Kelantan sedia terima wang ihsan tanpa lalui JPP

Kerajaan PAS Kelantan sedia menerima wang ihsan yang diberikan dari hasil minyak walaupun tidak dalam bentuk royalti dengan syarat ia diuruskan sendiri tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) hari ini.

Beliau berkata walau dalam bentuk apapun pemberian itu, kerajaan negeri akan menerima tetapi hendaklah diberi terus kepadanya.Katanya, Kelantan mempunyai kemampuan untuk mengurus dan mengendali sendiri wang itu tanpa melalui JPP yang merupakan agensi Kerajaan Pusat.

“Kita sedia menerima wang ihsan yang hendak diberikan oleh Kerajaan Pusat itu walaupun tidak atas nama royalti dengan syarat hendaklah diberi secara terus tanpa melalui JPP,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej Yayayan Islam Kelantan (YIK) di Kok Lanas, dekat sini.

Mursyidul Am PAS itu diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya Kerajaan Kelantan mengetepikan sentimen politik demi kepentingan rakyat negeri itu dalam tuntutan royalti minyak.

Bercakap kepada pemberita semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya tidak terus berkonfrontasi politik dalam hal ini.

Menurut Nik Aziz, malu bagi Kelantan jika pemberian wang itu disebut dalam bentuk wang ihsan bukannya royalti, kerana ihsan bermakna kasihan belas dan dalam hal ini bukan Kerajaan Pusat yang patut mengasihan belas Kelantan, tetapi Kelantan yang patut beri ihsan kepada pusat kerana minyak itu didakwa hak milik Kelantan.

Beliau juga menafikan kerajaan negeri mempolitikkan isu royalti itu. Sedangkan Barisan Nasional (BN) lebih dahulu mempolitikkan isu itu, katanya.

“Yang dia (BN) sendiri tidak politiking ke?. Kalau minyak itu datang dari pantai Terengganu tak payah buat undang-undang...Jadi dalam (hal) ini dia yang lebih dulu politiking dari kita,” katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan