Khutbah Masjid Negara mengelirukan

Mohd Rashidi Hassan

KHUTBAH Masjid Negara hari ini (Jumaat, 22 Jan) amat menarik. Menarik kerana ia mengambarkan seolah-olahnya Malaysia sebuah negara Islam yang unggul dan umat Islam terpelihara akidahnya.

Khutbah yang bertajuk 'Kafir zimmi kafir harbi' itu mempertegaskan pendirian Kabinet Malaysia dalam beberapa mesyuarat yang tegas melarang penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Dalam khutbahnya, khatib mempertahankan tindakan Kabinet dan memberi gambaran bahawa kerajaan yang diterajui orang Islam dari parti Umno, tidak akan bertolak ansur dalam soal memelihara iman dan akidah.

Persoalan yang hendak dibahaskan di sini, bukan setakat kalimah Allah. Harus ditanya, apakah benar Umno-BN serius atau genuine dalam memelihara iman dan akidah umat Islam?

Pada aspek mana Umno boleh diyakini sebagai parti yang memelihara kesucian Islam dan menjaga kepentingan umat Islam keseluruhannya?

Jika Umno mahu memelihara kalimah Allah dari digunakan orang kafir, kononnya bagi mengelakkan akidah umat Islam terjejas, sedarkah mereka apakah aspek atau sebenar yang boleh merosakkan akidah?

Apakah selama ini Umno sebagai sebuah parti besar dianggotai oleh kaum Melayu-Islam yang begitu komited melaksanakan apa sahaja arahan Allah yang terkandung dalam al-Quran?

Tidak payah sebut soal Islam. Tidak perlu bahas soal ketulenan amalan dan perlaksanaan Islam oleh Umno. Lihat sahaja konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan. Semua jadi caca merba dan huru hara.

Konsep 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, masih belum memberikan impak yang memberangsangkan buat Najib, apatah lagi ia terus gagal menjernihkan imej BN di mata rakyat.

Dalam menanggani isu kalimah Allah, Pakatan Rakyat begitu konsisten dengan pendirian mereka, sebaliknya dalam BN, hanya Umno sahaja yang kelihatan 'begitu pantang', apabila mahkamah membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah tersebut.

Umno-BN berbangga dengan konsep 1 Malaysia, dengan 'Salam 1Malaysia', 'Klinik 1Malaysia' dan banyak lagi, kononnya melambangkan betapa majmuknya BN.

Dalam masa yang sama Umno cuba 'menangguk di air yang keruh', mengambil kesempatan politik daripada isu-isu yang membabitkan perkauman dan agama.

Demi kepentingan politiknya yang sempit, dalam satu masa wajah Umno boleh berubah-rubah, bersikap double-standard dan 'talam dua muka' mereka semakin terserlah.

Selepas mahkamah membenarkan buletin The Herald milik penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, media arus perdana milik Umno-BN memainkan sentimen kebangkitan orang Melayu-Islam yang menentang keputusan tersebut.

Mereka menentang kerana bagi mereka kalimah Allah adalah hak ekslusif orang Islam, mereka menentang kerana mereka tidak mahu Kristian menyalahgunakan kalimah tersebut untuk memesongkan atau memurtadkan umat Islam. Dan ada pula kalangan mereka yang berhujah, dari segi bahasa (bahasa Melayu), kalimah Allah tidak sesuai digunakan oleh gereja.

Dalam hal ini, PAS melalui Mursyidul Amnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai pendirian yang konsisten, selaras dengan Islam, iaitu tiada halangan untuk penganut agama samawi, seperti Kristian (disebut Nasara dalam al-Quran), untuk menggunakan kalimah Allah.

Kalimah Allah tidak menjadi hak ekslusif umat Islam semata-mata. Allah adalah tuhan bagi seluruh alam. Soal bagaimana tuhan Allah ditafsirkan mengikut fahaman agama masing-masing, harus dibahaskan pada platform yang lain. Yang jelas Allah pada tafsiran Islam tidak sama dengan agama-agama lain.

Bagaimanapun di dalam keterbukaannya, PAS dengan tegas memberi amaran supaya kalimah itu tidak disalahgunakan untuk memesongkan akidah umat Islam.

Untuk menjawab dakwaan yang menyatakan kebimbangan tentang terpesongnya akidah, harus ditanyakan kembali, akidah umat yang bagaimana bakal dimurtadkan? Atau ciri-ciri umat yang bagaimana, mudah terpengaruh dengan ajaran Kristian. Atau golongan manakah yang menjadi sasaran dakyah Kristian?

Sudah tentulah mereka ini tergolong dari kalangan orang miskin yang melarat, anak-anak muda yang terlalu sosial serta rosak akhlak, sentiasa menjadikan kelab-kelab malam sebagai tempat 'iktikaf' mereka, dan mereka yang menyuburkan kehidupan dengan 'budaya kuning.'

Pokok persoalannya di sini ialah dasar pemerintahan. Bukankah, kemiskinan sengaja dibiarkan oleh Umno-BN? Kemiskinan dijadikan alat. Mengambil kesempatan dan mengumpan golongan yang melarat ini pada setiap kali pilihan raya.

Akibat amalan Umno-BN, yang menjuruskan perjuangannya mengamalkan secara berleluasa dasar korupsi, kronisme dan nepotisme, menyebabkan rakyat kebanyakan terpinggir, melarat dan dibelengu kemiskinan. Apabila dasar sudah rosak, maka rakyat yang terbiar, akan mudah dipesongkan.

Gejala riddah (murtad) mudah berlaku ketika mana anak-anak muda disuburkan dengan budaya Barat. Mengunjungi kelab malam, berpesta siang malam, pergaulan bebas, terlibat dalam gejala arak dan maksiat.

Salahnya ialah apabila kerajaan Umno-BN tidak mahu melaksanakan undang-undang selaras dengan syariat Islam, maka anak-anak remaja Islam, semakin tidak terkawal dan jauh dari agama. Gaya hidup bebas, menyebabkan mereka tidak melakukan solat, tidak berpuasa dan memandang remeh perihal agama.

Malah ada penganalisis mengatakan sejak dahulu lagi, Umno-BN sengaja membiarkan anak-anak muda ini subur dengan budaya kuning supaya mereka tidak peduli dengan politik, malah jauh dengan politik Islam yang dipelopori PAS.

Apabila anak-anak muda berpeleseran ini, tidak peduli tentang politik, maka ia memudahkan kerajaan yang ada, disokong dan terus kekal, kerana mereka menyediakan kemudahan 'hiburan' yang mencukupi bagi memuaskan kehendak anak-anak muda.

Namun strategi ini barangkali tidak boleh bertahan lama. Sejak zaman dunia tanpa sempadan, zaman internet, golongan muda semakin celik politik dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa, walaupun mereka tidak menyertai mana-mana parti politik.

Sejak perubahan iklim politik tahun 1998/1999, ramai golongan muda yang sudah tidak menyokong Umno-BN.

Apa pun kebanyakan golongan yang terjamin ekonomi mereka, golongan yang mendampingi masjid dan menjadikannya sebagai tempat ibadah dan bersosial, serta menjadikan Islam sebagai ad-din, insya Allah akan terpelihara dan tidak risau dengan ancaman riddah.

Ada juga kalangan ahli-ahli bahasa menyebutkan bahawa dari segi bahasa Melayu tidak sesuai orang Kristian menggunakan kalimah Allah. Mereka berhujah bahawa, dari sudut sejarah dan perlembagaan, Melayu dan Islam dalam konteks Malaysia sangat sinonim. Maka dengan itu golongan bukan Melayu tidak wajar menggunakan kalimah Allah.

Hujah ini merupakan hujah yang tidak praktikal. Kepada mereka harus ditanya, dari mana asalnya bahasa persuratan Melayu? Bukankah dari Indonesia yang mempunyai ratusan juta umat Melayu? Indonesia menjadi tempat suburnya karya-karya persuratan dan vocabulary Melayu sejak zaman berzaman.

Sudah ratusan tahun Melayu-Kristian di Indonesia menggunakan kalimah Allah. Serupa juga dengan Sabah dan Sarawak.

Malah, yang harus ditanya mengapa kerajaan Umno-BN membenarkan Kristian di Sabah-Sarawak mengunakan kalimah tersebut, tetapi di Semenanjung tidak dibenarkan?

Apakah ada beza (dari segi kependudukan kaum dan agama) Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur? Mengapa tidak diterimapakai konsep 1Malaysia dalam konteks ini? Ini sudah jadi 2Malaysia!

Maka pada penulis, pokok persoalannya di sini ialah bukan soal kalimah Allah. Ia adalah persoalan dasar, persoalan prinsip dan asas kepada sesebuah pemerintahan. Persoalan ini yang sengaja dielakkan oleh penulis-penulis teks khutbah, sehingga memberikan gambaran yang mengelirukan.

Selama lebih 50 tahun Umno-BN memerintah, tidak melaksanakan syariat Allah, menjauhkan umat dari agama Allah, malah berusaha menyekat dan menganiaya PAS dan berusaha memartabatkan kalimah Allah sejak sekian lama, maka bagaimana boleh diharapkan golongan seperti ini untuk melindungi kesucian Allah?

JUsteru dalam membuat kesimpulan ini, penulis ingin mengungkapkan SMS dari seorang rakan yang asalnya Melayu-Islam tetapi tidak mempercayai agama. Ketika ditanya kepada beliau, apakah beliau tidak mempunyai apa-apa perasaan dalam isu Allah, lalu dijawabnya kepada penulis.

"Allah tidak memerlukan insan yang lemah untuk melindungi-Nya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan