Rakyat diseru berdoa agar dihentikan masalah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Dis:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat berdoa agar negara ini bebas dari pelbagai masalah yang dilihat semakin meruncing.

Ia khususnya permasalahan ekonomi negara yang mampu memberi kesan yang sangat buruk dan menggugat kesejahteraan rakyat di negara ini.

Beliau memberitahu, harapan untuk melihat perkembagan baik dalam aspek tersebut di penghujung tahun 2009 ini nampaknya makin pudar dengan realiti yang sedang berlaku.

Kedudukan ekonomi negara pada hakikatnya sedang mengalami masalah rumit dan laporan media arus perdana masih memberi perkhabaran sebaliknya dan semua itu ujarnya hanya indah khabar dari rupa.

Beberapa jangkaan diutarakan termasuk penurunan kadar eksport, semakan semula sasaran pertumbuhan ekonomi dan keperluan besar negara kepada pakej rangsangan ketiga menjelang tahun hadapan.

"Ekspot berkemungkinan besar merudum sekitar 10.5%, manakala, pengumuman MIER (Malaysian Institute of Economic Research) bahawa sasaran pertumbuhan ekonomi 5% untuk tahun hadapan perlu disemak semula serta negara memerlukan pakej ransangan ketiga yang berjumlah sekitar RM 8 billion tambah merunsingkan.

"Ini bermakna ketidakseimbangan belanjawan akan membengkak dan hutang negara bertambah," kenyataan dalam blog beliau dipetik.

Beliau yang juga Ketua Umum Parti keadilan rakyat memberitahu, cadangan kerajaan menarik subsidi gula juga menunjukkan betapa meruncingnya kedudukan wang negara pada masa ini.

Kerajaan katanya sudah tidak mampu lagi menanggung subsisdi yang jumlahnya bukan sedikit.

Alasan menteri bertanggungjawab bahawa penarikan subsidi tersebut kerana mahu rakyat hidup lebih sihat katanya adalah sangat dangkal dan langsung tidak meyakinkan orang ramai.

Apatah lagi golongan yang paling terkesan adalah pengusaha-pengusaha makanan sederhana dan kecil-kecilan, iaitu antara yang ramai dalam masyarakat di negara ini.

Namun ujarnya keadaan itu mungkin lebih baik jika masalah ketirisan yang selama ini terbukti merugikan negara segera ditangani.

"Saya kira ini sememangnya berkait rapat dengan kedudukan kewangan negara yang meruncing. Kerajaan sudah tidak berupaya menanggung kos subsidi, yang diakui bukanlah sedikit.

"Namun sekiranya, jumlah ketirisan yang merugikan negara segera ditangani, saya berpendapat ianya pasti dapat disalurkan kepada rakyat melalui banyak program yang bermanfaat," ujarnya lagi.

Selain masalah ekonomi, beliau turut mengulas kes rayuannya berhubung isu pemecatan beliau dari kabinet pada penghujung 98 yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan semalam.

Kes itu seperti yang dihujahkan peguamnya, Karpal Singh bahawa bahawa Dr Mahathir telah bertindak di luar peruntukan perlembagaan.

"Merujuk kepada Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menyatakanYang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang berhak untuk membatalkan pelantikan saya dalam Kabinet Malaysia berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak membatalkan pelantikan.

"Seksyen 29 Akta Tafsiran dan Ordinan Klasa Umum 1948 jelas menyatakan mana-mana pihak yang berkuasa untuk melantik ke sesuatu jawatan ia juga termasuk mempunyai kuasa untuk memecat atau membatalkan pelantikan itu. Manakala pendakwa melalui hujah balasnya hanya menggunakan alasan dangkal kononnya isu ini remeh untuk dibicarakan," katanya lagi.

"Justeru itu marilah kita bersama sama berdoa dan berusaha membawa negara ini keluar dari lingkaran kebejatan yang tidak kunjung padam ini," katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menunda ke satu tarikh lain bagi membuat keputusan keatas rayuan Anwar sama ada pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sah atau terbatal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan