Pelaksanaan tak betul punca gagal hayati ibadat korban

Hasliza Hassan

KONSEP ibadat korban perlu diubah dengan meletakkan tujuan pelaksanaannya di tempat yang betul mengikut keutamaan supaya hikmah digalakkan umat Islam melakukan pengorbanan itu benar-benar dihayati serta mencapai matlamatnya.

Pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Mohd Ridhwan Tee Abdullah, berkata cara pelaksanaan ibadat korban boleh berubah daripada amalan yang menjadi kebiasaan sesuai perkembangan serta tuntutan semasa.

"Korban tidak semestinya korban lembu saja. Menurut al-Qaradhawi mengenai keutamaan korban itu, antara menunaikan haji dan membantu umat Islam di Palestin, duit menunaikan haji itu lebih wajar diberi kepada umat Islam di Palestin yang benar-benar memerlukan.

"Ganjarannya nanti sama seperti menunaikan haji mabrur walaupun tidak pergi ke Makkah," katanya pada majlis Forum Perdana Sempena Ibadat Korban anjuran Masjid Negara di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara, kelmarin.

Beliau yang mengupas persoalan maksud ibadat korban dalam konteks masyarakat di Malaysia dalam perbincangan bertajuk Korban atau Terkorban berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan keutamaan amalan ibadat korban di negara ini tidak diletakkan di tempat sepatutnya.

Budaya menyembelih lembu di masjid, kebanyakan kawasan terutama di bandar memperlihatkan daging korban disedekahkan kepada mereka yang biasa makan daging sedangkan tujuan berkorban adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan.

Ada sesetengah tempat, pihak pengurusan masjid menghadapi kesulitan mencari anak kariah miskin atau kurang berkemampuan untuk disedekahkan daging korban sedangkan jumlah lembu disumbangkan untuk ibadat itu melebihi keperluan penduduk setempat.

Justeru, Mohd Ridhwan berkata, umat Islam yang ingin melaksanakan ibadat korban mempunyai pilihan termasuk melaksanakan ibadat itu di kawasan terpinggir atau negara lain yang masyarakat Islam di sana tidak berpeluang makan daging.

Katanya, dengan cara itu umat Islam dapat menghayati hikmah disyariatkan ibadat korban iaitu untuk meningkatkan ketakwaan dan mensyukuri nikmat Allah kurniakan dengan berkongsi rezeki itu bersama saudara kurang berkemampuan.

"Hari ini kita berlumba-lumba untuk menyembelih lembu dan selepas sembelih kita juga yang ambil atau beri kepada saudara yang hidupnya memang makan daging, sedangkan jika duit itu kita sedekahkan kepada umat Islam yang mendesak hidupnya sekarang adalah lebih baik," katanya.

Beliau berkata, pengorbanan juga perlu dilakukan dengan niat ikhlas kepada Allah kerana hanya pengorbanan ikhlas membolehkan seseorang itu menghayati serta menikmati ganjaran daripada ibadat dilakukan.

Katanya, amalan korban juga sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam meningkatkan kecintaan kepada Allah dengan mengingati kisah Nabi Ibrahim yang taat serta ikhlas beribadah hingga sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail.

Pada masa sama katanya, keikhlasan bersedekah kepada golongan miskin melalui amalan korban akan melahirkan insan berjiwa prihatin terhadap nasib menimba saudara dengan memberi kegembiraan kepada mereka pada sambutan Aidiladha.

Sementara itu, pakar motivasi yang juga Presiden Pertubuhan Muslim Antarabangsa, Dr Rubiah K Hamzah, berkata hikmah ibadat korban gagal dihayati disebabkan ikrar syahadah tidak meresap dalam jiwa umat Islam.

Beliau yang ditanya mengenai senario melanda masyarakat hari ini yang sanggup mengorbankan agama, keluarga dan intelektual kerana terpedaya hasutan keduniaan meletakkan kesalahan itu kepada ibu bapa.

"Saya nak tanya siapa yang mendaftarkan anak mereka menjadi hamba Allah. Berapa ramai ibu bapa yang mengajar sendiri syahadah kepada anak mereka. Jika ikrar syahadah tidak lekat pada anak, bagaimana masalah dalam masyarakat hendak selesai," katanya.

Beliau berkata, masalah terkorban dan terpedaya dengan perkara melalaikan serta merugikan tidak akan timbul jika ibu bapa sanggup berkorban masa serta harta demi menyuburkan pembangunan budaya bertuhan dalam keluarga.

Rubiah berkata, ibadat korban yang dilaksanakan menjadi tidak ikhlas kerana ikrar kosong terhadap Allah tidak ditunjangi rasa cinta sedangkan bagi yang menjiwai janji diucapkan akan memastikan setiap perbuatan semata-mata mendapat keredaan Allah.

Oleh itu katanya, ibu bapa bertanggungjawab menanam akidah dalam jiwa anak sebagai akar yang akan menjadi pengikat supaya mereka tidak mudah menjadi korban kepada perkara negatif yang semakin menular hari ini.

"Suntikan kepada anak, mereka hamba Allah, bukan hamba kepada kerja, harta atau sebagainya. Remaja tersungkur kerana jiwanya kosong tetapi jika dididik setiap yang dinikmati adalah atas izin Allah, matlamat hidup menjadi jelas kepada mereka.

"Kuncinya ialah apa juga yang dinikmati atau dirasai adalah dengan izin Allah. Ibu bapa jangan asyik semak berapa A anak dapat, semak juga apakah aurat anak terjaga. Semua tidak dapat diubah melainkan dengan apa yang kita namakan taubat. Jika tidak semua masalah tidak selesai," katanya.

B/H-detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan