Malah sebaliknya kemungkinan ia akan terkubur seperti slogan Islam Hadhari, semakin nyata. Bagi kita apa yang berlaku, bagaimana ia boleh berlaku dan apakah cara ia mungkin dielakkan daripada berlaku sebenarnya mencerminkan kecekapan, ketelusan dan mutu kepemimpinan Kerajaan Umno-Barisan Nasional.
Betapa tidaknya, isu ini bukan baru dan seperti lazimnya bagi Umno-BN ia cuma akan ditangani apabila keadaan sudah mula meruncing.
Tahap keyakinan diri yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN selalunya memang tinggi. Mereka percaya berdasarkan rekod memerintah negara lebih 50 tahun, mereka akan dapat menyelesaikan sebarang isu – agama, jenayah, rasuah, pendidikan, hubungan kaum, ekonomi dan politik – apabila tiba masanya.
Maka sikap berada di zon selesa ini menjadikan mereka sejak mutakhir ini sering tercicir peluang untuk tangkas menghadapi cabaran.
Yang ada pada pemimpin berkenaan hari ini hanyalah rekod memerintah Umno-BN. Namun yang nyata kurang diberi perhatian ialah kebijaksanaan dan hemah pemimpin mereka terdahulu dalam memerintah negara, tidak sebati dan semakin menipis dalam diri mereka. Mutu kepemimpinan yang rendah kerana lebih senang bersandar pada rekod silam ini menjadikan mereka dilihat sebagai angkuh dan kadangkalanya “hilang punca”.
Lihat sahaja kes kalimah Allah ini. Penggunaan istilah Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak misalnya, bukan satu perkara baru. Sudah bertahun pendekatan memperkenalkan konsep Tuhan sebagai Allah di kalangan pribumi Sabah dan Sarawak digunakan.
Namun cuma beberapa tahun kebelakangan ini sahaja soal ini dijadikan isu. Ini memaksa pihak gereja Katolik memfailkan tuntutan mendapat izin menggunakan istilah Allah apabila merujuk konsep tuhan dalam The Herald, akhbar mereka.
Keputusan mahkamah ini membakar semangat juang umat Islam di Malaysia untuk mempertahankan hak Allah supaya tidak direndahkan martabatNya dengan konsep tuhan penganut Kristian. Bagi paderi dan pemimpin Kristian tempatan, pribumi Sabah dan Sarawak lebih mudah faham Bahasa Malaysia.
Dan dalam bahasa kebangsaan ini, istilah terbaik untuk menggambarkan kebesaran tuhan ialah kalimah Allah.
Asal masalahnya semantik; soal takrif dan kefahaman konsep. Namun apabila pemimpin kerajaan lemah dan gagal memahami implikasi sikap wewenang dan tiada kesungguhan, maka soal bahasa tadi segera menjalar dan membelit emosi orang Islam. Sebenarnya apakah sikap Islam dalam isu ini?
Bagi kita, peraturan dan susila yang Allah tunjukkan adalah jelas. Ayat 46 surah al Ankabut adalah dalil yang cukup terang.
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang baik, kecuali di kalangan mereka yang zalim. Dan katakanlah, “kami beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan kepada kami, dan kamu beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan kepada kamu. Tuhan kami dan tuhan kamu adalah Satu; hanya kepadanya kami berserah”.
Dialog. Berbincang dan bersopan. Itulah kuncinya. Bagaimanapun adakah kerajaan Umno-BN mengambil iktibar daripada wahyu Allah ini?
Mengapa menteri berkenaan, membiarkan isu ini sampai ke mahkamah? Dan, setelah mahkamah membuat keputusan mengizinkan golongan Kristian Katolik di Malaysia menggunakan perkataan Allah dan bahan penerbitan mereka, barulah Kementerian Dalam Negeri mahu memohon pelaksanaannya ditangguh demi mengizinkan rayuan terhadap penghakiman itu dibuat. Tidakkah itu menunjukkan sikap acuh tak acuh dalam mentadbir negara persis isu yang sensitif begini?
Tidakkah itu juga menunjukkan sikap kurang matang, kurang bijaksana dan kurang peduli terhadap tugas hakiki mereka?
Jika orang Melayu Islam rasa perasaan mereka terguris, ia adalah kerana kecuaian pemimpin Umno yang diberi peluang memerintah. Namun bagaimana perasaan orang bukan Islam, khususnya Kristian mazhab Katolik? Tidakkah kepercayaan mereka terhadap konsep 1Malaysia juga terguris.
Bagaimana pula dengan pandangan dunia luar terhadap hubungan kaum dan agama di negara ini selepas ini? Sekadar mengeluarkan kenyataan akan menyiasat dan menghukum mereka yang bertanggungjawab menyerang lima gereja setakat ini, tidak bermakna apa-apa jika sikap pemimpin tidak berubah.
Bertanggungjawab dan ikhlaslah dalam menangani isu sensitif begini.
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan