Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin tindakan melempar kepala babi di dua masjid di Petaling Jaya adalah cubaan pihak tertentu memprovokasi umat Islam bagi membangkitkan kemarahan terhadap penganut agama lain.
Beliau berkata, tindakan itu berkemungkinan setelah gagal membangkitkan kemarahan umat Islam dengan pembakaran beberapa gereja baru-baru ini ekoran isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut kristian.
Tindakan itu disifatkannya sebagai strategi politik 'Biadab Nakal'.
"Kejadian tersebut berpunca dari kenakalan politik mengadudombakan rumah Ibadat bagi mencapai cita-cita politik Biadab Nakal.
"Tindak tanduk politik Biadab Nakal ini adalah berpunca apabila mejoriti rakyat pelbagai kaum dan agama menolak dan tidak lagi terpengaruh dengan kenakalan politik golongan ini," katanya.
Percubaan itu jelasnya dilakukan bagi mengharapkan umat Islam kembali berpayung kepada politik murahan Biadab Nakal untuk kelangsungan kuasa mereka.
Lebih malang katanya, apabila suspek yang ditangkap adalah merupakan penganut agama Islam dan mencerminkan ada sesuatu yang silap dalam memberi kefahaman kepada mereka.
"Penangkapan suspek dalam kejadian pembakaran gereja dan surau yang terdiri dari kalangan umat Islam dan kini melemparkan kepala babi ke dalam masjid ternyata gagalnya pihak berkuasa agama Islam dan mereka yang punya kuasa dalam hal ehwal Islam memberikan kefahaman yang jelas betapa Islam sangat memuliakan rumah ibadat," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, perbuatan melempar babi di Masjid Taman Datuk Harun dan Taman Sentosa juga dilakukan oleh orang Melayu sendiri.
"Melemparkan kepala babi yang di bungkus dalam pelastik lutsinar adalah petunjuk ianya di lakukan oleh orang yang jijik dan haram dengan babi.
"Kalau ianya di lakukan oleh orang tidak jijik dan tidak haram dengan babi sudah tentu ianya tidak perlu di letakkan dalam pelastik lutsinar," katanya.
Beliau melahirkan kekesalan dengan beberapa insiden serangan rumah ibadat yang boleh menjejaskan keharmonian hidup rakyat Malaysia.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab menghentikan dan menamatkan politik Biadab Nakal dan usaha memporakperandakan negara orang Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan