Alahai menteri tandas.........

Roslan SMS

Saya terpaksa akui perkhidmatan teksi di Lembah Kelang perlu diperbaiki. Kita akui ramai diantara para pemandu teksi ini jujur mencari rezeki yang halal. Ada diantara mereka memandu sebagai kerja "part-time" selain bekerja disiang hari kerana mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Maklumlah hidup di Lembah Kelang hari ini, kosnya tinggi sedangkan gaji dan upah kecil.

Walaubagaimanapun ada diantara mereka yang mencari kesempatan. Memberi buruk pada nama profesion yang asalnya baik. Sebenarnya mana-mana profesion pun begitu bukan sekadar drebar teksi. Bab cari kesempatan ini dari drebar teksi ke pegawai polis, kastam, peniaga kecil-kecilan, tokoh korporat malah atas sampai ke menteri sekalipun memang ada.

Berbalik kepada drebar teksi, masih ada pengguna yang merungut drebar teksi ambil kesempatan. Meter tak diguna, caj lipat kali ganda, enggan ambil penumpang, kasar dan tidak berperikemanusiaan, teksinya kotor dan seumpamanya.

Tetapi apabila Menteri yang bertanggungjawab menghimpunkan masalah ini dan menghukum perkhidmatan teksi lebih teruk dari tandas, saya kira kenyataan itu sangat biadap, tidak bertanggungjawab malah tidak adil terhadap profesion ini.

Nazri Aziz adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang ini. Jika beliau boleh label bidang bawah jagaannya sebagai tandas, siapa boleh menahan kita dari melabelkan beliau sendiri sebagai menteri tandas kerana tidak ada usaha dan inisiatif untuk memperbaiki apa yang lemah dan kurang.

Saya pasti beliau gagal dalam prestasi KPI nya kerana tidak mampu memperbaiki perkhidmatan berkenaan. Nazri sesuka hatinya menghukum perkhidmatan teksi, beliau lupa kita semua sebagai rakyat berhak juga menilai dan menghukum beliau sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan. Kita tidak perlu seorang menteri yang sekadar pandai membebel dan menuding jari menyalahkan orang lain. Yang kita perlu adalah menteri yang mampu mengesan dan mengenal pasti kelemahan dan kekurangan serta berupaya menggunakan kebijaksanaannya menyelesai dan memperbaiki masalah berkenaan.

Kalau sekadar menghukum begitu sahaja saya percaya saya dan ramai yang lain tidak salahkan persatuan perkhidmatan berkenaan menuntut Nazri agar letak jawatan. Kita ganti sahaja menteri tandas ini dengan yang lain yang lebih proaktif dan mampu.

http://n32.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan