Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 52 tahun dan 30-an, ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebiji bom tangan ke arah polis dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang.
Berikutan kejadian itu, polis menemui sepucuk pistol dan lima butir bom tangan dalam kereta yang dinaiki lelaki terbabit, termasuk sebutir bom yang sudah dicabut pin untuk dibaling ke arah polis.
Sehingga jam 9 malam tadi, mayat suspek masih belum dibawa keluar dari tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian depan kerana polis khuatir sebutir bom yang sudah dicabut pin itu akan meletup.
Bom berkenaan terjatuh ke tempat letak kaki penumpang di bahagian depan kereta itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata kedua-dua suspek mati di tempat kejadian tetapi bom yang tercabut pin tidak meletup.
Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, Unit Pemusnah Bom dipanggil bagi meletupkan bom tangan itu.
"Berdasarkan pengecaman ke atas kedua-dua lelaki itu, mereka adalah suspek utama yang diburu berkaitan kes baling bom di Bukit Mertajam, baru-baru ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam ini.
Ayub berkata, sebelum kejadian itu, satu pasukan khas polis negeri yang dibantu anggota dari Bukit Aman mengesan suspek menaiki kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tasek, Sungai Bakap.
Berikutan itu, polis mengekori kereta berkenaan sebelum disedari oleh suspek yang kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.
"Seorang suspek kemudian cuba membaling sebutir bom tangan ke arah anggota polis setelah mencabut pin tetapi gagal kerana terkena tembakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan