| Dia orang Melayu tapi dibesarkan dalam keluarga dan cara hidup Kristian

Dia berbangsa Melayu, tetapi pada usia 36 tahun baru tahu mengucap kalimah syahadah dan berpeluang berjinak-jinak dengan ajaran Islam.

Katanya, ibu bapa kandungnya berketurunan Melayu, tetapi dia diserahkan kepada keluarga terbabit yang sangat rapat dengan gereja.

“Menurut surat beranak saya memang berketurunan Melayu dari Kinabatangan, Sabah, kerana ibu bapa Melayu tapi saya diserahkan kepada sebuah keluarga Kristian di Kota Kinabalu sejak bayi lagi.

“Saya tidak tahu kenapa saya diserahkan kepada keluarga terbabit, malah saya tak pernah dibawa berjumpa keluarga kandung menyebabkan saya tidak mengenali Islam dan tidak tahu mengucap. “Apabila dibesarkan keluarga angkat, saya didedahkan cara hidup agama terbabit. Makan minum dan adat mengikut cara mereka, malah sebelum makan saya diajar membaca doa mengikut Kristian,” katanya yang turut menunjukkan sijil kelahirannya bagi membuktikan dia berbangsa Melayu kepada wartawan Harian Metro.

Suria berkata, dia dikenali dengan panggilan Jaclyn sepanjang dibesarkan dalam keluarga terbabit hampir 18 tahun, sebelum keluar berdikari bersama rakan di Kota Kinabalu.

“Tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya keluar rumah dan tinggal bersama rakan mencari kerja untuk cuba hidup berdikari dan pekerjaan pertama saya sebagai pembantu kedai.

“Saya bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat. Selepas itu, saya berhenti dan mengikuti kursus pendek dandanan rambut enam bulan sebelum bekerja di salun.

“Namun, tidak lama selepas itu, saya berhenti dan terbabit dalam aktiviti di beberapa gereja.

“Malah, sepanjang pengalaman di gereja dari 1999 hingga April 2009, saya pernah menjadi penyampai kandungan kitab Injil dan pastor di gereja,” katanya.

Suria berkata, dia hanya mengenali Islam apabila datang ke ibu negara Mei tahun lalu selepas mengenali seorang pemuda dari Semenanjung yang kemudian mengahwininya, baru-baru ini. “Tetapi sebelum kembali kepada Islam, saya berkesempatan hadir di sebuah gereja di ibu negara,” katanya yang meminta masyarakat tidak menyalahkannya kerana dia tidak tahu dan tidak diberi peluang mengenali Islam.

“Saya memeluk kembali Islam awal Disember lalu melalui bantuan pegawai di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan kenalan di Internet. “Itupun apabila mendapat hidayah selepas menonton sebuah rancangan berkaitan Nabi Muhammad s.a.w dan Isa di Astro Oasis tahun lalu.

“Rancangan itu membuatkan terharu dan terfikir sejenak mengenai kebenaran, kerana Isa dalam Islam tidak disalib dan dinaikkan ke langit, tetapi dalam Kristian saya diberitahu disalib dan selepas mati tiga hari ke langit.

“Selepas itu, saya cuba melayari Internet untuk berhubung dengan rakan dan mendapatkan bantuan daripada kenalan di Internet untuk mengenali Islam di Perkim.

“Apabila mengenali Islam dan menjadi seorang muslimah, hati saya lebih tenteram, maklumlah dulu tidak kisah mengenai aurat tapi kini semua kena jaga,” katanya.

Dia kini mempelajari asas ajaran Islam seperti saudara baru lain, malah pada mula sangat kekok untuk bergaul dan berdamping dalam masyarakat Islam.

Sementara itu, Pegawai Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial Perkim, Amran Abdullah, berkata beliau terkejut apabila mendapat tahu wanita terbabit berketurunan Melayu dan berasal daripada keluarga Islam.

“Memang sangat mengejutkan kami kerana dia orang Melayu tapi dibesarkan dalam keluarga dan cara hidup Kristian, sehingga tak tahu langsung untuk mengucap.

“Cuma, kita bersyukur kerana dia akhirnya menemui kembali Islam, iaitu agama asal keluarga kandungnya dan kita cuba membimbingnya sebaik mungkin,” katanya.

-Harian Metro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan