PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Roslan SMS

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor menghampiri usia dua tahun. Tidak seperti rakannya di Perak yang tidak dapat bertahan angkara “politik pintu belakang” pihak musuh, kerajaan PR Selangor yang bertahan dengan 35 kerusi berbanding pembangkang 20 dan Bebas 1, dijangka mampu menghabiskan tempoh penggalnya.

Walaupun pihak musuh politik terus cuba mengadu-domba dan memporak-perandakan kerajaan yang setahun jagung usianya itu namun ternyata kematangan politik rakan-rakan dalam PR Selangor yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS terus berjaya melayari persada politik dan mengatasi segala gelombang dan gelora yang ada.

Pengalaman memerintah Selangor bukan hanya baru buat PAS tetapi juga PKR dan DAP. Selangor adalah sebuah negeri maju dengan lanskap politiknya yang tersendiri dan banyaka berbeza dari negeri-negeri lain. Oleh itu ujian dan cabaran pada kerajaan ini khasnya pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri sudah pastilah besar dan kemampuan terus bertahan sehingga hari ini membuktikan yang mereka komited dan mahu bersama melihat negeri ini terus menerajui agenda perubahan demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya.

PAS Selangor menyertai pilihanraya umum ke 12 lalu dengan jentera pilihanraya yang paling besar, terlatih, tersusun dan penuh disiplin. Ia bukan sekadar menyediakan sokongan padu buat calon-calon PAS yang bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN malah turut menyumbang dengan penuh kesungguhan mengisi kekurangan dan kekosongan jentera rakan-rakan lain yang bertanding termasuklah PKR di 21 kerusi dan DAP di 15 kerusi.

Kerana itu walaupun PAS dengan 8 kerusi merupakan rakan kongsi yang terkecil sahamnya berbanding PKR 14 (setelah 1 melompat jadi Bebas) dan DAP 13, namun sumbangannya ke arah kemenangan besar PR pada PRU lalu perlu diakui dan diiktiraf oleh semua pihak.

Dengan kemenangan ini PAS menerobosi pengalaman baru, hakikatnya ia menang dan pernah menang di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi peluang memerintah sebuah negeri campuran seperti Selangor adalah yang pertama buatnya.

Dalam kerajaan PR Selangor PAS diberikan 3 dari 10 kerusi EXCO, memegang portofolio penting seperti Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam (Dato Dr Hasan Ali), Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan (Iskandar Abd Samad) dan Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan (Dr Halimah Ali).

Ternyata ketiga-tiga EXCO berkenaan berpengalaman dan memiliki kelayakan dan berwibawa selain 5 lagi ADUN PAS yang tidak kurang kebolehan dan kepakaran mereka masing-masing. PAS sudah pasti akan mahu mencurahkan khidmat yang terbaik buat kerajaan PR demi melihat ia kekal dan mampu menang lebih besar lagi pada PRU yang akan datang.

Selangor yang hampir setengah abad diperintah oleh parti Perikatan dan kemudiannya BN kini melihat tunggak kuasanya diterajui oleh PKR, DAP dan PAS. Parti yang berbeza fahaman dan ideologi ini kini diberi peluang dan mandat oleh rakyat Selangor untuk memimpin mereka.

Sudah pastilah semua pihak perlu bersedia untuk meneroka pengalaman baru selain PKR, DAP dan PAS, termasuklah kakitangan kerajaan, ahli-ahli perniagaan, hatta rakyat kebanyakkan semuanya akan berhadapan dengan pengalaman baru. Rakyat telah lali dengan BN sekian lama, lantaran muak dengan lenggok dan gaya kepimpinan BN kini mereka sanggup berhadapan dengan yang baru. Mereka bukan terpaksa tetapi mereka membuat perubahan itu dalam keadaan sedar dan faham.

Mungkin PKR adalah suatu parti baru, tetapi rakyat Selangor yang terdedah kepada maklumat dan pendidikan sudah kenal PKR. Apalagi PAS yang hampir seusia dengan Umno itu, dan DAP yang telah menjejak kaki ke DUN Selangor sejak 1969.

Rakyat Selangor kenal PAS sekian lama. PAS adalah parti Islam dan kekal begitu walaupun pemimpinnya datang dan pergi. Dasar dan matlamat perjuangannya adalah Islam namun hak masyarakat bukan Islam turut dititpkan sebagai sebahagian dari perjuangan dan dasar pembelaannya. Ia telah cemerlang di Kelantan dan Terengganu. Rakyat Selangor mula berjinak dengan PAS pada tahun 1999 apabila memenangkan 4 calon PAS ke DUN Selangor. Dan kini ia memenangkan pula 8 calon PAS sekaligus memberi mereka peluang untuk membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

DAP dan PKR juga kenal PAS kerana itu PAS diterima sebagai rakan. PAS sudah pasti lebih baik dari Umno dan BN kerana itu mereka boleh diterima rakyat dalam PRU lalu bukan hanya di Selangor malah seluruh negara kecuali di Sabah, Sarawak dan Melaka. Persepakatan PR unik di Selangor dimana ketiga-tiganya perlu terus bergabung untuk mengekalkan hayat kerajaan ini, mana-mana satu kelompok yang meninggalkan kerajaan ini bermakna ia akan roboh. Atas kesedaran ini semua pihak insaf akan keperluan untuk kekal berkerjasama.

Menerima PAS sebagai rakan juga bermakna perlu menerima perjuangan PAS sebagaimana PAS menerima dan menghormati dasar dan perjuangan PKR dan DAP. PAS akan terus PAS dalam erti kata memperjuangan dasar dan matlamatnya dalam ruang lingkup realiti politik semasa. Dalam kes di Kelantan dan Terengganu satu ketika dahulu, sudah pastilah gelanggang di sana berbeza dibandingkan dengan Selangor, namun dalam apa sahaja ruang yang ada PAS perlu memain pernanan agar matlamat dan nilai perjuangannya tidak hapus atau pupus dan ia terus dihormati masyarakat.

PAS Selangor tahu bahawa Selangor bukan Kelantan atau Terengganu, namun perjuangan Islam tidak boleh dikatup atau dirihatkan semata-mata kerana Selangor bukan Kelantan atau Terengganu. Islam perlu hidup dan berperanan walaupun suasananya berbeza dan terbatas.

Di sinilah seruan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dalam ucapan dasar Muktamar PAS tahun 2000 lalu perlu diberi perhatian:

Saya sedar akan tuntutan supaya PAS teguh dari segi prinsip tetapi kontemporari dari sudut perlaksanaan dan futuristic dari sudut tuntutan fiqhul syara’. Maka kita akan dapat membezakan antara perkara yang tetap (at-thawabit) daripada perkara yang boleh saja berubah-rubah (al-muthaghayirat).

Beliau menambah:

Senario politik Malaysia bersama dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syarak (agama) untuk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai satu model perlaksanaan Islam yang sentiasa berpegang kepada prinsip disamping cukup peka terhadap peredaran zaman.

Sebenarnya perkara yang sama turut diulangi dan diulas oleh Presiden PAS kini Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Mukatamar PAS ke 55 lalu.

Dalam rangka dasar inilah PAS Selangor perlu dan akan berperanan. Mempertahan dan mengukuhkan akhlak, keperibadian serta aqidah umat Islam adalah tanggungjawab perjuangan PAS, selain membutikan keadilan Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.

Forum dan perbincangan bagi mengujudkan persefahaman khasnya bersama-sama rakan-rakan dalam PR penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan PAS di Selangor.

Memang kelihatan apa yang PAS mahu lakukan seolah boleh merugikan sokongan masyarakat bukan Islam buat PR tetapi dalam waktu yang sama apa sahaja yang PAS gagal laksanakan boleh juga merugikan sokongan masyarakat Islam buat PR. Kerana itu kematangan dan persefahaman serta kerjasama erat kepimpinan ketiga-tiga parti khasnya dalam mengharungi politik di Selangor penting.

Tohmahan dan cerita budak-budak nakal bahawa PAS Selangor mahu menyertai Umno sesungguhnya adalah sebahagian dari agenda yang mahu meruntuhkan PR jika dilihat secara serius. PAS Selangor tidak akan merongkai ikatan persahabatan bersama PR yang membentuk kerajaan di Selangor. Malah sejarah telah membuktikan apabila berkawan, PAS tidak pernah meninggalkan kawan-kawannya apalagi berpaling tadah.

Bagi PAS khasnya di Selangor, PR adalah jambatan yang paling baik untuk menzahirkan dasar dan matlamat perjuangan parti. PAS akan menggunakan segala kekuatan dan pengaruhnya untuk mempertahan dan memperteguhkan kerajaan ini. Rakan-rakan dalam PR Selangor berulang-kali telah diyakinkan akan perkara ini malah dalam Persidangan Meja Bulat antara PAS dan DAP Selangor baru-baru ini beberapa petua dan pantang larang parti telah dokongsi dengan DAP Selangor untuk meyakinkan mereka akan betapa istiqamahnya PAS dalam perjuangan.

Sesunggunya paduan tenaga antara PKR, DAP dan PAS Selangor mantap. PR Selangor mampu bertemu secara tetap setiap dua minggu sekali melalui Majlis Pakatan Rakyat Negeri dan sering pertemuan ini bermula dan berakhir dengan mesra dan semangat setiakawan.

Walaupun kadangkala kelihatan ada pergeseran dan pertelingkahan antara tokoh-tokoh tertentu dalam PR Selangor, namun ia semuanya dapat dilerai dan diselesaikan melalui
Musyawarah. Masing-masing diberi ruang dan peluang untuk bercakap khasnya apabila melibatkan prinsip dan dasar perjuangan.

Kekentalan dan keakraban hubungan inilah yang menghantui BN di Selangor. Harapan untuk menang dan kembali berkuasa di Selangor semkain tipis dan jauh. Tohmahan dan apa sahaja cerita budak-budak nakal akan hanya menghiburkan BN yang selamanya akan meratap tangis lantaran mantapnya kepimpinan PR Selangor. Kerana itu bagi para pejuang PAS bersamalah kita timbul dan berenang dengan arus perdana parti, jangan bergayut pada dahan yang reput dan buruk, kepentingan jemaah mengatasi kepentingan individu, berjuanglah ikhlas dan yakin kerana Allah swt.

Yakinlah saf kepimpinan yang ada di bawah bimbingan para ulamak yang tidak putus-putus memberi nasihat akan terus berpedomankan nas yang nyata dan jelas. Gabungan pengalaman, ilmu dan ketajaman politik pimpinan jangan dipandang murah lantaran tembakan liar merekayang jauh dan tidak bertanggungjawab.

PAS insyallah akan kekal bersama menerajui PR di Selangor.

http://n32.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan