Kenakan Tindakan Keras Kepada Bloger Yang Kurang Ajar

Mohd Sayuti Omar

TANPA Prejudis saya menyokong penuh laporan polis ke atas seorang bloger yang dikatakan telah menulis menghina Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat dua hari lepas. Wajar kalau polis tangkap bloger berkenaan dan seret ke muka pengadilan seberapa segera yang boleh.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah bertegas dalam soal ini. Jangan dibiarkan si penderhaka kepada raja terlepas begitu saja. Tindakan perlu untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang lain. Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan bloger berkenaan amatlah berat.

Permohonan maaf yang dibuat oleh bloger berkenaan dan penarikan balik tulisan huduhnya itu tidak dapat menghapuskan perbuatan yang keji dan hina beliau ke atas Almarhum itu. Apa yang jelasnya bloger berkenaan telah membuat kesalahan yang fatal dan jelas. Ia bukan saja bercanggah dengan adata istiadat Melayu tetapi bercanggah juga dengan agama.

Kita orang Melayu dan (saya yakin bloger berkenaan Melayu dan beragama Islam) seharusnya tahu membezakan mana yang buruk dan mana yang baik. Mana kata-kata keji dan menghina.
Blog walaupun ia bersifat peribadi tetapi sifatnya adalah terbuka untuk umum. Seharusnya para bloger memaham keadaan dan tanggungjawabnya serta hubung aksesnya dengan dunia luar.

Walaupun kita bebas mencatat dan mencalar apa saja di badan blog kita namun kena ingat bahawa ia tetap juga berikat dengan tatacara kehidupan dan undang-undang lain yang mengawal kita. Jangan gunakan blog untuk menulis dan meluah sembarangan. Setidak-tidaknya buatlah penilaian sendiri sebelum mencatat sesuatu kalau pun malas untuk mencari kebenarannya.

Bloger juga patut tahu menilai mana isu yang sensitif yang boleh mengguris hati orang lain dan mana yang bersifat teguran konstruktif dan bukannya menulis ikut sedap tangan dan mulut nak ucap saja.

Saya memerhati dalam banyak blog khasnya dikendalikan oleh anak-anak muda yang jahil etika mengenai penyiaran, lemah adat istiadat Melayu dan penuh dengan emosi, menulis dengan semborono tanpa mempedulikan orang lain. Bloger begini juga yang menyokong satu pihak bersikap jumud apabila mempertahankan pihaknya kandatipun pihak itu jelas silap atau pun melakukan kesalahan.

Ruang untuk mewujudkan blog liar dan blog hantu juga sepatutnya tidak diambil kesempatan oleh bloger untuk memburuk dan memfitnah orang lain. Kepada saya blog liar dan blog hantu tanpa wajah dan indetiti sebenar adalah tidak layak untuk dipantau apa lagi dipercayai segala maklumatnya.

Sekali lagi ditegaskan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas penulis yang menghina Sultan Johor itu. Bloger itu harus diajar sebagai teladan kepadanya. Saya yakin kalau tindakan sebegini dikenakan ia akan memberi kesedaran dan keinsafan kepada bloger lain yang sejenis dengan bloger berkenaan juga. Dengan pengajaran itu lain kali para blog hantu ini akan lebih berhati-hati untuk mencarut!
[wm.kl. 9:00 pm 24/01/10]

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan