Bai'ah bukti komitmen pada perjuangan Islam / Nizar /PKFZ / Altantuya

Harakahdaily
Kontroversi mengenai bai'ah talak tiga yang digembar-gemburkan media selama beberapa hari lalu terjawab apabila Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mendedahkan tidak wujud lafaz bai'ah talak tiga dalam amalan rasmi parti.

Walau bagaimanapun, isu yang tidak disentuh ialah bai'ah itu sendiri, yang tenggelam akibat isu penganiayaan terhadap wanita melalui cerai talak tiga sekiranya mengkhianati parti.

Hakikat bahawa PAS menggunakan istilah bai'ah menunjukkan hubungan rapat amalan ini dengan Islam, sesuai dengan kedudukan PAS sebagai jamaah dan parti yang memperjuangkan Islam.

Dalam sejarah Islam, pemilihan ketua untuk memimpin umat disusuli dengan bai'ah atau janji taat setia daripada rakyat, sebagai menyempurnakan kontrak melibatkan pemimpin dan rakyat.

Hal ini kerana kedudukan kepimpinan ialah amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat, dan pada masa yang sama, setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab tersendiri, termasuk mematuhi pemimpin yang diberi amanah itu.

Dalam sejarah, umat memberikan janji untuk setia pada ketika senang dan susah dan pada perkara yang disukai dan tidak disukai. Ini semua menunjukkan komitmen yang besar dan secara praktisnya menjadi salah satu syarat kejayaan sesebuah organisasi.

Kerana inilah, semangat kekitaan dan perpaduan umat dapat dipelihara. Pemimpin menyedari amanah yang ditanggung dan rakyat mengemukakan janji untuk taat setia.

Dalam sejarah terkini politik negara, bai'ah ini telah berjaya memastikan wakil-wakil rakyat PAS tidak mengkhianati parti dan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya.

Bai'ah ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak dipermudahkan kepada "cerai talak tiga" yang disensasikan sesetengah pihak.

Sejarah Islam telah menunjukkan pengorbanan yang besar dilakukan oleh mereka yang memilih jalan perjuangan. Nabi Muhammad saw sendiri berdepan cabaran dan ancaman yang hebat dalam perjuangan menyebarkan Islam.

Pengkhianatan kepada perjuangan membawa kesan yang besar dan mungkin berpanjangan.

Dalam konteks hari ini, lafaz laknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang perjuangan Islam yang bukan bermula dan berakhir dengan perjuangan PAS.

Perjuangan yang besar ini perlulah diletakkan harga yang mahal, dan mereka yang terlibat perlulah bersedia memberikan janji yang sewajarnya.

Perjuangan dalam jamaah Islam ialah satu komitmen sepanjang hayat yang matlamatnya bukan sekadar kuasa, kedudukan atau harta. Oleh sebab itu, perlulah janji untuk taat setia yang tegas diberikan.

Bai'ah juga secara tidak langsung mendorong kepimpinan jamaah dan seluruh ahli untuk menetapkan perjuangan dalam jalan yang benar dan menepati prinsip-prinsip perjuangan Islam.

Ini kerana bai'ah yang dilakukan ialah untuk perjuangan Islam dan oleh itu, jamaah yang diwakili itu perlulah tetap berada di jalan yang benar.

Berdasarkan sensasi di media negara ini, dapat diperhatikan tidak mudah untuk banyak pihak dari luar PAS memahami bai'ah dan implikasinya dalam perjuangan Islam.

Tetapi, bagi PAS, sebuah jamaah dan parti Islam, bai'ah ini menjadi bukti komitmen ahli-ahli kepada perjuangan Islam. Bai'ah ini menunjukkan kepada semua bahawa perjuangan PAS ialah perjuangan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan