Masa depan telah tiba!

Dr Dzulkefly Ahmad

Sewaktu 2009 menghampiri penghujungnya dan dekad ini melabuhkan tirainya, anda mungkin bertanya tentang wajah hari-hari muka yang bakal tiba kelak. Sungguh, anda tidak berseorangan dalam hal ini.

Berlatarbelakangkan pelbagai gejala kerosakan yang melanda institusi-institusi kritikal negara ini dan kelembapan ekonomi sepanjang dekad lepas, selain bencana alam tsunami dan mewabaknya penyakit berjangkit seperti SARS dan H1N1, tidaklah hairan jika ramai yang resah dan gusar.

Namun begitu, tidak semuanya kelam dan muram. Pada setiap kesukaran, ada penylesaiannya. Ya, telah muncul cahaya perak di langit negara kita yang hitam. Barangkali ia adalah bayangan masa depan kita. Ia telah tiba jua akhirnya.

Ya, anda betul. Masa depan telah berada di sini. Ia mungkin tiba lebih awal. Bahkan ia terpanggil dan semacam dipanggil untuk sampai lebih awal? Ia begitu didambakan dan mungkin kerana itu jugalah ia menjengahkan mukanya lebih awal dari dijangka.

Ia semacam mengisytiharkan bermulanya kesedaran baru yang kian lama ditunggu dan dialu-alukan oleh banyak orang, tetapi dibenci oleh musuh-musuh perubahan dan pembaikan.

Tiada kata-kata yang berjaya merakamkan peristiwa itu dengan lebih tepat daripata kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, yang ketika mengambil tempat di sebelah bekas musuh ketat politiknya, Pengerusi DAP, Karpal Singh, secara spontan menyebut, “saya berasa seperti berada di dunia baru”.

Ya, anda betul sekali lagi. Saya bercakap tentang Kerangka Dasar Bersama (Common Policy Framework, CPF), yang dilancarkan di konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada 19 Disember lepas di Shah Alam.

Unjuran Besar Politik Malaysia

Saya kembali menziarahi (revisit) peristiwa ‘bersejarah’ agak awal dari biasa. Seperti banyak orang, saya mahu menjadikannya ‘sejarah semasa’ yang kekal abadi. Saya teringat kata-kata dalam iklan jurnal ‘Current History’ yang menyebut, “jika anda tidak terkini, maka anda adalah sejarah”. Walaupun tarikh 19 Disember itu ternyata bersejarah di banyak sisi, namun ramai yang tidak mahu ia sekadar menjadi suatu peristiwa ‘sejarah’.

Paling tidak, 19 Disember harus kekal semasa. Lebih baik, jika ia turut menandakan ketibaan awal arus besar politik negara yang segar (political trajectory), Malaysia untuk 50 tahun akan datang; untuk lima dekad berikutnya. Ya,... jauh mendahului pilihan raya umum akan datang.

Memetik seorang kolumnis The Malaysian Insider, persaingan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU 13 tampaknya telah bermula dengan pengisytiarahan CPF oleh Pakatan Rakyat dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Results Areas - NKRA) oleh Najib Tun Razak.

Tanpa menolak sepenuhnya penegasan kolumnis di atas, penulis percaya bahawa CPF Pakatan Rakyat adalah jauh lebih luas daripada sekadar pertarungan politik kalah-menang (zero-sum) yang sempit dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen.

Penulis percaya CPF Pakatan Rakyat adalah kerangka dasar Politik Baru bagi sebuah Malaysia Baru. Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia kini tampak telah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam proses pembinaan-semula negara-bangsa ini (nation rebuilding).

Dekad-dekad Kelembapan Ekonomi dan Kereputan Institusi.

Keperluan mendesak terhadap perubahan adalah jelas dan merata. Tiga dekad terakhir kehidupan bernegara menyaksikan bagaimana Malaysia hampir lenyap dalam persaingan global, akibat pembaziran kemewahan yang tak berbatas; penjarahan kekayaan negara, ketika laporan Ketua Audit Negara tahun demi tahun memperingatkan dan mendedahkan amalan rasuah dan salah guna wang awam yang merata; sementara kebebasan asasi rakyat kita terus dicerobohi.

Kenyataan tokoh-tokoh besar negara tentang reput dan rosot ini, yang telah menjadi budaya tegar yang menjangkiti keseluruhan kehidupan nasional, sudah memadai untuk menyedarkan kita.

Seorang pakar undang-undang perlembagaan pernah menyamakan kita dengan negara Zimbabwe. Secara berterus-terang, Professor tersebut menyamakan pihak yang memegang kuasa di Malaysia kini sebagai sekumpulan ‘samseng’ (thugs).

Pelbagai contoh telah dikemukakannya bagi menyokong dakwaan tentang iklim ‘tanpa undang-undang’ atau ‘lawlessness’, yang wujud kini. Selain itu, beliau turut terkilan persendaan terhadap keadilan, apabila ‘badan kehakiman seolah-olah sentiasa menunggu-nunggu petunjuk dan arahan daripada kerajaan’ dalam membuat keputusan-keputusannya.

Pengubahan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi oleh Mahkamah Rayuan dalam banyak kes adalah persendaan terhadap keadilan yang jelas; kes waktu untuk menyoal saksi oleh SPRM dan kemelut perlembagaan di Perak adalah antara contoh tersohor yang mengaibkan institusi kehakiman negara di sisi pandang dunia moden ini.

Sementara itu, pembentukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat adalah tindakan primitif, berlawanan sama sekali dengan hak-hak negeri dan merupakan pelanggaran serta pencabulan berterusan terhadap amalan federalisme seperti yang terkandung dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penggunaan Ordinan Darurat bagi menentukan sempadan laut dalam isu royalti minyak Kelantan adalah satu lagi contoh sikap angkuh dan curang, yang tidak langsung menghormati undang-undang oleh kerajaan BN serta kesucian perjanjian (sanctity of contract).

Menteri Kewangan Kedua akhirnya terpaksa bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa ekonomi kita tidak berkembang. Tanda-tanda pertumbuhan ekonomi yang rendah jelas terpampang di sekeliling kita. Upah tidak bertambah, sementara kos hidup terus-menerus meningkat.

Menurut Bank Dunia, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK kita adalah sebanyak 46.2% pada 1987. Sepuluh tahun kemudian, sumbangan tersebut hanya bertambah sebanyak 0.2%. Antara 1994 hingga 2007, upah benar (real wages) berkembang hanya sebanyak 2.6% dalam sektor domestik, dan 2.8% dalam sektor eksport. Ini bermakna ia telah mendatar sepanjang tempoh 13 tahun itu.

CPF Pakatan Rakyat

CPF Pakatan Rakyat merupakan kerangka bagi pembinaan-semula negara-bangsa kita yang lebih segar dan kukuh yang dikemukakan jauh sebelum tibanya PRU ke 13. Ia adalah penyataan polisi bagi memimpin rakyat dan negara untuk keluar daripada krisis yang semakin memburuk.

Polisi-polisi ini diraih daripada kepatuhan kepada perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat yang akan mempertahan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman serta menjamin bahawa hak dan kehormatan asasi rakyat akan terus dipertahan dan dijunjung.

CPF secara jelas telah meneguh dan memperkukuh paksi-paksi penting Perlembagaan Persekutuan, yakni kedudukan Islam dan hak-hak kebebasan beragama bagi penganut lain, kedudukan 153 bagi keduduan orang Melayu dan bumiputera dan hak-hak asasi semua rakyat dan 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua-franca, sementara penggalakan penguasaan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua penting bagi memajukan komunikasi di peringkat global.

CPF juga sekaligus menggariskan empat dasar asasi untuk dimajukan kepada rakyat, iaitu; menjanjikan demokrasi yang telus dan tulen; ekonomi berprestasi tinggi yang mesra-rakyat; keadilan sosial dan pembangunan insan; hubungan kerajaan pusat-negeri dan dasar luar yang lebih berkesan dan bermakna.

Hakikat bahawa polisi-polisi ini dirumuskan hasil persepakatan daripada ‘perdebatan dan sumbang-saran’ dalam sebuah pakatan tiga parti, yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, adalah amat luar biasa dan mengkagumkan sekali. PAS bersama-sama DAP dan PKR telah mempertegas komitmen mereka kepada polisi-polisi bersama ini dan, pada saat yang sama, terus iltizam kepada pegangan ideologi mereka yang berbeza-beza dalam kerangka pentas parti masing-masing.

Permuafakatan Politik ini membayngkan satu kematangan dan pendewasaan yang memberi isyarat besar tentang kesedian Pakatan untuk terus mendakap serentak memahami tuntutan Politik Baru. Inilah kedatangan dunia baru yang ditunggu-tunggu rakyat. “Mereka tidak semestinya bersama kerana mereka cantik, tetapi jelasnya mereka menjadi cantik kerana bersama”.


Pakatan Rakyat serius dalam azam bagi ‘menunaikan janji-janji’ itu selepas polisi bersama tersebut digariskan. Tempoh 20 bulan lepas telah menyaksikan usaha yang tidak mengenal letih, walapun turut diakui bahawa ia bukanlah mudah dan tidak pula sunyi daripada kekurangan-kekurangan.

Dalam menggapai harapan dan aspirasi rakyat, maka Pakatan Rakyat menegaskan komitmennya untuk melaksana agenda politik baru itu dengan menggerakkan kuasa dan suara rakyat daripada semua kaum, agama dan budaya sebagai sebuah kuasa perubahan.

Perjuangan Islam PAS dalam kerangka CPF

Berlawanan dengan dakwaan bahawa PAS kini mengalami kelunturan dan pengenduran agenda Islamnya, kedudukan agenda Islamnya ssesungguhnya adalah lebih tegas dan kukuh lagi. Yang berbeza adalah olahan agenda Islam yang ditampilkan oleh PAS dalam muafakat politik Pakatan.

PAS mempertegaskan pelancaran pertentangan terhadap segala kebobrokan perkauman sempit Ketuanan Melayu tajaan Umno, salah guna kuasa yang berleluasa, penularan amalan rasuah, pembolotan kekayaan negara oleh segelentir suku-sakat pemimpin politik dan penafian hak rakyat teramai mengecapi khazanah kekayaan negara yang semuanya adalah bertentangan serta berlawanan dengan prinsip-prinsip Islam dan tuntutan Keadilan oleh Syari’at Islam.

Perjuangan PAS mengenai kerajaan Islam dan demokrasi adalah unik dalam pengalaman politik Islam di pentas dunia. Berdasarkan politik majmuk Malaysia dan demografi pengundi yang bercampur-campur, pengalaman dalam usaha membentuk-persefahaman ini adalah unik dan luar biasa bagi parti Islam itu.

PAS kini menekankan peri pentingnya mewujudkan keadilan – yang merupakan matlamat utama dan serba mencakupi syariah Islam. Penyataan perjuangan politik Islam PAS dalam PR amat dikagumi dan disokong oleh semua, lalu menjadikan slogan ‘PAS Untuk Semua’, dan lambat laun ‘Islam Untuk Semua’ dicemburui oleh musuh tegarnya, iaitu parti perkauman, Umno.

PAS telah melangkah jauh dalam tempoh yang singkat selepas Mac 2008 untuk memahami bahawa ia tidak boleh sekali-kali membenarkan berulangnya PRU ke 11 yang menyaksikan parti itu menderitai ketewasan paling besar hanya selepas ia berjaya memimpin barisan pembangkang di parlimen satu penggal sebelumnya. PAS kini telah berjaya merangkapkan objektif strategik pilihan rayanya dalam kerangka PR yang lebih besar.

Parti itu juga telah berjaya mendedahkan kepalsuan rasa takut penganut agama-agama lain (Kristian, Hindu dan Buddha) terhadap Islam dan juga meruntuhkan tembok sempadan bangsa, agama serta budaya dengan memajukan politik saling menghormati dan saling memahami (Politik Li-ta’arafu).

PAS telah menampilkan kebijaksanaan dalam pendiriannya terhadap polemik besar tentang penggunaan nama Allah yang sengaja dibesar-besarkan oleh media umno/BN. PAS tidak akan terheret dalam kancah pemikiran sempit Umno. Sementara meletakkan pendirian yang jelas berdasarkan nas Al-Quran, PAS mengingatkan semua supaya jangan terperangkap dalam mainan politik jahat Umno memperlagakan isu pertentangan agama-kaum dan budaya.

PAS mahukan semua supaya tidak melampau dan agresif serta provokatif sehingga menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum-agama-budaya. Ini yang disanjungi Islam – Islam - Rahmatan Lil ’Alaamin.(Islam Rahmat Untuk Semua).

Rakan-rakan PAS dalam PR pula kini telah terbiasa dengan ayat-ayat lazim dalam al-Quran, malah hadis Nabi Muhammad SAW juga. Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, secara terbuka mendambakan kepimpinan dan kerajaan baik zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menjunjung amar-makruf dan nahi mungkar dalam pentadbiran negeri pimpinan beliau.

PAS seharusnya telah faham bahawa pendekatan berhemah dalam memajukan undang-undang jenayah Islam hanya boleh dilakukan melalui kerangka demokrasi dan peti undi, iaitu melalui penerangan hujah yang meyakinkan lantas menggamit mandat rakyat.

PAS perlu menghindari kesilapan lalu apabila ia dilihat seperti mahu memaksakan Islam kerana ini akan melemahkan dan merungkaikan semangat CPF Pakatan Rakyat, selain menyuburkan salah faham serta prajudis saki-baki terhadap parti Islam itu sendiri.

Sebagai sebuah parti Islam yang demokratik, PAS mesti meyakinkan orang lain bahawa ia berkewajipan mencapai objektif-objektifnya dalam kerangka proses demokrasi dan berparlimen di negara ini. Selain itu, ia juga perlu dicapai secara bertahap, bermula dengan menyediakan padang sama-rata bagi membolehkan strategi memenangi hati dan minda rakyat di peti-peti undi.

Inilah kebijkasanaan Politik Islam yang kini dipelupori oleh PAS yang sangat digeruni seteru tradisi politiknya, Umno, parti Melayu terbesar di dunia itu. Mereka mahu PAS kembali ke garis yang dipersepsi rakyat umum sebagai ekstreme dan sempit. Malang sekali Umno.

Pakatan Rakyat mempelawa seluruh rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membina persefahaman baru di atas prinsip-prinsip keadilan untuk semua dan semangat perlembagaan yang tulen.

Inilah agenda masa depan kita. Ia mesti dilaksanakan sekiranya kita mahu memulihkan kehormatan, kebebasan dan maruah negara ini. Inilah juga jalan penebusan bagi dekad-dekad hitam lalu negara ini.

Pakatan Rakyat telah bersedia untuk perubahan itu. Anda bagaimana?

/Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan