Zulkifli Sulong
19 Disember ini bakal menjadi sejarah penting perkembangan politik negara ini apabila Pakatan Rakyat akan menganjurkan konvensyen pertamanya.Ia bagi menandakan pergabungan secara rasmi parti-parti PAS, PKR dan DAP dalam satu parti gabungan yang bernama Pakatan Rakyat (PR).
PR telah difailkan pendaftarannya oleh enam pemimpin kanan ketiga-tiga parti itu dan kini menunggu ianya diterima dan disahkan oleh Pendaftar Pertubuhhan.Pendaftaran ini dibuat selepas Ketua Pengarah Pendafatran Malaysia mengakui bahawa pihaknya tidak ada sebarang halangan untuk ketiga-tiga parti itu didaftarkan di bawah satu gabungan.
Padahal sebelum itu, ia telah menjadi halangan utama mereka bergabung secara rasmi. Ini kerana, mengikut peraturan yang ada, tiga parti tidak cukup untuk membolehkan mereka membentuk satu parti gabungan sebagaimana Barisan Nasional.
Konvensyen pertamanya minggu depan akan meletakkan politik Malaysia maju setapak ke hadapan. Ini kerana, ia akan membuka satu lembaran baru ke arah sistem dua parti di negara ini. Rakyat bakal ada pilihan yang seimbang antara pemerintah yang ada sekarang, Barisan Nasional (BN) atau gabungan parti baru, Pakatan Rakyat (PR).
Konvensyen pertama PR akan diraikan secara besar-besaran. Ia melambangkan satu kemunculan kuasa baru dalam politik negara.
"Kita buat umpama kenduri. Kita mahu seramai mungkin orang datang ke kenduri kita dan untuk itu kita akan membuat persiapan terbaik untuk kenduri ini," kata Datuk Salehuddin Hashim, Setiausaha Agung PKR yang juga Pengarah Konvensyen ini.
Dalam konvensyen ini, semua pemimpin kanan ketiga-tiga parti yang bergabung dijangka berucap. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz akan memulakannya dengan doa untuk keberkatan majlis dan gabungan rasmi tiga parti politik Malaysia ini.
Ia akan diikuti dengan ucapan para pemimpin ketiga-tiga parti dan juga peserta konvensyen ini. Setiap parti dijangka akan menghantar 500 pemimpin utama mereka menjadikan ia bakal disertai oleh 1,500 perwakilan dari seluruh negara.
Para penyokong juga dijangka akan memenuhi Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, tempat berlangsungnya konvensyen ini.
Di majlis ini, logo Pakatan Rakyat akan diperkenalkan secara rasmi dan dijelaskan rasionalnya (Walaupun ia sudah diperkenalkan kini).
"Kita pilih warna oren, iaitu warna kita bersama. Bukan biru muda PKR, bukan merah DAP dan bukan hijau PAS," kata Salehuddin.
"Logo Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama menggambarkan ketiga-tiga entiti, iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party/DAP) berpakat dan bermusyawarah dalam semangat bersepakatan untuk memperjuang, menjaga dan memelihara konsep kenegaraan Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan 1957, yang dilambangkan dengan bunga raya berkelopakkan lima kumpulan bangsa menjunjung perlembagaan berteraskan lima prinsip Rukun Negara. Warna oren melambangkan api dan semangat juang yang sentiasa membara sesama ahli parti dalam Pakatan Rakyat," beritahu pihak yang merangka logo ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Penaja yang mendaftarkan Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dilantik sebagai ketua atau penasihat atau spiritual leader pertama Pakatan Rakyat.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Anwar dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat.
Namun, sehingga sekarang pada dasarnya Pakatan Rakyat bersetuju, orang yang memimpin gabungan ini adalah pemimpin yang memimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen. Sekarang ini, PKR maka pemimpin mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dan sehingga kini nampaknya, isu siapa yang memimpin Pakatan Rakyat tidak akan menjadi isu dalam konvensyen mereka yang pertama ini.
Persoalannya kini, sejauh mana kuatnya gabungan parti baru ini selepas Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan bersama antara PAS, DAP dan lain-lain parti sebelum ini hancur.
Mungkin menyedari hakikat inilah, Pakatan Rakyat didaftarkan. Jika kata sepakat berjaya dicapai dalam konvensyen ini, mereka akan mempunyai logo yang sama dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketika itu, rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan yang jelas, BN yang sudah lebih 50 tahun memerintah negara atau Pakatan Rakyat yang memberikan tawaran untuk menjadi parti alternatif rasmi kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan