Ali Hashim
KULIM, 21 Dis: Hasrat Pakatan Rakyat (PR) merealisasikan impian untuk menakluki Putrajaya akan menjadi realiti sekiranya kerjasama dan kesatuan yang sedia ada dipertahankan setelah mendapat kepercayaan rakyat.
Menurut bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng, kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu harus menjadi platform dan landasan untuk menambat hati rakyat dengan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diharapkan oleh mereka diperjuangkan oleh PR.
"Saya yakin PR tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana calon yang diletakkan oleh Barisan Nasonal (BN) dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan kerana rakyat sendiri sedar dan inginkan pembaharuan dilakukan dalam negara.
"Saya tidak lupa semasa saya berada dalam MCA, PR berhadapan dengan kritikan hebat daripada BN kerana ketiga-tiga parti dalam PR tidak bersatu dan membawa hala tuju masing-masing.
"Namun begitu setelah mereka disatukan dalam satu Pakatan maka pengaruh yang ada pada mereka semakin kuat. Rakyat semakin optimis untuk memberi sokongan kepada PR untuk membawa perubahan dalam sistem pemerintahan negara," katanya.
Menurut beliau lagi usaha harus ditingkatkan oleh PR untuk menjadikan impian menawan Putrajaya menjadi kenyataan.
"Saya ingin menegaskan disini sekiranya BN dan kerajaan yakin bahawa dengan dakwaan serta cubaan mereka untuk menangkap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mematahkan semangat yang ada dalam pimpinan dan penyokong PR dan akan melumpuhkan sama sekali PR, ini adalah satu prasangka yang silap. PR tidak akan berpecah.
"Kita juga akan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mempertahankan dakwaan tentang isu rasuah keatas Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sengaja digembar-gemburkan oleh BN bagi mencapai hasrat mereka untuk memesongkan pemikiran rakyat yang sedia menyokong PR," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Jamuan Makan Malam sempena 10 tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) anjuran PKR Padang Serai di Kulim, Kedah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan serta kepimpinan PR Negeri Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan