Salahuddin Seru Akar Umbi Pas Rapat Barisan / Nizar / PKFZ / Zambry

Seminar Khas Pas Pusat Parti Islam Se-Malaysia bermula hari ini dengan ucapan pembukaan dari Naib Presiden Salahuddin Ayub selaku penganjur majlis menggesa akar umbi Pas merapatkan barisan menghadapi cabaran politik masa hadapan.

Mengimbas kembali sejarah politik Pas, Salahuddin berkata daya tahan parti seangkatan yang gugur dalam lipatan sejarah adalah displin akar umbi dan pautan kepada demokrasi dan Islam.

"Pas terbuka kepada kritikan. Pemimpin Pas terbuka hatinya dan membuka ruang kepada teguran dan pendapat, sepertimana yang dapat kita lihat hari ini," katanya.

Lebih seribu perwakilan dari seluruh negara tertumpu di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah Pas Taman Melewar hari ini.

Antara yang hadir hari ini adalah Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Abdul Hadi Awang.

Dijemput memberi pandangan adalah tiga panelis termasuk Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa, antara pengkritik lantang terhadap Pas khususnya kepimpinan Abdul Hadi Awang mutakhir ini.

Pas mengadakan seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Nik Aziz.

Matlamat seminar ini adalah pemerkasaan parti aliran Islam itu melalui dialog membincangkan masalah yang berbangkit dalam Pas.

Meneruskan ucapannya, Salahuddin berkata keterbukaan ini membezakan Pas dari parti-parti politik kontemporasi, dan beliau menggesa budaya ini diteruskan.

"Sekiranya Pas terus membuka ruang kepada kritikan, maka kita akan terus utuh, dan insyaAllah membantu kita mendapat tempat di mata masyarakat," katanya.

Tidak sampai sampai satu jam seminar berlangsung, Nik Aziz meninggalkan majlis atas alasan kesihatan.
-tvselangor.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan