GERAK Bersependapat Dengan KuLi Kelantan Harus Diberi Royalti Minyak

MayLin
Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Kerajaan Pusat mengkaji semula keputusan berkaitan royalti minyak dengan memberikan royalti 5% hasil pengeluaran minyak oleh Petronas kepada Kelantan selaras dengan kedudukan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak.

Gerak berpandangan tidak ada istilah wang ihsan menurut Akta Petroleum Negara 1974 seperti mana yang telahpun ditegaskan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah terlibat sebagai pengasas Petronas. Jika negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu boleh diberikan wang royalti sebagai negeri pengeluar minyak. Maka mengapa tidak diberikan juga hak royalti 5% kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk diuruskan.

Gerak percaya Kerajaan Negeri Kelantan akan menguruskan wang royalti dengan telus dan bertanggungjawab sekiranya Kerajaan Pusat bersifat terbuka untuk menyemak kembali kedudukan pemberian wang royalti bagi diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Kredibiliti Kerajaan Pusat dan Petronas akan lebih terserlah dengan menghormati Akta Petroleum Negara.

Adalah menjadi hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan wang tuntutan ganti rugi hasil daripada aktiviti cari gali petroleum dan amat wajar untuk Petronas membayar wang royalti 5% atau bayaran tunai 5% (cash payment) kepada Kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu sikap yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Pusat BN selepas tewas di Terengganu pada tahun 1999 dengan menukarkan status wang royalti menjadi wang ihsan dan sekarang apabila Kerajaan BN menang semula di Terengganu ditukar kembali status kepada wang royalti.

Semangat federalisme yang penuh integriti wajib diamalkan oleh Kerajaan Pusat dalam isu royalti minyak ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan