Pendedahan amalan bai’ah berniat jahat / PKFZ / Zambry / Altantuya

Ustaz Ahmad Baei Jaafar
(Pengarang Majalah Solusi dan pendaftar nikah)
Bai’ah dalam bahasa Melayu moden bolehlah diterjemahkan sebagai akujanji. Semasa Rasulullah di Makkah lagi, ada beberapa penduduk Yasrib (Madinah) melakukan akujanji untuk mempertahankan Islam dan Rasulullah. Semasa Rasulullah sampai di Madinah, orang Muhajirin dan Ansur member bai’ah terhadap kepimpinan Baginda.

Selepas itu setiap kali berlaku perlantikan khalifah selepas wafat nabi Muhammad, rakyat terutama pemimpin tempatan keluar memberi bai’ah. Akujanji taat setia itu memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang dipilih itu. Dengan ini mereka boleh menjalankan amanah dengan sebaiknya.

Tiba-tiba timbul pula pada akhir-akhir ini bai’ah ADUN PAS yang mereka bersedia menceraikan isteri masing-masing jika mereka melompat parti. Walaupun dengar seperti janggal, tetapi bai’ah seperti sah. Kedudukannya adalah takliq yang boleh menjaga kelangsungan rumah tangga. Logiknya, kalau suami itu sayang kepada isteri dia tidak akan keluar parti atau apabila dia berkira-kira untuk lompat parti akan difikirkan berkali-kali, mana lebih penting; isteri atau parti baru. Kalau lompat parti, bolehkah dapat isteri lain sebaik bekas isterinya? Jadi, dia akan pilih mempertahankan isteri dan partinya.

Kalau berdasarkan itu, mengapa ada mufti yang kata bai’ah itu haram? Mengapa ada orang yang kata bai’ah itu zalim? Jawapan mereka kepada masyarakat itu bukan berdasarkan ilmu tetapi kerana kepentingan orang tertentu atau jahil.

Takliq dalam Islam boleh datang dalam pelbagai keadaan bagi tujuan menyelamatkan rumah tangga daripada bercerai berai , bukan sebaliknya, mempurak purandakan rumah tangga yang sedia ada. Sebagai bukti, bukankah selepas majlis akad nikah ada takliq yang dibacakan suami walaupun sesetengahnya tidak diketahui isteri?

Selain isteri juga boleh buat takliq dengan syarat dipersetujui suami. Ini bermakna setelah isteri membuat draf takliq dan suami bersetuju dengan takliq itu, mereka takliq itu sah. Maka dengan itu mereka akan saling berusaha mengekalkan rumah tangga mereka.

Takliq ini boleh diamalkan oleh sesiapa, individu ataupun ahli mana-mana persatuan. Sama ada orang politik atau tidak, parti pemerintah atau pembangkang. Boleh juga secara paksa atau sukarela. Yang penting tujuannya untuk kebaikan rumah tangga mereka.

Walau bagaimanapun rencana ini bukan menyokong apa yang dilakukan oleh ADUN PAS kerana apa yang didakwa itu masih tidak jelas pada saya. Sekali pandang seperti fitnah yang sengaja dibesar-besarkan oleh musuh politik. Hal ini kerana Menteri Besar dan sebahagian besar ahli PAS terkejut dengan berita itu.

Saya mencari-cari juga kenyataan YB Khalid Samad yang kononnya mengesahkan kejadian bai’ah itu. Tetapi yang saya dapati beliau mengesahkan wujud satu blog yang mendedahkan kejadian itu. Alhamdulillah saya berkesempatan melayari blog itu dan setelah membacanya, ternyata ia seperti satu cerita yang direka oleh penulis blog itu.

Saya tidak kenal dengan penulis blog itu, mungkinkah dia YB yang dimaksudkan. Saya tidak pasti.. Tetapi saya hairan kalau dia wakil rakyat PAS mengapa dia membuat kenyataan itu kepada umum, apakah motifnya. Pendedahan itu yang pada saya amat bodoh sebagai seorang Islam apatah lagi sebagai wakil rakyat.

Jika benar dia adalah wakil rakyat, sememangnya dia tidak layak. Hal ini kerana orang politik ada perkara yang boleh didedahkan dan ada yang tidak boleh didedahkan. Dalam perjuangan ada rahsia dan ada sterategi yang perlu dibuat dengan berhati-hati.

Walau apapun saya berharap setiap umat Islam sama ada pemimpin atau rakyat biasa, jadilah orang yang cerdik dalam melayari bahtera hidup yang berliku ini.

--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke
Fikrah Islamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan