LEPAS PANDANG

MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH

ISLAM DI HATIKU...

BERAT di mata, berat lagi bahu yang memikul. Ini sahaja ungkapan yang dapat dikatakan oleh insan yang bergelar ‘Saudara Baru atau muallaf’ yang lebih dikenali ramai.

Tergerak di hati untuk menulis artikel ini apabila menerima banyak rintihan atau keluhan akibat daripada dugaan yang dihadapi selepas memilih agama Islam sebagai pegangan hidup seharian.

Sesudah ditinggalkan keluarga, rakan-rakan yang dahulunya rapat tetapi kini menjadi semakin jauh, pihak yang bertanggungjawab pula kurang mengambil perhatian terhadap mereka yang ingin mendapatkan nasihat, bimbingan, sokongan, kasih sayang mahupun ilmu agama.

Terdapat beberapa orang rakan baru yang berjumpa saya dan meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hati yang tiada tempat untuk mereka luahkan sebelum ini.

Tidak mustahil ramai yang memeluk Islam dan ramai juga yang keluar daripada Islam sekiranya golongan seperti ini tidak mendapat tempat di mata hati para umat seagama.

Mulut pandai berkata-kata tetapi tiada tindakan yang dilakukan. Apa yang didapati hari ini, pihak yang bertanggungjawab seakan-akan lupa dengan peranan sebenar sebagai tempat rujukan mahupun bimbingan kepada mereka yang bergelar saudara baru. Agaknya pihak berkaitan hanya menumpukan kepada kuantiti dan bukan pada kualiti.

Selepas mendaftarkan diri secara formal dalam Islam, kebanyakan saudara baru tidak menerima bimbingan susulan dan menyebabkan ada di antara mereka terumbang-ambing dan tanpa hala-tuju.

IKHLAS

Islam cukup besar menaruh kepada perhatiannya terhadap niat atau perasaan yang menyertai amal perbuatan manusia.

Memberi pertolongan tidak kiralah dalam bentuk apa sekalipun merupakan sesuatu perbuatan atau amalan yang baik tetapi saban hari manusia memberikan pertolongan kepada seseorang hanya untuk mendapat perhatian.

Ikhlas itu merujuk kepada roh sesuatu amal dan amal kebajikan. Amal ibadah yang ditunaikan oleh seseorang tanpa disertai dengan niat yang ikhlas maka amalan yang demikian itulah dikatakan tidak mempunyai rohnya.

Surah: 98. Al Bayyinah 5: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama yang lurus.”

Sedih sungguh apabila mendengar ada di antara saudara baru yang tidak tahu cara untuk mendirikan solat. Sesungguhnya solat lima waktu itu adalah tiang agama. Apabila ditanyakan “adakah anda mendirikan solat sebelum ini?” Ada yang menjawab “Ya, tetapi saya cuma mengikut apa yang orang lakukan ketika bersolat.”

SALAH SIAPA?

Siapa yang perlu dipersoalkan dalam situasi sebegini? Jangan salahkan orang lain sekiranya kita sendiri tidak ada kemahuan untuk mempelajari dan mendalami ilmu dalam Islam.

Surah: 31. Luqman 17: “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhkanlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk dalam hal-hal yang diwajibkan oleh Allah.”

Saya bercerita di sini tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Peringatan ini juga ditujukan buat diri saya sendiri di mana niat dan iman kita perlulah sentiasa kukuh bagaikan daun, ranting-ranting serta dahan-dahan pokok yang diperkuatkan dengan akarnya yang subur.

Sesungguhnya buat semua saudara baru yang menghadapi pelbagai dugaan, carilah tempat di mana anda boleh berteduh dan menerima dorongan serta nasihat. Janganlah salah mencari sehingga menjerat diri anda sendiri.

Dalam sesuatu perjuangan menuju ke jalan Allah itu tentunya akan dirintangi dengan pelbagai halangan. Tidak akan sempurna hidup kita tanpa dugaan. Hanya dugaan sahaja yang bakal mengingatkan diri kita kepada Allah yang Maha Esa.

SABAR

Dan bersabar itu merupakan cahaya yang gilang gemilang. Sebagai hamba Allah, kita tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian yang menimpa kepada kita. Baik musibah yang menimpa diri kita sendiri mahupun bencana yang menimpa pada sekelompok manusia mahupun bangsa.

Merujuk kepada segala kesulitan dan kesempitan yang bertubi-tubi dan berlarutan, hanya sabar sahaja yang bakal memancar sinar yang memelihara seseorang muslim daripada jatuh kancah kebinasaan.

Seterusnya, memberi hidayah yang akan menjaga diri seseorang daripada mudah berputus-asa. Sebagai seorang muslim yang sejati, wajiblah kita mempertenguhkan hati dalam menanggung segala dugaan dan penderitaan dengan tenang.

Pikullah bebanan hidup dengan hati yang yakin tanpa sebarang keraguan. Hadapilah dengan tabah dan sabar serta bertawakallah kepada Allah.

Surah: 33. Al Ahzab 17: “Katakanlah: siapakah yang dapat melindunngi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana ke atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh pelindung penolong selain Allah.

Surah: 13. Ar Ra’d 11: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

Surah: 2. Al Baqarah 155-157: “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila menimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

DARJAT DI SISI ALLAH

Sepanjang kehidupan manusia adalah semata-mata untuk menyerahkan dirinya kepada Allah dengan niatnya yang ikhlas, maka seluruh gerak dan diamnya, tidur dan jaganya akan dihitung langkah-langkah dalam mencari keredhaan Allah.

Hanya kadang-kala kita sebagai hamba Allah mempunyai beberapa kelemahan dalam melakukannya. Namun demikian, Allah yang maha mengetahui hati manusia akan mengangkat hamba-hambanya yang berkeinginan tinggi untuk berbuat baik ke darjat orang-orang yang membuat kebaikan.

Orang yang sabar dan tekun dalam menghadapi segala rintangan hidup tanpa mengeluh akan mendapat tempat atau darjat yang tinggi di sisi Allah S.W.T. jika dibandingkan dengan orang yang acapkali takut akan rintangan yang membayangi dirinya sendiri.

Oleh itu, nasihat saya di sini ialah jangan sesekali berpatah-balik apabila sudah memilih jalan yang benar. Sesungguhnya ramai umat Islam yang sanggup untuk membantu anda.

MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH adalah seorang pengajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam.

-mstar.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan