Rizal Tahir
KOTA BAHRU, 11 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat pemberian wang ehsan oleh pusat menggantikan royalti bukan untuk rakyat tetapi bagi menjaga kepentingan Umno negeri itu.
Dakwaan itu dilihat berasas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian wang ehsan tersebut hanya melalui projek pembangunan diurus wakil kerajaan pusat bukan kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas perkara itu berkata, penyaluran wang tersebut sepatutnya diberi kepada kerajaan negeri kerana ianya hak rakyat negeri itu.
“Bumi Kelantan yang mengeluarkan minyak, bumi Kuala Lumpur setitik pun tak ada minyak.
“Ehsan apa ambil hak kami. Kami yang beri ehsan kepada pusat. Bukan pusat beri ehsan kepada Kelantan,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.
Namun yang lebih dibimbangi adalah ketelusan agensi kerajaan pusat yang dipertanggungjawab mengendalikan projek wang ehsan tersebut.
Pengalaman selama ini jelasnya, dua agensi pusat di negeri itu tidak pernah mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dalam setiap perbelanjaan mereka.
“Pusat telah ada dua agensi tidak melalui kerajaan negeri. Dia ada Jabatan Pembangunan Pusat (JPP) dan Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER).
“Dua agensi ni nak belanja apa pun tidak melalui kelulusan negeri. Dia nak rasuah ke, nak tiris ke, nak bucur ke, dia punya pasal. Tetapi hak ni (duit royalty) kami hendak,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau sedang mengatur untuk bersemuka dengan perdana menteri membincangkan tuntutan royalti bukan wang ehsan seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Bukan pusat je nak duit, negeri pun nak duit. Negeri ada Dewan Undangan Negeri sendiri ada bajet sendiri ada defisit sendiri, jadi kenapa tak nak beri duit kepada kami,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan