Mahathir hipokrit hanya sibuk pasal Guantanamo, macamana ISA?

NYZA AYOB

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diselar kerana tidak layak untuk membicarakan mengenai jenayah perang serta mengetengahkan bekas tahanan Teluk Guantanamo sewaktu Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang yang diadakan baru-baru ini.

Bekas tahanan ISA, Zainon Ismail, menegaskan Mahathir bukan individu yang tepat untuk membawa ketiga-tiga bekas tahanan Teluk Guantanamo itu bagi menceritakan pengalaman yang dialami mereka sepanjang tahanan memandangkan keseksaan yang serupa turut dihadapi mangsa ISA di Malaysia.

Zainon yang ditahan ISA pada 2001 dan dibebaskan pada 2007 menyatakan Mahathir juga tidak layak menjadi Pengerusi Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) kerana sikap serta kezalimannya sebelum ini dalam isu ISA.

"Terdapat mangsa ISA yang ditahan telah lapan tahun dan sehingga kini tidak dibebaskan. Kenapa Mahathir tidak menuntut Kementerian Dalam Negeri membebaskan mereka jika beliau bercakap mengenai kezaliman yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap tahanan Teluk Guantanamo?

"Apa yang berlaku di Malaysia cuba disembunyikan daripada masyarakat antarabangsa seolah-olah kerajaan Malaysia tidak bertindak zalim dengan menahan rakyat tanpa bicara," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Jelas Zainon, beliau dan bekas tahanan ISA tidak berpuas hati dengan program yang dilaksanakan Mahathir kononnya penubuhan ‘Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT)’ merupakan antara langkah pertama ke arah usaha menghapuskan perang dan menjadikan perang sebagai satu bentuk jenayah.

Zainon menegaskan, tribunal yang ditubuhkan dan dikatakan dianggotai hakim yang tidak berpihak dan adil bertentangan dengan sikap sebenar Mahathir yang sebelum ini menahan individu tanpa bicara.

"Beliau menangkap kami tanpa bicara. Kemudian apabila kami dibebaskan kami terpaksa 'merangkak' mencari pekerjaan kembali. Dan sepanjang dalam tahanan kami mengalami kerugian yang bukan sedikit daripada perkerjaan serta sumber rezeki kami sebelum ini.

"Mahathir langsung tidak mengambil tahu perkara ini. Tiba-tiba beliau membawa masuk bekas tahanan Guantanamo bagi menggambarkan keprihatinannya," katanya.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan 'keadilan' yang cuba ditunjukkan Mahathir melalui penubuhan tribunal tersebut sedangkan sebagai pemimpin Islam, beliau tidak melaksanakan perkara yang sepatutnya dalam menunjukkan keadilan.

Jelasnya, seksaan yang dialami tahanan ISA juga tidak ubah seperti tahanan Abu Gharib dan Teluk Guantanamo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan