Siapa suruh Umno makan lada!

Adnan Ibrahim
Barisan nasional (BN) tidak layak mengurus harta terutama wang hasil kazanah bumi negara iaitu petroleum. Ini kerana, kalau dikirakan pendapatan hasil minyak negara sudah cukup untuk memakmurkan rakyat hidup dalam keadaan senang dan barakah.

Sebaliknya Umno lupa pemberian Allah SWT dalam menjaga harta yang diamanah. Lihat sahaja negeri yang terdapat hasil petroleum tetapi tetap miskin. Terengganu, Sabah dan Sarawak paling miskin dan terkebelakang daripada negeri lain di Malaysia sedangkan ketiga negeri itu terdapat minyak.

Rakyat Terengganu bukan ramai, hanya 900 ribu orang tetapi menjadi rakyat miskin walaupun hasil pendapatan negeri antara yang tertinggi. Begitu juga Sabah dan Sarawak.

Ketiga negeri ini antara yang terbesar di Malaysia. Hasilnya bukan sahaja petroleum malah kayu balak menjadi hasil pendapatan kedua tetapi tetap miskin. Dimana silapnya?

Seorang ketua keluarga contohnya, si bapa berpendapatan RM10,000 sebulan, mempunyai seorang isteri dan hanya tiga anak. Namun begitu si bapa asyik bersungut tidak cukup wang untuk perbelanjaan keluarga. Apa kata isteri dan tiga orang anaknya?

Sudah tentu si isteri dan anaknya berkata suami atau bapanya tidak amanah atau songlap duit. Lebih parah lagi si isteri dan anak tadi mendakwa si bapa itu tidak pandai mengurus wang.

Tengok kerajaan negeri dibawah BN, apakah mereka pandai mengurus hasil atau celik wang sebab lebih 20 tahun negeri itu memperolehi royalti minyak tetapi rakyatnya tetap miskin.

Bukan royalti minyak sahaja bahkan hasil balak yang melimpah ruah umpama di Sabah dan Sarawak tetapi tidak mampu membaiki taraf ekonomi, sosial dan pendidikan bagi penduduk pendalaman. Mereka tidak ada elektrik. Sekolah macam kandang kambing. Bagaimana taraf pendidikan mahu maju?

Begitu juga dengan kerajaan Umno di Terengganu. Taraf pendidikan meningkat naik apabila PAS memerintah Terengganu pada 1999. Kenapa? Ini kerana royalti minyak ditukar kepada wang ihsan.

Wang royalti yang sepatut diberi kepada kerajaan PAS Terengganu mengikut perjanjian Petronas dan federalisme sebaliknya ditukar wang ihsan dan disalurkan kepada Jabatan Persekutuan melalui Pengerusi Umno ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebahagian wang tersebut sepatutnya digunakan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri tetapi dirampas Umno untuk berbelanja demi kepentingan politik Umno termasuk dalam pemberian wang ihsan kepada sebahagian rakyat Terengganu.

Oleh kerana wang tersebut berlebihan maka disalur untuk pendidikan pelajar di negeri tersebut. Itu sebabnya pendidikan Terengganu antara terbaik semasa PAS memerintah tetapi merundum selepas Umno rampas pemerintahan PAS pada 2004.

Waris dan kroni Idris kaya raya di Terengganu. Malah kehilangan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) lebih RM47 juta sebagaimana dilaporkan Ketua Audit Negara semasa pemerintahan Idris tetapi sampai sekarang senyap sepi.

Memandangkan demikian memang patut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut hak negerinya supaya kerajaan memberikan royalti petroleum dan bukan wang ihsan.

“Hari ni geger pasal doa. Kita doa hendak tuntut hak kita. Pasal apa dia takut. Dia makan lada dia pedas,” kata Nik Abdul Aziz selepas menyampaikan kuliah mingguannya di pejabat perhubungan PAS Kelantan, Kota Bharu, pagi tadi, 4 Disember.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan