wm.kl. 8:45 pm 15/10/09]

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan