M Jusoff Taib
TANGGAL 19hb. Disember, 2009 merupakan merupakan satu peristiwa bersejarah. Detik permula masa depan demokrasi Malaysia. Tidak ayal lagi betapa pentingnya gerakan rakyat jelata Malaysia mengampu penyempuraan demokrasi Malaysia melalui pilihanraya ke-12 Mac, 2008. Ia telah melahirkan kekuatan imbang terhadap kekuasaan. Ini bererti rakyat telah memperolehi pengukuhan ke atas hak-hak mereka.Suatu yang menarik adalah peranan PAS mahu pun DAP dalam hal menjayakan suatu komponen tandingan kepada BN dengan merealisasikan PR. Ia benar-benar menepati pepatah politik, “tiada yang mustahil dalam politik.” Tanpa komimen tinggi kedua-dua parti politik ini, Konvensyen Pakatan Rakyat yang jaya itu, akan menjadi mustahil.
Kita tahu DAP adalah sebuah parti sekular yang memperjuangkan satu bangsa Malaysia. Seperti mana-mana parti politik, politik DAP sebenarnya tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Idealisme DAP adalah mencapai negara bangsa yang sempurna dalam kemajmukan rakyat Malaysia.
Dari segi idealisme politik , PAS tidak ada berkonflik apa-apa dengan idealisme DAP, kecuali ia sebuah parti politik yang berlandaskan agama – Islam. PAS bagi saya bukan sebuah parti berteraskan ideologi, tetapi berteraskan dogma suci Islam – Wahyu/Alquran.
Untuk mendakwa PAS sebagai parti ideologi, ia keliru. Ini kerana Islam bukan ciptaan manusia, tetapi wayhu Allah. PAS dari masa ke semasa, bebas dalam ruang fikrahnya berdasarkan syura dan pengesahan para ulamanya mentafsir dan menggubalkan fikrah berdasarkan wahyu untuk menjana kekuatan Islam dan umat dalam politik Malaysia.
Sebuah ideologi dicipta melalui akal fikiran. Ia suatu falsafah yang diidealkan menjadi tonggak akidah perjuangan. Hal ini tidak mungkin berlaku kepada mana-mana pergerakan politik Islam. Kerana Islam pada hakikatnya agama yang berlandaskan asas mutlak kebenaran daripada Allah.
Oleh itu, ia sentiasa terbuka kepada akal untuk memikirkan pendekaran-pendekatan politik bagi menjayakan kebenaran Allah. Atau menjayakan pencapaian yang dikira lebih tepat dan bijaksana. Dalam laluan begini, insyaallah, PAS tetap akan bertenaga merenangi segala zaman dan segala keadaan yang memerlukan ia menyesuaikan diri dengan segala keupayaan ijtihad yang luas.
Sebab itu, pergerakan Islam tidak akan mati selagi ia tidak mengalih daripada berpegang kepada wahyu secara luas. Tidak menjumudkan diri kepada satu-satu falsafah berdasarkan Islam secara keta’atan taksub. Lagi pula Islam tidak membenarkan pemujaan akal melangkau keabadian dan kesucian wahyu.
Suatu ideologi buatan manusia akan tidak mampu menerokai zaman, seperti berlaku kepada sosialisme dan komunisme. Atau semua ideologi berdasarkan pemikiran yang berkembang pada abad lalu, kini telah dimusnahkan masa. Malah ada dikatakan, memasuki abad ke-21 ini, ideologi telah mati.
Sejak tercetusnya perjuangan reformasi yang menjadikan Anwar Ibrahim sebagai idola, dan para pemimpin parti-parti alternatif bersebulat menjana semangat rakyat, dan terjadinya kemesraan antara DAP dan PAS, ada sesuatu yang selama ini disalahfahami berkenaan politik Islam yang telah diperbetulkan.
Pemimpin-pemimpin DAP dapat memahami apa itu inti politik Islam. Selain berpegang teguh kepada akidah agama, Islam sebagai gerakan politik memfardhukan ke atas dirinya hak-hak keadilan bagi rakyat dan hak-hak kesolehan kepimpinan dalam hubungan dengan hak-hak rakyat. Ini tidak terbatas. Hak-hak perjuangan Islam ini melangkau anutan agama dan bangsa. Dalam Islam hak-hak kemanusiaan adalah luas.
Ini adalah asasi politik Islam. Malah jika kita selidiki secara halusi, pergerakan politik yang berlunaskan Islam terpaksa memikul beban menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tanpa mengira bulu. Dan kesolehan kepimpinan merupakan sangkut-paut langsung dengan permasalahan iman dan akidah. Inilah unik dan rumitnya tanggungjawab dalam pergerakan politik Islam.
Sebab itu, banyak pelajaran dari pengalaman pergerakan Islam yang mengalami kelumpuhan. Utamanya, hilang pembudayaan kesolehan sosial sebagai pelaksanaan amali yang dimunculkan oleh pergerakan itu. Ini berpunca oleh kerana sempitnya pengertian kesolehan kepimpinan dalam agenda pergerakan Islam itu.
Sedangkan ksolehan kepimpinan yang melahirkan budaya kesolehan sosial secara jama’ei dan haraki merupakan satu fardhu yang wajib dapat dirasakan takyat. Dan di zaman yang dinamakan zaman majmuk dan plurarisme ini, Islam dapat dirasakan hanya melalui pelaksanaan komitmen akhlak taqwa, iaitu perluasan kesolehan yang dikenali sebagai kemanusiaan islami yang luas dan universal.
PAS sudah jelas mulai memancarkan komitmennya dalam hal kesolehan politik dan sosial, walau pun tidak boleh dianggap telah sempurna. Ianya harus dikilaukan terus. Malah ucapan dasar presiden pada muktamar lalu, jelas kesolehan Islam PAS merupakan suatu agenda yang menjadi kewajipan untuk disempurnakan secara meluas, termasuk ke dalam agenda seni-budaya.
Ini sahaja yang membolehkan Islam dilihat syumul dan dirasakan syumul. Ertinya, Islam melalui PAS menjelmakan suatu pembudayaan menyeluruh.
Bayangkan, apakah ucapan tokoh DAP seperti yang diucapkan oleh Lim Guang Eng dalam Konvensyen Sabtu lalu itu. Apakah hal ini boleh dilakukannya pada masa lalu ? Ini semua adalah kerana PAS sendiri telah melangkau tradisi sempit sehingga banyak meruntuhkan kebuntuan Islam sebagai agama yang disalah anggap dan diberi pransangka buruk yang lapuk.
Ia suatu kejayaan besar bagi Islam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan