Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock bermula di Hospital Sungai Buluh hari ini dengan diketuai oleh Ketua Patologi hospital itu, Dr Shahidan Mohd Noor.
Bedah siasat ini diperhatikan oleh dua pakar dari luar negara iaitu Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan Dr Peter Vanezis, pakar patologi yang turut serta dalam bedah siasat inkues mayat Princess Diana, dari Britain.
Dr Pornthip dilantik oleh kerajaan negeri Selangor manakala Dr Peter dilantik oleh SPRM.
Mayat Teoh telah digali semula setelah lebih empat bulan dikebumikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih pagi semalam.
Satu upacara keagamaan diadakan terlebih dahulu seawal jam 9.00 pagi sebelum dikeluarkan selepas 2 jam penggalian.
Pihak keluarga memohon para hadirin dan wakil media memakai pakaian gelap sepanjang upacara.
Sebaik sahaja mayat Teoh berjaya dikeluarkan, wakil keluarga, forensik, polis dan pakar patologi membuat pengecaman mayat terlebih dahulu sebelum dibawa keluar ke Hospital Sungai Buloh.
"Mayatnya dalam keadaan yang sangat baik," kata peguam keluarganya, Gobind Singh Deo.
Upacara penggalian dibuat secara tertutup. Kawasan dilitupi kain putih setinggi 3 meter menghalang pihak media daripada membuat liputan.
Bagaimanapun setelah selesainya upacara tersebut, hanya kelibat keranda Teoh sahaja kelihatan dengan dibaluti pembalut plastik lut sinar dan ditandai bagi melindungi bukti mahkamah daripada dicemari.
Hadir sama Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Ronnie Liu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Sementara itu, Gobind menambah kehadiran pakar patologis antarabangsa Dr Pornthip Rojanasunand pada upacara pagi tadi amat penting bagi memantau proses penggalian semula mayat Teoh sebelum dibawa keluar ke Hospital Sg. Buloh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan