UBN Najib Altantuya: Dr Halimah berikan topeng muka percuma kepada empat sekolah

Kamarina Ali
ImageKLANG, 22 Ogos: Empat buah sekolah di sekitar Klang telah menerima 5,000 keping topeng muka percuma dari Exco kerajaan negeri.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Dr Hajah Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Memandangkan wabak H1N1 semakin berleluasa dan majoriti mangsanya adalah pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM dan lain-lain.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang meminta mereka mengambil langkah berjaga-jaga agar kesihatan pelajar tersebut terkawal dan tidak terganggu menjelang peperiksaan tersebut.

Empat buah sekolah yang menerima sumbangan terebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Tepi Sungai, Sekolah Chun Mei Sg Bertih dan Sekolah Agama Hishamuddin Sungai Bertih.

Turut serta dalam program ini ialah Dr Ahmad Yunus Hairi selaku pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, En Azri selaku Pengarah Briged Amal Selangor dan Sukarelawan-sukarelawan Briged Amal Selangor.Image

(Dr Halimah memasangkan topeng muka kepada seorang pelajar Sekolah Chun Mei, Sungai Bertih, Klang dalam usaha untuk melawan H1N1 dari merebak)

"Tujuan kita melibatkan sukarelawan Briged Amal Selangor adalah untuk melatih sifat kesukarelaan dalam diri mereka dan ini adalah salah satu elemen yang diketengahkan dalam SPISE iaitu sosial," kata Dr Halimah.

Sehingga kini, 68 telah meninggal akibat wabak H1N1 di negara ini. Negeri yang paling tinggi jangkitan ialah Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Cadangan PAS agar diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan perkara ini tidak diendahkan oleh kerajaan.

UBN Najib Altantuya: DAP yakin Salleh Man akan menang

PERMATANG PAUH, 22 Ogos : Pilihan raya kecil (PRK) Dun Permatang Pasir kali ini dilihat mendapat sokongan padu daripada komponen Pakatan Rakyat yang meletakkan PAS sebagai calon dalam PRK tersebut.

Bermula daripada pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pakatan Rakyat yang diadakan di Kampung Pelet baru-baru ini, gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon PAS dipergiatkan sehinggalah ke hari pengundian.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng telah mengetuai kumpulan ahli-ahli DAP bagi meraih undi daripada 25 peratus pengundi kaum Cina.

Menurut beliau lagi risalah dan bahan bacaan yang diedarkan kepada penduduk setempat adalah bagi memberi maklumat terkini mengenai calon PAS dan juga mengenai agenda pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang.

"Apabila kita turun padang maka kita akan tahu bahawa sokongan daripada penduduk khususnya bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat adalah menggalakkan.Saya juga yakin dengan cara ini ia dapat menangkis tuduhan dan dakwaan yang negatif daripada Barisan Nasional dalam memenangi pilihan raya ini.

"Saya yakin calon kita akan menang dan dapat mempertahankan kerusi yang sedia ada. Namun begitu usaha akan kita lipatgandakan bagi memastikan bahawa calon daripada PAS menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini," katanya.

UBN Najib Altantuya: Pemimpin Umno salah menyalah sesama sendiri

BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Umno yang disifatkan tersilap meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir terus berada dalam dilema untuk menghadapi serangan bertubi-tubi dari pihak lawan terhadap calon berkenaan.

Sehingga hari keempat berkempen parti itu dilihat masih berada dalam situasi bertahan - apabila kempen-kempen penerangan mereka yang melibatkan pimpinan dari pelbagai peringkat terpaksa memberi tumpuan untuk menjawab serangan ke atas calon mereka, Rohaizat yang menjadi isu utama modal kempen di pihak PAS setakat ini.

Dalam perkembangan terbaru, sumber dalaman Umno mendedahkan isu keperibadian Rohaizat Othman calon) kini menjadi masalah dalaman kepada Umno apabila para pemimpin mereka mula menunding jari sesama sendiri atas kesilapan memilih Setiausaha Umno Permatang Pauh itu sebagai calon.

Menurut sumber tersebut, dalam satu mesyuarat Umno yang diadakan semalam (Jumaat) berlaku salah menyalah antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Muhyiddin tunding jari pada Zahid kerana tidak periksa latar belakang calon betul-betul, Zahid pula seperti salahkan Jalil kerana dikatakan tidak memaklumkan kepada beliau.... Jalil pula cuba mengelak dengan pelbagai alasan lagi," kata sumber tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasation juga mengesahkan turut mendapat maklumat daipada beberapa orang dalam Umno perihal salah menyalah antara pemimpin Umno ekoran pemilihan Rohaizat sebagai calon.

Berucap dalam ceramah kelompok di Kampung Petani, Saifuddin berkata masalah tersebut bertambah parah apabila bekas Presiden Umno Tun Mahathir Mohammad turut mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Rohaizat.

Umno di peringkat awal masih cuba untuk menutup isu tersebut melalui penjelasan para pimpinannya bagaimanapun perkembangan demi perkembangan yang berlaku di Permatang Pasir teruamanya kemunculan Yusri Isahak yang berceramah dipentas PAS semakin menyukarkan parti itu.

Yusri merupakan rakan kongsi Rohaizat dalam bidang guaman yang cuba disalahkan berhubung penggunaan wang koperasi pekebun getah oleh firma guaman mereka.

Yusri muncul dihari ketiga berkempen untuk menjelaskan perkara sebenar serta membersihkan namanya - satu tindakan yang semakin memberi tekanan kepada Umno.

Saifuddin mengulas lanjut perkembangan tersebut berkata, pimpinan Umno sepatutnya tidak perlu tunding menunding antara satu sama lain kerana rekod kesalahan moral Rohaizad sebenarnya telah didedahkan sebelum hari penamaan calon lagi.

Kata beliau, Rohaizad sewaktu diambil tindakan oleh Bar Council melalui jawatankuasa disiplin badan itu adalah ketika badan (disiplin) itu dipengerusikan oleh salah seorang pimpinan Umno Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman.

Tan Sri Khalid juga merupakan Pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu Tan Sri Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri berada di luar negara.

"Beliau (Tan Sri Khalid) juga salah seorang ahli lembaga disiplin Umno, jadi tidak timbul soal tidak tahu latar belakang Rohaizad ini," katanya.

UBN Najib Altantuya: Undi Hantu: Khairy cuba ancam pengundi luar

Oleh: Dzulfikar Mashoor
BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar pagi tadi meminta pengundi luar tidak takut dengan ancaman 'pengundi hantu' yang digembar-gemburkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sejak semalam.

Sebalinya, Mahfuz meminta Khairy membuktikan secara profesional serta membuat laporan polis atas dakwaan - ada 'pengundi hantu' PAS dipindahkan dari kawasan DAP ke N11 Permatang Pasir dengan menggunakan orang dalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kepada semua pengundi berdaftar khususnya (pengundi) luar, mereka tidak perlu takut balik mengundi 25 Ogos ini. Mereka tidak perlu takut ancaman (Khairy) seolah-olah mereka ini pengundi hantu."

"Pengundi hantu ini tuan-tuan saya nak maklumkan ialah orang lain yang membuang undi bagi nama yang tercatit (secara rasmi) dalam daftar pemilih (yang dikeluarkan SPR). Kalau mereka yang sah ada nama dalam daftar pemilih, itu bukan pengundi hantu."

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena tidak menolak kemungkinan bahawa ancaman Khairy itu bertujuan untuk mencaturkan lebih 1000 'pengundi hantu' Umno BN pada Hari Pembuangan Undi 25 Ogos depan, apabila mendapati ramai pengundi luar tidak turun mengundi di sebelah petangnya.

"Inilah (strategi pengundi hantu) yang akan dibuat Khairy. Saya percaya (iaitu) sejumlah pengundi yang sebelum ini tidak turun mengundi dua (atau) tiga pilihanraya (Permatang Pasir) lalu sudah dikenal pasti (oleh UMNO) nama-nama mereka (berdasarkan senarai daftar pemulih)."

"Maka, nama-nama terbabit yang lebih kurang 1000 itu akan diundi oleh 'pengundi hantu' Umno sendiri Selasa depan, dengan mereka sendiri menyediakan kad pengenalan yang baru kepada yang terbabit."

Tambahnya lagi, UMNO BNlah yang menggunakan 'pengundi hantu' demi memenangkan calon-calon mereka di peringkat Parlimen dan Dun sebelum ini.

"Dalam kes undi hantu di Likas (pada tahun) 1999, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang sendiri memutuskan kemenangan Adun BN tidak sah di Dun itu; dan daftar pemilih yang dikeluarkan SPR (pada tahun) 1998 juga adalah palsu."

Mahfuz berharap majikan dapat memberikan kelonggaran cuti bergaji kepada para pengundi berdaftar yang turun mengundi kelak.

UBN Najib Altantuya: Fasa pertama kempen PAS berjaya

Oleh Haris Zalkapli
BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos: Dalam permainan simbol kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, PAS sudahpun jauh mengatasi Umno dari segi calon yang dikemukakan.

Calon PAS seorang yang berpendidikan agama dan tidak memiliki bagasi peribadi yang boleh diperkatakan. Calon Barisan Nasional pula menjadi perhatian sejak hari penamaan calon ekoran rekod peribadi melibatkan kerjayanya sebagai peguam sebelum ini.

Isu masalah peribadi Rohaizat Othman mendominasi tiga sidang media harian pertama PAS, dengan sebuah lagi sidang media berasingan diadakan di sebuah tempat lain oleh bekas rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak, untuk menafikan tuduhan-tuduhan pemimpin BN terhadapnya.

Daripada apa yang muncul dalam media proparti pemerintah pada hari-hari awal kempen, BN kelihatan terpaksa menjadi defensif dan tidak mampu mengalih perhatian daripada peribadi calon mereka. Dalam hal ini, Umno dilihat terpaksa mengikut rentak kempen PAS.

Masalah peribadi calon yang besar itu juga telah mengundang spekulasi sabotaj dalaman parti Umno, sebagai usaha menjejaskan kempen dan pemimpin-pemimpin tertentu. Umno dijangka berdepan pergeseran dalaman ekoran tindakan meletakkan calon bermasalah ini.

Image(Gambar: Yusri, bekan rakan kongsi Rohaizat bangkit membela diri)

Media pro-Umno juga cuba menjadikan kempen PAS itu sebagai sesuatu yang negatif apabila mengaitkannya dengan bulan Ramadan, dengan menunjukkan bahawa PAS akan terus menyerang peribadi dalam bulan yang mulia bagi umat Islam itu.

Apapun yang cuba dikemukakan oleh Umno, hakikat bahawa parti itu telah memilih seorang yang bermasalah dalam pilihan raya kecil ini mengundang persoalan besar dan berpotensi membawa masalah kepada pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan pada masa sama terpalit dengan kontroversi pertemuannya dengan seorang pemimpin Zionis Israel, Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak. Muhyiddin pula menjadi sasaran pembangkang dalam isu PPSMI.

Satu demonstrasi telah diadakan di sebuah masjid di Tanah Liat di sini sebagai menyatakan bantahan pertemuan Zahid dengan menteri Zionis itu.

PAS walau bagaimanapun telah menyedari tumpuan yang banyak diberikan pada peribadi calon BN dan mula menerangkan program-program yang bakal dibawa oleh Mohd Salleh Man sekiranya memenangi Dun Permatang Pasir dalam undian pada 25 Ogos nanti.

Isu Melayu

Kempen PAS di Permatang Pasir pula telah menyaksikan kehadiran Dato' A Samad Said berkempen menyerang parti pemerintah kerana lambat bertindak menamatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah.

ImagePenggunaan isu PPSMI oleh PAS dalam kempen ini mampu membawa manfaat besar kepada parti itu, yang bersaing dengan agresif dengan Umno untuk memenangi hati dan minda orang Melayu.

Ketika isu pengkhianat bangsa dimainkan Umno, PAS mengemukakan isu PPSMI ini yang mampu meningkatkan imejnya dalam memperjuangkan kepentingan Melayu.

PPSMI menjadi satu simbol paling mudah diperhatikan melibatkan perjuangan Melayu, antaranya disebabkan individu berprofil tinggi yang terlibat dalam kempen menentang program bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

PAS telah melakukan satu tindakan tepat dari sudut politik apabila menganugerahkan Anugerah Pejuang Bahasa kepada Dato' A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad dalam muktamarnya yang lepas di Shah Alam, Selangor.

Tindakan PAS itu telah menempatkan aktivis-aktivis bahasa Melayu dalam kemnya, menaikkan lagi imej PAS dalam perjuangan isu-isu Melayu. Inilah yang diteruskan melalui kempen Samad Said di Permatang Pasir.

Selain bekas rakan kongsi Rohaizat, Samad Said menjadi tumpuan utama kempen di Permatang Pasir yang menyaksikan perang poster yang sangat minima.

Tidak seperti kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang berlaku di kawasan yang sama dan Dun Manek Urai sebelum ini, Permatang Pasir tidak menjadi medan poster-poster berbentuk kenyataan keras, karikatur dan kartun menyerang individu atau kumpulan tertentu.

Kempen di Permatang Pasir kini memasuki fasa kedua, berlangsung dalam bulan Ramadan. Setakat ini, kempen berjalan dengan hanya sedikit isu besar nasional.

Selepas menyaksikan kempen dengan isu nasional sepenuhnya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, penduduk Permatang Pasir kini melihat kempen yang mungkin paling bersifat setempat.

UBN Najib Altantuya: Najib semakin dilihat tidak bersih

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Pilihan raya kecil Permatang Pasir menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin dilihat tidak bersih, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kepada beliau, keenganan Presiden Umno itu memberikan sebarang ulasan mengenai kredibiliti calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil tersebut berpunca dari kebimbangan dirinya sendiri akan terperangkap.

Orang yang dituduh mempunyai pekung di dada tidak akan berani mengulas tentang pekung di dada orang lain, kata Mahfuz.

"Sebenarnya isu kredibiliti Najib sendiri menjadi tumpuan kami dalam ceramah-ceramah di Permatang Pasir.

"Ia bukan untuk Permatang Pasir sahaja, tetapi akan terus menjadi antara isu utama dalam mana-mana pilihan raya selepas ini," kata beliau ketika diminta menyatakan isu-isu yang dibawa oleh PAS dalam pilihan raya kecil tersebut.

Mahfuz memberitahu, dalam kempen-kempennya, beliau sendiri membangkitkan persoalan mengapa Najib enggan memberikan sebarang ulasan apabila dipertikaikan kredibiliti calon tersebut, Rohaizat Othman.

Pendaftaran Rohaizat sebagai penguambela dan peguamcara telah dibatalkan akibat salah laku.

Image"Kita lihat, Najib tidak berani melibatkan diri dalam isu tersebut malah tidak berani terlibat dalam pilihan raya ini kerana beliau takut akan diserang dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengannya terutama isu Altantuya Shaariibuu," kata Mafuz (gambar) Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau menyifatkan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing mempunyai nilai moral yang lebih baik dari Najib dalam menangani perselisihan mereka.

"Sekurang-kurangnya mereka ada cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas satu sama lain," kata beliau mengenai kedua-duanya yang kini bertelagah melalui media apabila Tiong mendakwa Ong menerima RM10 juta darinya.

Berikutan dakwaan Tiong itu, Ong menuntut dakwaan itu ditarik balik atau menghadapi tindakan undang-undang manakala Tiong pula akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Ong melalui KDSB.

Malah, kata Mahfuz lagi, beliau sendiri tidak takut mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar yang memfitnahnya.

Dalam tempoh tidak sampai setahun, Mahfuz mendapat dua ganti rugi dari dua akhbar.

Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd membayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz Omar kerana memfitnah beliau melalui bertajuk 'Demonstrasi' Mahfuz isytihar bersama Keadilan, yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 4 Mac 2001.

19 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan syarikat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad melalui akhbar Berita Harian membayar ganti rugi sebanyak RM150 ribu kepada Mahfuz berikutan laporannya yang menuduh Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengajak seorang menteri bertumbuk dalam Parlimen.

Mahfuz menyaman akhbar tersebut ekoran laporan muka hadapannya pada 9 November 2000 bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk". Sebab itulah, kata Mahfuz, keengganan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap pelbagai tuduhan terhadapnya akan tetap menyebabkan beliau tidak dipercayai bersih dari tuduhan-tuduhan itu.

Keengganan Najib itu juga akan menyebabkan kredibilitinya dilihat berada di tahap yang sangat rendah, kata Mahfuz lagi.

"Adakah kredibiliti Perdana Menteri tidak berada di tahap yang sangat rendah jika Ong yang dituduh menerima RM10 juta pun dilihat mempunyai nilai moral yang lebih tinggi dari beliau?" beliau mempersoalkan.

Beberapa akhbar luar negara seperti Liberation, The Nation, Sunday Times, Times of India, The Australian, New York Times, International Herald Tribune, Far Eastern Economic Review dan Kompas menyiarkan artikel-artikel yang membangkitkan persoalan yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya dan komisen besar yang diberikan oleh syarikat Perancis, Armaris, kepada sebuah syarikat Malaysia.

Malah, di dalam Dewan Rakyat Mac lalu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo melemparkan tuduhan 'kamu pembunuh' terhadap Najib.

Perdana Menteri tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua pihak yang menuduhnya itu sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menggesa Najib membersihkan namanya.

Dr Mahathir berkata, apa yang lebih penting ialah apa yang difikirkan oleh rakyat Malaysia.

'Dengan merekalah Najib perlu membersihkan namanya," kata beliau.

Selain Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah juga menggesa Najib membersihkan namanya.

UBN Najib Altantuya: Yusri: Saya tidak dipergunakan oleh PAS

Yusri Isahak - bekas rakan kongsi firma guaman calon BN, Rohaizat Othman - menafikan bahawa beliau dipergunakan oleh PAS dalam kempen pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

"Saya muncul adalah untuk membersihkan nama saya. Ada pihak mendakwa saya memihak kepada PAS, didesak dan dipergunakan oleh PAS, saya nafi sekeras-kerasnya.

"Saya ke pentas PAS adalah atas kehendak hati saya sendiri," kata Yusri dalam ceramah PAS di di hadapan Kedai Asri di Permatang Tengah malam tadi.

Beliau menggunakan pentas ceramah dalam pilihanraya kecil tersebut untuk membersihkan namanya yang didakwa bertanggungjawab berhubung isu penyelewengan wang Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang.

Yusri menolak dakwaan Umno bahawa beliau adalah rakan kongsi yang menyebabkan calon BN Rohaizat Othman dibatalkan lesen gumannya oleh Majlis Peguam.

Sambil menyifatkan sebagai satu pembohongan dakwaan Umno bahawa Rohaizat tidak terlibat dan tidak tahu menahu berhubung transaksi wang koperasi itu.

Walaupun Yusri muncul sekadar lima minit tetapi penjelasannya berhubung dakwaan Umno yang dia bertanggungjawab menyebabkan lesen guaman Rohaizat dibatalkan oleh Majlis Peguam, mampu menarik kira-kira 80 orang ramai yang berada di tepi-tepi jalan dan di gerai makan sekitar tempat ceramah tersebut.

Dikawal ketat

Pada masa yang sama, ceramah itu juga diawasi oleh kira-kira 20 anggota polis sedang berkawal di situ.

Dalam ceramahnya, Yusri berkata beliau "sebak dan tidak sanggup" untuk menyatakan rakan baiknya itu - yang dikenalinya pada 1989 sejak di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - seorang tidak baik.

"Kami tinggal sebilik di universiti. Esok kita berpuasa, terkenang saya sewaktu kami bersahur dan bertadarus bersama-sama. Dia seorang yang kuat semangat.

"Nak kata dia tak baik, tak sampai hati. Apa yang dicakapkannya adalah bukan datang dari sepenuh hatinya. Rakan saya dipergunakan untuk mencapai kepentingan mereka.

"Terserahlah kepada pengundi untuk menilainya," katanya sewaktu mengakhiri ucapannya itu.

Yusri terpaksa beredar lebih awal kerana dipercayai bergegas ke tempat ceramah yang lain.

Beliau turut dikawal ketat oleh kira-kira enam orang bagi menjaga keselamatannya.

Kempen mansuh PPSMI

Sementara itu, rancangan Sasterawan Negara A. Samad Said untuk berceramah di situ terpaksa dibatalkan kerana beliau keletihan.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, tokoh sasterawan yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu, menjelaskan beliau terpaksa membatalkan hasratnya itu kerana sebelum itu beliau telah berceramah di lima tempat dan yang terakhir di Kampung Pelet.

Sebelum ini, beliau dilaporkan bercadang untuk berceramah berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) agar dasar tersebut dimansuhkan segera.

Manakala AJK PKR Pulau Pinang, Johari Kassim berkata kecenderungan pengundi Cina untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat, membuktikan mereka juga yakin dasar parti itu diterima oleh semua kaum.

"Dulu susah nak tengok orang Cina bawa bendera PAS. Mereka takut. Sekarang mereka sudah yakin. Kita nak bawa politik baru dalam masyarakat," katanya sambil menambah, kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng turut membela Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu dengan memberi bantuan kepada SAR.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di situ supaya mengundi calon PAS Mohd Salleh Man bagi memastikan kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim terus kukuh.
-malaysiakini.com-

UBN Najib Altantuya: Klip Video dedah bukti Rohaizat punyai isteri kedua

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Sebuah blog milik seorang aktivis reformasi semalam mendedahkan beberapa bahan bukti calon BN, Rohaizat Othman pernah berkahwin dengan seorang lagi wanita seperti yang didedahkan Ketua Pemuda PAS Pusat semalam.

Bahan bukti dam bentuk Video dan audio itu didedahkan selepas Rohaizat menafikannya.

Klip video itu mendakwa kononya wanita yang dinikahi Rohaizat itu adalah bekas kakitangannya yang dinikahi secara 'sulit' pada 2005. Pernikahan mereka kemudiannya didaftarkan beberapa yahun selepas itu dengan membayar denda di Mahkamah Syariah. Wanita itu bagaimanapun ditinggalkan Rohaizat sehingga sekarang.

Klip video tersebut yang diletakkan sejak semalam di blog Norazimah Mohamad Nor atau lebih dikenali sebagai Nora di alamat nnora75reform.blogspot.com bagaimanapun tidak dapat diakses pada hari ini atas alasan ianya telah dibuang dari server.

Dalam blog tersebut juga memaparkan perbualan telefon yang didakwa bapa kepada wanita yang dinikahi Rohaizat.

Anggota Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin, menerusi blognya menggesa Wanita Umno untuk menuntut keadilan bagi pihak wanita tersebut jika ia benar berlaku.

Beliau jug berpendapat perkembangan terbaru ini adalah bukti sememangnya wujud usaha mensabotaj Umno dari dalam.

"Maka benarlah 'teori' yang mengatakan calon ini sengaja dipilih untuk mensabotaj Umno dari dalam sebagai isyarat protes gaya pimpinan utama Umno," tulisnya dalam blog chegubard.blogspot.com.

UBN Najib Altantuya: Dr M tidak pasti adakah calon BN layak

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman disabotaj oleh ahli-ahli Umno, berlainan pula kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Jika anda memberikan seseorang sebab yang baik untuk mensabotaj anda, mudahlah disabotaj dan ia salah anda sendiri," Malaysian Insider memetik sindiran Dr Mahathir.

Kenyataan bekas Presiden Umno itu dilihat menambahkan lagi tekanan ke atas BN dan Rohaizat.

Laman berita itu juga melaporkan bahawa Dr Mahathir tidak pasti adakah Rohaizat layak bertanding.

Malaysiakini pula melaporkan, sambil tersengih Dr Mahathir berkata: "Saya diberitahu bahawa beliau dituduh mempunyai dua orang isteri, tetapi dia kata tidak. Kemudian seseorang menunjukkan gambar. Saya tidak tahu adakah orang seperti itu layak untuk dipilih sebagai wakil rakyat atau tidak.

"Saya tak tahulah".

Laman berita itu bagaimanapun tidak dapat memastikan adakah gambar wanita yang didakwa sebagai seorang lagi isteri Rohaizat itu, yang dikatakan bernama Rafizah Mohd Ali, sudah disebarkan kepada umum.

Tetapi, menurut Malaysiakini, media di Permatang Pasir telah mendapat khabar bahawa ada pihak tertentu yang menyebarkan rakaman video temubual dengan Rafizah baru-baru ini.

Kontroversi mengenai Rohaizat tercetus apabila didedahkan pendaftaran beliau sebagai penguambela dan peguamcara telah dibatalkan.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, kesalahan tersebut adalah tanggungjawab Rohaizat sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.

"Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.

"Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah," katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam yang membicarakan kes Rohaizat ialah Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman yang pernah menjadipemangku Ketua Menteri Pulau Pinang di zaman BN memerintah negeri itu. Rayuan Rohaizat supaya keputusan Majlis Peguam itu dibatalkan telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos lalu.

Enggan mengakui penglibatan Rohaizat dengan penggunaan wang pelanggan, Umno berbohong pula dengan menuduh rakan beliau dalam firma guamannya, Yusri Isahak yang melakukan kesalahan itu.

Menambahkan lagi derita Umno dan Rohaizat, Yusri kemudiannya mengadakan sidang akhbar menafikan dakwaan Umno yang mengkambinghitamkannya berhubung kes membabitkan pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002.

UBN Najib Altantuya: Tuduh khianat, gara-gara kemaruk kuasa

Umno seolah-olah tidak menyedari siapa sebenarnya pengkhianat Melayu. Ekoran itu mereka terus menunding jari menuduh Pakatan Rakyatlah pengkhianat. Mengapa jadi begitu? "Itu adalah cara orang yang sudah kemaruk kuasa. Umno ini dijangkiti virus kemaruk kuasa!," bidas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid. Menyingkap pengkhianatan demi pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu, Wartawan SALMIYAH HARUN mengadakan interbiu eksklusif bersama Mohd Azmi baru-baru ini.

SAlMIYAH: 52 tahun Umno memerintah negara ini, ternyata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan gagal mencapai matlamatnya terutamanya untuk orang Melayu. Benarkah ini satu pengkhianatan terhadap orang Melayu?

MOHD AZMI ABDUL HAMID: Sepanjang 52 tahun Umno memerintah, tidak dapat dinafikan terlalu banyak aset orang Melayu telah terlepas tangan akibat daripada dasar Umno memerintah. Di mana mereka menggunakan dasar atas nama pembangunan kampung Melayu dan tanah milik orang Melayu diambil termasuklah tanah rizab Melayu.
Jadi sudah ratusan ribu hektar tanah rizab Melayu yang telah dilenyapkan oleh kerajaan Umno dan sehingga sekarang masih banyak lagi tidak diganti.
Kita juga dapati peminggiran orang Melayu di Pulau Pinang adalah satu kes yang sangat jelas bagaimana ketika Umno berkuasa bersama Gerakan ternyata orang Melayu terpinggir akibat daripada penyelewengan dan juga salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin Umno.
Ini juga pernah disebut oleh Dr Mahathir suatu masa dahulu, bahawa orang Melayu sangat ketinggalan walaupun di negeri-negeri lain sudah membangun.
Apa yang kita lihat juga betapa banyak institusi kerajaan yang dulunya didominasi oleh orang Melayu tetapi telah swastakan, akhirnya berpindah kepada bukan Melayu iaitu agensi penswastaan.

Apa contohnya?

Contohnya, Bernas tiba-tiba 31 peratus dimiliki oleh syarikat luar bukan bumiputera. Dan begitu banyak lagi termasuk juga isu perumahan di mana orang Melayu akhirnya tidak dapat rumah yang mampu beli akibat daripada Umno menjalankan dasar diskriminasi ke atas orang yang dianggap membangkang. Sebenarnya mereka sendirilah yang mengkhianati Melayu.

DEB gagal mencapai kuato 30 peratus untuk orang Melayu, bukan itu sahaja Umno sekali lagi bertindak mengkhianati orang Melayu apabila menghapuskan kekebalan Raja-raja Melayu. Apa pendapat saudara?

Sejak daripada isu krisis perlembagaan 1983 ternyata Umnolah yang telah mengugat institusi raja-raja. Mereka lakukan bukan untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang tetapi yang sebenarnya ialah untuk memperkecilkan kuasa raja-raja, inilah pengkhianatan Umno.
Rakyat masih belum lupa bagaimana para pemimpin Umno telah berusaha menghakis fungsi dan kuasa yang ada pada raja-raja Melayu. Beberapa episod hitam terhadap institusi raja di negara ini dalam dua dekad kebelakangan ini boleh dijadikan contoh.
Antaranya ialah isu pindaan Perlembagaan 1983 (kuasa meluluskan undang-undang). Para pemimpin Umno telah melakukan beberapa tindakan di luar peruntukan perlembagaan, sekaligus membelakangi raja-raja.
Antaranya, BN telah secara rahsia membawa pindaan itu ke kabinet dan kemudiannya ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat ialah berkaitan Fasal 66 (5).
Peruntukan asal berbunyi, "Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatanganinya." Pindaan itu jelas menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menjadikan PM orang yang paling berkuasa.

Malangnya, pengkhianatan Umno diteruskan lagi misalnya dasar PPSMI, yang kononnya menguntungkan orang Melayu akhirnya telah menghakis Bahasa Melayu sekali gus menafikan Perlembagaan Malaysia...

Dalam isu bahasa, pengkhianatan Umno terhadap bahasa bermula tahun 1967 sejak daripada tulisan jawi dihapuskan sampailah sekarang apabila adanya peminggiran dalam pentadbiran dan pendididkan negara.
Kita dapati sehingga sekarang misalnya isu PPSMI sebenarnya belum selesai ternyata pemimpin Umno bermain kata-kata untuk memenangani hati dan bangsa lain. Jadi PPSMI itu akan diteruskan sehingga tahun 2014, walaupun kata 2012 kemudian menegaskan akan ditangguhkan sampai 2014.

Pendidikan agama Islam macam mana pula?

Kemudian kita lihat isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) apakah ini satu pengkhianatan Umno yang sangat jelas, pada hal itu adalah institsusi orang Melayu yang seratus peratus berkait dengan nasib pendidikan agama di kalangan orang Melayu.
Siapa yang mengkhianati sehingga sekarang pun perkapita SAR masih lagi tidak selesai, malah Umno pula menuduh SAR sebagai pusat pengganas ini disebut sendiri Najib pada suatu ketika dulu.
Isu yang berkaitan dengan Islam, pelaksanaan syariat Islam dalaman kehidupan orang Melayu sehingga hari ini tidak diterima oleh Umno, isu anak mualaf tidak dibenarkan bertukar agama kepada Islam itu adalah daripada pemimpin Umno itu sendiri, yang bukan sahaja mengkhianati bangsa tetapi mengkhianati agama.

Adakah Umno juga turut melanggar budaya?

Kita melihat isu berkaitan dengan budaya. Banyak budaya Melayu dan Islam telah terhakis akibat daripada polisi Umno- BN yang sangat liberal sekali gus jati diri Melayu bagi genarasi muda terjejas kerana diberi lesen-lesen pusat hiburan dan juga acara hiburan yang tidak terkawal.

Sejak PAS mengambilalih Kelantan 1990, Umno menyekat bantuan kewangan. Begitu juga royalti minyak di Terangganu turut dinafikan. Sedangkan kedua-dua negeri ini mempunyai majoriti Melayu.

Ya...di Kelantan, Umno cuba untuk menyekat peruntukan sebuah negeri dengan menafikan melalui kononya ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang mana akhirnya ia menafikan hak rakyat negeri kelantan untuk mengendalikan pembangunan.
Umno juga menjalankan pengkhianatan kepada rakyat Terengganu yang mana menafikan royalti terhadap 90 peratus rakyat negeri itu adalah orang melayu. Tetapi dia (Umno) telah berdalih dan sekarang kita dapati banyak wang Petronas disalahgunakan untuk projek-projek membazir.
Hak keperluan orang Melayu misalnya penempatan dan peluang peniagaan di pusat bandar tidak diberi perhatian bersungguh. Kita juga tengok banyak pengkhianatan terhadap agensi di diwujudkan atas nama Melayu seperti Mara.
Betapa banyak juga pemberian aset-aset yang membazir akhirnya wang mara tersalur kepada perkara yang tidak langsung bermanfaat dan tidak menumpukan matlamat asal Mara.

Dalam IPP macam mana?

Dalam IPP swasta sebagai pembekal tenaga memaksa TNB membeli tenaga daripada pembekal swasta selama 21 tahun, itu adalah satu penyelewengan yang sangat ketara terhadap wang rakyat apabila dipaksa juga TNB membeli akhirnya TNB terpaksa membebankan kos daripada tenaga yang tidak payah dibeli tetapi dipaksa beli. Dan terpaksa bebani balik kepada pengguna.
Jadi ini adalah senarai yang kita boleh lihat pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu. Pengkhianatan Umno yang sangat ketara yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Ia bukan pengkhianatan kepada satu atau dua orang tetapi terhadap satu atau dua generasi negara ini.

Umno seolah-olah tidak nampak apa yang mereka khianati rakyat sebaliknya menuduh pemimpin Pakatan Rakyat yang mengkhianati rakyat. Kenapa Umno jadi begitu?

Ya! Itu adalah cara orang yang sudah kemaruk kuasa. Umno ini dijangkiti virus kemaruk kuasa. Apa sahaja di lakukan itu tumpuannya adalah untuk mengekalkan apa yang ada ditangannya.
Sehingga segala kepincangan dan kekotoran ditangan Umno sudah cuba dinafikan pada hal ini adalah catatan sejarah yang tidak dapat dipadamkan sampai bila-bila.

-detikdaily.net-

UBN Najib Altantuya: Terdapat perkara ganjil dalam isu PKFZ - PAC

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa KiraKira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata pihaknya mendapati ada beberapa perkara ganjil dalam urus niaga Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), termasuk bon yang dikeluarkan syarikat swasta perlu dibayar oleh kerajaan.

Beliau berkata ada perkara-perkara yang didapati ganjil seperti kerajaan perlu membayar bon yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat.

Dalam kenyataan akhbar oleh pengerusi LPK (Lembaga Pelabuhan Klang) bertarikh 10 Ogos lepas, kerajaan perlu membayar secara beransuransur, setahun sekali, sepenuhnya kepada pemilik bon, katanya kepada pemberita selepas menyoal Pengerusi LPK Datuk Lee Hwa Beng, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Azmi berkata dalam isu ini, PAC tidak dapat memberikan pendapat secara khusus memandangkan ia mempunyai implikasi undang-undang dan meminta pihak berkuasa yang berkenaan mengambil tindakan sewajarnya.

"Inilah hubungan yang kita kata ganjil yang perlu ditentukan, mungkin oleh mahkamah, katanya.

Kontroversi mengenai PKFZ, sebuah hab pengangkutan yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, yang turut menempatkan gudang, blok pejabat dan sebuah hotel empat bintang, tercetus berikutan pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli tanah PKFZ seluas 1,000 ekar di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) pada 2002 dengan harga RM25 sekaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju bagi projek siap guna itu.KDSB telah menerbitkan bon bagi membiayai projek PKFZ.

Azmi berkata secara idealnya bon itu sepatutnya dikumpul oleh LPK memandangkan ia sebuah agensi kerajaan.

Beliau berkata, pada prosiding hari ini, Lee tidak dapat memberikan maklumat terperinci memandangkan Lembaga Pengarah PKFZ dan pasukan petugas khas yang dibentuk kerajaan telah membuat keputusan mengenai kemungkinan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tertentu.

"Dia juga mendapat nasihat daripada peguam dan kita hormati keputusan itu kerana ada implikasi jika kes itu disebut di mahkamah, mereka tidak mahu perkara ini diprejudiskan," katanya.

Ketika ditanya sama ada berlaku "tuntutan berlebihan" dalam isu PKFZ, Azmi berkata perkara itu telah dibincang dengan panjang lebar.

"Saya tak dapat berikan secara terperinci kerana ini akan memberi implikasi undang-undang. Apaapa tindakan yang wajar diambil, kita sokong, terpulang kepada Lembaga Pengarah PKFZ," katanya.

Azmi berkata PAC juga dimaklumkan bahawa PKFZ sudahpun menghubungi KDSB bagi membincangkan dan mengesahkan tuntutan yang dibuat syarikat itu.

Mengenai laporan pasukan tugas khas yang dibentuk Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat perkara itu, Azmi berkata PAC tidak diberikan salinannya.

"Kita tidak dapat laporan kerana ia dirahsiakan kerana ada implikasi undangundang kerana mereka akan membawa perkara itu ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata PAC berharap dapat melawat PKFZ untuk melihat sendiri keadaan di kawasan itu bagi mendapatkan gambaran sebenar.

PAC turut menjemput pengerusi atau wakil KDSB untuk disoal, Rabu depan, katanya.

-BERNAMA-

UBN Najib Altantuya: Kartika Sudah Sedia Disebat

SUNGAI SIPUT: Wanita Islam Malaysia pertama yang akan dikenakan hukuman sebat minggu depan kerana meminum arak akan berpakaian penuh dan melutut, disebat di bahagian belakang badan dengan rotan kecil yang nipis dengan sebatan sederhana, demikian menurut laporan sebuah agensi berita antarabangsa hari ini.

Agensi berita Reuters dalam satu temuramah dengan Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, di kediaman bapanya di sini memetik wanita itu sebagai berkata yang dia masih belum menerima maklum balas berhubung permintaannya untuk menjalani hukuman itu di khalayak ramai.

Hukuman ke atas Kartika dijadualkan berlangsung minggu depan di sebuah penjara di Selangor selama seminggu bermula Isnin ini.

Reuters juga melaporkan, perbicaraannya yang panjang di mahkamah memaksanya berhenti kerja sepenuh masa di sebuah hospital dan sejak itu hanya bergantung kepada kerjaya sebagai model sambilan.

"Saya memberitahu yang saya seorang model untuk menyelamatkan kerjaya sepenuh masa saya...tetapi saya rasa malu kerana orang menggunakan status saya sebagai model untuk menghebahkan kes saya," katanya.

Tambah wanita itu lagi, pengalaman pahit selama 20 bulan sejak insiden ditahan meminum arak pada 2007 itu menambah rasa gementarnya, namun dia menghormati undang-undang yang mengharamkan umat Islam meminum dan membuat keputusan untuk menjalani hukuman enam sebatan itu.

Ibu kepada dua anak ini turut membayar denda RM5,000 atas kesalahan itu dan meminta hukuman yang sepatutnya dijalankan di penjara itu dilaksanakan di khalayak ramai. Bagaimanapun pihak berkuasa penjara sehingga kini tidak memberi maklum balas kepada permintaannya.

"Saya tidak menangis apabila hakim menjatuhkan hukuman itu. Saya memberitahu diri saya, tidak mengapa, teruskan dengan hukuman itu," kata Kartika.

Kartika ditahan pada 11 Disember 2007 di sebuah hotel di Kuantan, Pahang ketika sedang meminum arak.

Katanya, dia meminum tiga gelas minuman keras sebelum hotel itu diserbu pihak berkuasa agama sambil menambah, itu adalah kali kedua dia meminum arak.

-mstar.com.my-

UBN Najib Altantuya: K'jaan 'terus hina' bahasa Melayu - Pak Samad

Datuk A Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai "penghinaan berterusan" terhadap bahasa kebangsaan.

"Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu.

"Bahasa Melayu itu diperhina terus," kata sasterawan negara itu kepada
Malaysiakini.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) diminta mengulas penjelasan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu kelmarin.
Selepas sebulan pengumuman pemansuhan dasar itu pada awal Julai, keputusan terbaru mekanisme "pendaratan lembut" ini diluluskan oleh kabinet 5 Ogos lalu, kata Alimuddin dalam sidang media khas menjelaskan perkara itu.

Beliau juga berkata, di peringkat UPSR, subjek Sains dan Matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016, PMR sehingga 2013 dan SPM sehingga 2015.

Alimuddin juga memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012.

Dengan pendekatan terbaru "pendaratan lembut" pemansuhan PPSMI, dasar itu diteruskan bagi murid-murid darjah satu tahun depan dan 2011 sehingga kedua-dua kumpulan ini tamat darjah enam pada 2015 dan 2016
(lihat carta).

Curi-curi ajar BM

Malam ini, A Samad dan beberapa exco GMP dijadual berkempen di pentas PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bagi mendesak pemansuhan segera dasar kontroversi itu
(foto kanan).

"Dalam kempen, saya akan ingatkan, kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2003 (untuk laksana PPSMI), kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2009 dan akan terus melanggarnya sehingga 2017.

"Kerajaan sepatutnya meluhuri undang-undang. (Teruskan PPSMI) ini dia (BN) langgar sendiri. Parti seperti ini (Umno-BN) tidak harus dihormati langsung," kata Pak Samad lagi.

Beliau juga menyifatkan penjelasan terbaru Alimuddin kelmarin menyebabkan status PPSMI "menjadi semakin tidak jelas".

Pak Samad berkata, ia berpunca daripada penjelasan awal Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status dasar itu yang "tidak tuntas dan berdikit-dikit".

"Nampaknya menteri tidak menjelaskannya (pemansuhan PPSMI) secara tuntas, tetapi membiarkan anak buahnya menyambung.

"Macam (konsep) Satu Malaysia juga, diumumkan dulu, kemudian orang itu perjelas sedikit, orang ini perjelas sedikit," kata A Samad, menyindir slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas perkara yang sama, Timbalan Pengerusi GMP Dr Shahrir Md Zain menggesa kerajaan membenarkan guru-guru mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun hadapan.

"GMP mendesak kerajaan mengizinkan guru sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik mulai tahun hadapan kerana selama ini pun mereka curi-curi mengajar dalam bahasa Melayu; dan pelajar diizinkan menjawab dalam bahasa Melayu," katanya kepada
Malaysiakini.

Jejas pelajar Melayu

"GMP tidak bersetuju dengan hasrat ketua pengarah pelajaran mengambil tindakan kepada guru yang menggunakan bahasa Melayu sebelum 2012, seperti yang dilaporkan akhbar semalam."

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda PKR Amirudin Shari menyifatkan penjelasan Alimuddin sebagai "bagaimana liciknya penipuan" yang dibuat oleh Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri.

Tambahnya, melanjutkan lagi PPSMI boleh menjejaskan ramai pelajar yang majoritinya berbangsa Melayu.

"Bagi kami keputusan kabinet ini menunjukkan jelas dasar-dasar yang merugikan rakyat dan amat menyedihkan keadaan anak-anak muda di sekolah rendah telah digadaikan untuk keegoan kerajaan dalam membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami juga curiga keputusan ini dibuat untuk melindungi kroni daripada kerugian atas perubahan dasar kerajaan tetapi akibatnya rakyat telah dikhianati dan membingungkan pelajar-pelajar sekolah terutama masyarakat Melayu di kawasan luar bandar."
-malaysiakini.com-