Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 29 Jan: Ketua Penerangan PAS Pusat,Idris Ahmad menyeru individu atau kumpulan yang terlibat dalam insiden melempar kepala babi ke dalam perkarangan dua masjid di sekitar Jalan Klang lama Selasa lalu agar segera bertaubat dan menginsafi perbuatan terkutuk itu.
Idris berkata, perbuatan mencemarkan rumah ibadat itu jelas bertujuan provokatif bagi mewujudkan suasana tegang di antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
"Saya minta kalaulah orang yang buat perkara ini orang Islam, dia harus segera bertaubat kepada Allah S.W.T kerana adalah satu dosa mencemarkan rumah ibadat apatah lagi rumah Allah ini.
"Kalau yang buat ini orang bukan Islam, saya harap dia tidak lagi mengulangi perbuatan ini kerana ia sangat sensitif kepada semua pengganut apa-apa agama di negara kita,"katanya ketika ditemui sewaktu melawat tempat kepala babi itu dilontarkan di Masjid Al-Imam Al-Tarmizi, Taman Sentosa semalam.
Kejadian sama turut berlaku di Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya kira-kira tiga kilometer dari Taman Sentosa.
Idris juga berharap agar penduduk di kawasan sekitar bertenang dan tidak terpengaruh dengan mana-mana provokasi sementara menunggu siasatan polis berhubung perkara itu.
"Saya harapkan supaya semua penduduk di kawasan ini bertenang dan tidak melayan sebarang bentuk provokasi yang sengaja ditimbulkan untuk mewujudkan ketidakstabilan di Selangor ini.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS dan pimpinan masjid yang tidak emosi dalam menangani perkara ini.Semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran yang bermakna kepada kita pada masa akan datang,"Katanya.
Sementara itu, beliau turut kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung dakwaan beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.
"Saya kesal dengan sikap Menteri dan polis yang tidak mahu ambil peduli tentang dakwaan Azmin itu.Sepatutnya kalau Azmin sanggup berdepan dengan polis untuk bagi keterangan, polis ambillah keterangan beliau.
"Soal betul atau tidak dakwaan itu,biar pihak pengadilan yang tentukan.Tugas polis hanya menyiasat.kalau mereka bersikap tidak ambil peduli, rakyat makin prejudis terhadap pihak polis," katanya.
Selasa lalu, Azmin mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Jan lepas.
Namun Hishammudin menuduh Azmin bercakap atas kepentingan politik semata-mata.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut melawat Masjid Al-Imam Al-Tarmizi kira-kira jam 6.15 petang semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan