Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 Jan: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar petang tadi melahirkan rasa bimbang sekiranya pengeboman Gereja Metro Tabelnacle serta tiga yang lain malam tadi merupakan isyarat awal pada berlakunya ‘Operasi Lalang’ yang kedua.
“Operasi Lalang suatu ketika dulu menyaksikan sentimen Melayu begitu kuat sehingga ada pihak menyeru supaya orang-orang Melayu bersenjata ke Kuala Lumpur untuk membunuh orang-orang Cina,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
“Perhimpunan tersebut akhirnya tidak berlaku, tetapi beberapa pemimpin pembangkang pula ada (yang) ditangkap (oleh Kerajaan) atas nama menjaga keselamatan negara.
“(sedangkan) pemimpin- pemimpin tertentu dalam Umno (dan) BN yang menjadi punca tercetusnya (Operasi Lalang) itu selamat (tidak ditangkap) dan lari (keluar negara)...sebab itu saya bimbang kalau-kalau ini isyarat berlaku (Operasi Lalang) yang kedua,” terang Mahfuz.
Menganggap Operasi Lalang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu pada 1987 yang lalu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada ‘tangan ghaib’ yang sengaja mengobom Geraja Metro Tabelnacle, Kuala Lumpur 12 jam yang lalu demi mencetuskan suasana tidak tenteram.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyeru umat Islam supaya lebih berhati-hati dengan provokasi ‘tangan ghaib’ tersebut.
“Kita (PAS) tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tidak kira orang Islam atau bukan (Islam) (supaya) lebih berhati-hati kalau ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang sengaja mencetuskan provokasi (berkaitan) isu ini untuk kepentingan politik mereka,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut meragui keikhlasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membiarkan media massa arus perdana mendidik emosi rakyat secara tidak sihat.
“Saya begitu meragui apabilan KDN tidakpun mengenakan tindakan yang tegas ke atas beberapa media arus perdana yang saya lihat seolah-olah mereka ini melaporkan isu ini (guna nama Allah) dalam rupa yang cukup negatif sehingga membawa suatu suasana saling membenci dan berprasangka antara satu sama lain,” jelasnya.
Sebelum ini, beliau turut menyalahkan kerajaan dan mahkamah kerana tidak mempercepat perbicaraan kes tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Salahuddin Ayub turut mengutuk tindakan mengebom geraja tersebut kerana tidak menepati syariat Islam.
Bagi beliau, ‘Wacana Ilmiah’ sebagaimana yang ditunjukkan oleh para Anbiya’, Sahabat kepada Rasulullah s.a.w serta cendekiawan Islam terdahulu merupakan pendekatan sewajarnya untuk mendepani budaya orang bukan Islam berminat menggunakan Allah dalam keagamaan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan