Tiada rombakan Exco Kelantan– Nik Aziz

Atiff Idris
KOTA BHARU, 16 Dis:
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak khabar angin kononnya berlaku rombakan anggota Exco kerajaan negeri.

“Tidak akan berlaku rombakan atau pun pengguguran di kalangan anggota Exco yang ada sekarang.

“Tetapi jika pertukaran membabitkan kalangan pegawai tadbir negeri, itu merupakan perkara biasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini timbul desas desus kononnya akan berlaku rombakan Exco kerajaan negeri ekoran beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini.

Ditanya desakan anaknya Nik Amalina supaya seorang Exco meletak jawatan, katanya pandangan itu dianggap sebagai perkara biasa kerana Nik Amalina sudah akil baligh.

“Dia boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, itu terserahlah kepadanya,” kata beliau.

Baru-baru ini Nik Amalina yang juga isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman membuat desakan tersebut melalui blognya.

Mengenai kenyataannya sebelum ini memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berani melawat selatan Thailand katanya, manusia ada baik dan tak baik. “Ketika dia melakukan kebaikan kita kena puji, begitu juga dalam kes nak aniaya Kelantan untuk memberikan wang ihsan, itu tidak baik, dia kena bagi royalti,” ujarnya.

Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam memberitahu beliau tidak terkejut dengan pujian diberi Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadapnya.

Menteri Besar bagaimanapun melahirkan rasa dukacita terhadap tuduhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mendakwa Kelantan sebagai pusat militan.

Dakwaan itu dibuat ekoran tertangkapnya beberapa lelaki yang menghasilkan bom di sebuah rumah di Pasir Mas semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, perbuatan yang boleh mencetus keganasan bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau mengajak rakyat Kelantan menyertai solat hajat yang akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV Jumaat ini.

Katanya, solat hajat tersebut akan diadakan selepas kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu.

“Bulan Muharram yang akan tiba merupakan bulan baik, bertuah dan mulia tambah-tambah lagi pada 1 hingga 10 Muharam umat Islam diharuskan berpuasa sunat dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

“Sebelum ini Allah SWT telah banyak menyelesaikan segala masalah yang timbul dan mudah-mudahan dengan banyak berdoa Allah sekali lagi akan menolong kita menyelesaikan kekusutan yang berlaku,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan