HKL lebih cekap 'tangkap' suspek bakar gereja

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 22 Jan:
Hospital Kuala Lumpur (HKL) ternyata lebih cekap dari pihak bertanggungjawab yang lain apabila tindakannya membolehkan mereka yang disyaki menyerang gereja dapat ditangkap, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Suspek ditangkap selepas beliau datang ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan," katanya.

Menurut Mahfuz, apabila suspek tersebut dilaporkan mendakwa muka kiri, tangan dan dadanya terkena api ketika membakar sampah, menimbulkan kecurigaan pihak hospital yang terus menghubungi polis sehingga akhirnya suspek tersebut ditangkap.

"Jadi yang cekapnya pihak HKL," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang mengucapkan tahniah kepada HKL.

Baginya, kecekapan dan kepekaan HKLlah yang membawa pada penahanan suspek dan tujuh suspek yang lain.

"Persoalannya, kalau suspek tak cedera dan tak pergi ke HKL, mungkin hingga kini belum ada penahanan ke atas orang yang dikatakan terlibat," katanya.

Beliau juga mempersoalkan, adakah suspek yang ditahan polis menyerupai lakaran wajah yang didakwa dikenal pasti sebelum ini.
"Kalau tak sama dengan lakaran wajah yang dilakarkan oleh polis maknanya mereka gagal mengesan dan membendung kejadian pengeboman dan pembakaran gereja yang kini berlarutan kepada pembakaran dan pencerobohan surau," katanya.

Isunya, kata beliau sebelum ini polis telah menyatakan sudah pun mengenali lakaran wajah mereka yang dikatakan terlibat dalam pengeboman dan pembakaran gereja tetapi malangnya tidak berjaya menahan lelaki yang dikenal pasti lakaran wajahnya.

"Sebaliknya, penahanan hanya dibuat bila suspek yang pertama datang ke HKL untuk mendapatkan rawatan dan pihak hospital curiga dan terus menghubungi polis," kata beliau.

Beliau juga mempersoalkan adakah tahap kecekapan pihak polis yang diketuai oleh Tan Sri Musa Hassan dan juga menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga polis mampu mengawal keadaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan