Ibu rayu Rasidi didakwa bunuh 4 beranak tidak dihukum gantung

PETALING JAYA, Jan 21: “Tolonglah, jangan pandang hina keluarga kami. Kalau boleh mak cik ingin merayu agar Rasidi tidak dikenakan hukuman gantung.”

Begitulah rintihan seorang ibu, Zaharah Atan, 59, apabila anak lelakinya, Rasidi Ismail (gambar), 32, dituduh di mahkamah kerana membunuh empat sekeluarga dalam kejadian di Kampung Batang Rokan, Gemencheh dua minggu lalu.

Dalam perbualan telefon selama 10 minit itu dengan Utusan Malaysia, suara Zaharah dikatakan tersekat-sekat menahan sebak sekali gus menggambarkan perasaan seorang ibu terhadap anaknya meskipun sebesar mana dosa dilakukan.

Apatah lagi apabila menyaksikan sendiri Rasidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau kelmarin dalam keadaan tangan bergari.

“Kalau boleh mak cik sendiri hendak merayu agar Rasidi tidak dikenakan hukuman gantung,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang bekas imam, Atan Daud, 87, isterinya, Sufiah Katas, 80, menantunya, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah Ismail, 22 ditemui mati dalam keadaan mengerikan.

Mayat Atan ditemui putus tangan kanan, manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri. Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam terpacak pada dadanya.

Rasidi yang merupakan suspek utama kes itu telah ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.05 petang 6 Januari lalu.

Zaharah yang baru balik dari bekerja di sebuah kilang di rumahnya belum bersedia bertemu dengan wartawan apabila tragedi hitam dalam hidupnya itu masih segar dalam ingatannya.

“Harapan mak cik, biarlah Rasidi dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman gantung. Mak cik sayangkan Rashidi.

“Mak cik mahu Rasidi pulang semula ke pangkuan keluarga. Mak cik sudah maafkan kesalahan yang dilakukannya itu,” ulang Zaharah lagi.

Kata Zaharah, dia tidak akan berhenti berdoa supaya Rashidi selamat dari hukuman yang berat itu.

“Mak cik tidak boleh melihat penderitaan Rasidi sekarang ini. Air mata mak cik akan terus mengalir bila melihat Rasidi digari dan ditangkap,” ujarnya.

Ditanya mengapa dia tidak mahu tinggal di rumah yang memalitkan tragedi hitam dalam hidupnya, Zaharah berkata, setiap kali matanya tertutup, wajah mereka yang dibunuh akan terus terbayang.

“Tragedi itu terlalu sukar untuk dilupakan,” ujarnya.

Mengenai anaknya Siti Mariam, individu pertama yang melihat pembunuhan itu, Zaharah berkata, dia lebih trauma daripadanya.

Ketika temu bual ini dicatatkan, Siti Mariam menyampuk dan berkata, “adik tidak mahu cakap apa-apa lagi dengan wartawan.

Sudah tak tahu apa nak cakap lagi.”

Zaharah berkata, biarkanlah Siti Mariam bertenang seketika kerana mereka yang dibunuh itu merupakan individu yang amat rapat dengannya.

“Mak cik akan terus mendiami rumah sewa ini buat seketika sehingga keadaan reda,” katanya.

Rasidi, 32, seorang penganggur dituduh membunuh Siti Khadijah, Ismail, Sufiah Katas dan Atan Daud.

Dakwaan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Tanggal 19 Feb ini ditetapkan untuk sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Majistret Tampin sementara menunggu laporan kimia.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan