JANGAN JADI MANGSA KEPADA AGEN PROVOKATOR! KUTUKAN SEKERAS-KERASNYA TERHADAP SERANGAN KE ATAS MASJID-MASJID

Serangan terbaru yang berupa kepala khinzir di dalam kawasan Masjid At-Tirmizi, Sri Sentosa merupakan satu lagi cubaan terbaru golongan tertentu dalam mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di Negara kita.

Tindakan yang jijik ini, yang merupakan satu lagi siri provokasi berniat jahat perlu dikecam dan ditolak oleh semua pihak demi perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Saya menyambut baik kehadiran hampir keseluruhan pimpinan PDRM pagi tadi yang hadir bersama saya, dan menggesa agar pemantauan dilakukan bukan sahaja di sekitar Masjid At-Tirmizi tetapi juga semua masjid-masjid serta rumah ibadat lain yang berdekatan. Siasatan terperinci wajib dilakukan oleh PDRM, dan menjadi harapan saya agar tumpuan dirubah daripada memantau ahli politik pembangkang kepada provokator-provokator jahat sebenar yang bertanggungjawab dalam serangan-serangan sebegini.

Saya juga menggesa Kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kesemua serangan jahat terhadap rumah ibadat yang dilakukan untuk menggugat kesejahteraan dan keharmonian awam. Kita berhadapan dengan kemungkinan adanya dalang di sebalik serangan-serangan ini yang memaksa sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dan meneliti sebarang kemungkinan siapa pelaku serta penyebabnya.

Saya ingin menyeru semua pihak terutamanya rakyat Lembah Pantai agar bertenang dan bersabar dengan apa yang berlaku. Kita harus sentiasa bersatu hati dan saling percaya mempercayai antara sama lain demi memelihara ukhwah antara kaum. Saya akan turut serta dalam majlis kuliah Marghrib malam ini bertempat di Masjid At-Tirmizi untuk bersama dalam usaha memelihara ketenangan sesama kita. Sama-samalah kita berdoa untuk perlindungan dari Yang Maha Esa.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
27 Januari 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan