Isu “Kalimah Allah” menyatukan Pas & Kristian?

ustzul
Ramai orang mempersoalkan sikap Kerajaan yang lambat bertindak menangani Isu Kalimah Allah. Mereka seolah-olah menunggu perkara yang lebih buruk barulah mereka mahu bertindak. Sikap seperti ini tidak disenangi rakyat Malaysia yang berbilang kaum & agama. Kerajaan seolah-olah tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan apa jua isu. Semuanya salah rakyat.

Saya masih ingat beberapa minggu yang lalu bila Kementerian Pendidikan ditanya mengenai kepadatan murid-murid di sekolah-sekolah, ia jawab dengan nada yang selamba bahawa ” ini adalah berpunca daripada sikap ibubapa yang suka menghantar anak mereka di sekolah yang berdekatan dengan tempat kerja mereka”. Kita boleh nilai, jawapan seperti ini tidak layak disuarakan oleh seorang Timbalan Menteri yang dibayar gaji & elaunnya oleh rakyat. Rasa membazir sahaja rakyat bayar cukai yang bermacam, penyudahnya rakyat yang salah. Ini bermakna, rakyat kena selesaikan masalah mereka sendiri dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang berjauhan dengan tempat kerja agar masalah kepadatan murid-murid di sekolah dapat diatasi!

Kalau dalam isu yang remeh temeh di atas pun ia jawab dengan nada yang selamba, adakah mereka kita boleh harapkan untuk menyelesaikan isu kalimah Allah yang lebih panas! Orang masih tertunggu bagaimana sikap kerajaan menangani isu ini. Oleh kerana terlalu lambat, akhirnya rakyat sendiri terpaksa turun menyelesaikan isu ini.

Rombongan Pas yang diketuai oleh Presidennya, Mursyidul Am, Dewan Pemuda serta Lajnah Perpaduan Antara Kaum telah melakukan tindakan drastik dengan melawat beberapa buah gereja yang terkena serangan bom petrol! Sebelum ini amat susah untuk Pas duduk semeja berunding, mengadakan dialog antara agama, sama susahnya untuk Pas memecahkan tembok antara pelbagai bangsa sebelum daripada ini. Mereka sering mendapat gambaran buruk mengenai Pas. Pas sekarang telah berjaya memecahkan temboknya dengan pelbagai bangsa apabila wujudnya Kelab Penyokong Pas yang telah dinaik taraf sebagai Dewan!

MENGADAKAN HUBUNGAN ANTARA AGAMA

Hubungan antara agama iaitu antara Islam & Kristian sedang dalam proses untuk diharmonikan dalam konsep kebebasan agama. Tidak dinafikan ramai rakyat Malaysia yang beragama selain daripada Islam menganggap Perjuangan yang dibawa oleh Pas akan menghalang mereka untuk melakukan aktiviti ibadah yang mereka lakukan. Bahkan orang Pas mahu pun orang Islam sendiri pun tidak memahami secara jelas.Ramai yang tidak faham mengenai “kebebasan agama” yang dimaksudkan oleh Islam. Salah tafsir mengenai Istilah tersebut dengan makna yang terlalu longgar boleh membawa seseorang itu menjadi murtad. Jika difaham dengan terlalu ketat pula, ia akan menjadi pertingkahan & pergaduhan yang tidak berkesudahan! Ianya mesti difahami dengan tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat iaitu pertengahan antara keduanya.

Isu kalimah Allah ini membuka ruang yang baru kepada Pas untuk mengadakan dialog antara agama. Inilah masa dan peluang yang perlu diambil oleh pas untuk menerangkan konsep pemerintaha Islam di kalangan golongan Kristian. Bagaimana Islam memberikan hak kepada golongan Kristian mahupun golongan yang menganut ajaran-ajaran yang lain dalam konsep dalam sebuah negara. UMNO dan BN telah gagal menangani isu ini, maka Pas perlu memberikan maklumat yang secukupnya untuk menjelaskan keharmonian beragama apabila diberikan ruang memerintah kelak.

TEORI “ISU KALIMAH ALLAH” ADALAH AGENDA UMNO/BN

Saya ada terbaca dalam sebuah blog beberapa minggu yang lalu mengenai teori di atas. Puas saya mencari semula blog tersebut, tetapi tidak jumpa. Jika anda terjumpa boleh memberikan linknya di ruangan komen di bawah. Saya bukan mahu menyokong teori di atas, ini adalah kerana ianya adalah “satu teori” berdasarkan maklumat semasa serta senario sekeliling. Boleh jadi “ianya benar” dan boleh jadi “ianya tidak benar”. Dunia politik sering bermain dengan teori, persepsi & krisis. Namun ianya masih tiada bukti. Hanya teori sahaja. Dalam Islam menyebut dalam Hadith Nabi S.A.W:

لكن البينة على المدعي واليمين على من أنكر

Maksudnya : Orang yang menuduh mesti mengemukakan bukti, manakala orang yang mahu menolak tuduhan itu mestilah bersumpah.

Ertinya selagi belum ada bukti, ianya masih belum boleh dianggap betul.

JIKA TEORI ITU BETUL

Teori itu menyebut bahawa, setelah mana UMNO/BN gagal memecah-belahkan Pakatan Rakyat melalui pelbagai Isu, dan sentimen perkauman, maka UMNO/BN berpindah kepada plan “B” , iaitu menggunakan sentimen ‘agama” , dengan satu harapan untuk menimbulkan polemik baru antara Pakatan Rakyat yang berbilang agama, bangsa & keturunan supaya mereka berpecah kerana isu agama. Bila berpecah,rakyat akan menganggap Pakatan Rakyat tidak stabil untuk memerintah. Inilah yang diharapkan oleh UMNO seperti yang disebutkan dalam blog tersebut.

Jika teori ini betul, ini berarti bahawa,UMNO/BN bekerja selama ini siang dan malam adalah untuk memberikan ruang yang luas kepada PAS & Pakatan Rakyat menjalinkan hubungan antara agama. UMNO/BN secara suka rela tanpa paksa membantu Pas memecahkan tembok antara agama, apabila apa yang diharapkan seperti dalam teori di atas tidak berlaku, sebaliknya Pas memberikan kebebasan kepada mana-mana agama untuk menggunakan ” Kalimah Allah” . Pas menyatakan pendirian ini dengan tegas . Ianya juga tidak terhenti di situ, bahkan mengajak mana-mana agama untuk berdialog dalam masalah ini.

Oleh kerana tembok ini telah pecah, maka saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UMNO/BN kerana secara sukarela tanpa paksa membantu PAS untuk melebarkan dakwah & penerangan mengenai Islam yang syumul kepada Golongan Kristian. Bila disebut melebarkan dakwah & penerangan mengenai Islam kepada mereka bukan berarti mesti atau mewajibkan kepada mereka menukar agama kepada Islam, tetapi hanya memberikan penerangan yang jelas & sebenar kepada mereka. Tiada paksaan dalam beragama.Apa yang penting, mereka mesti tahu sikap dan keterbukaan Islam bersama agama lain. Islam tidak akan melakukan pengkhianatan, tapi Islam akan bertindak jika sesuatu perjanjian itu dikhianati. Allah S.W.T berfirman Surah Baqarah ayat 256 :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya : Tiada Paksaan dalam agama!

JIKA TEORI ITU SALAH

Kebijaksanaan mengurus krisis sangat diperlukan bagi pemimpin ummah. Membaca masa depan sangat diperlukan oleh kita. Membaca zaman secara salah akan menimbulkan masalah dalam jemaah. Pengajian mengenai sejarah Islam terutamanya Sirah Baginda S.A.W perlu dioptimumkan. Allah S.W.T telah menyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 140 :

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Ini bearti membaca zaman yang telah lalu, membolehkan kita membaca masa yang akan datang. Kalau tidak mengapa Allah kata: “apa yang telah lalu menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini”

Firmannya lagi dalam Surah Al-Hasr ayat 18:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya yang telah lalu) untuk hari esok (hari akhirat-masa depan)

Mungkin ini adalah merupakan ruang yang diberikan oleh Allah kepada umat Islam, agar mereka dapat menajamkan akal fikiran, banyakkan membaca buku-buku perbandingan agama seperti yang dikarang oleh Imam Al-Shahrastani. Mengikuti kaedah dakwah yang pernah dilalui oleh ulama’ terdahulu. Mempelajari apa yang telah dirintis oleh ulama’ terdahulu, membuka ruang kepada kita untuk menguruskan krisis masa depan!

Ini adalah kerana ” CRISIS IS BUSSINES”

http://zulhilmei.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan