Presiden PAS dan Tun Salleh sertai pidato royalti minyak Ku Li

Harakahdaily
KOTA BHARU, 23 Jan:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan khas royalti minyak 28 Januari ini di Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu.
Perhimpunan yang akan bermula dengan Solat Maghrib yang bakal diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan mendengar pidato khas Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi Petronas.

Pidato anggota Parlimen Umno dari Gua Musang itu sangat penting kerana beliau adalah pihak yang berjanji bagi pihak Petronas untuk membayar 5 peratus royalti kepada kerajaan negeri Kelantan jika minyak dibawa keluar dari perairan negeri ini.

Janji itu dibuat Razaleigh melalui perjanjian mengenainya ketika beliau mewakili Petronas ketika membuat perjanjian dengan Kelantan.

28 Januari ini, Tengku Razaleigh dijangka mencerita bagaimana perjanjian itu dibuat dan apakah makna perjanjian itu bagi Kelantan, Petronas dan Malaysia.

Majlis ini dianjurkan oleh Gerak dan Mampat iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan royalti untuk negeri Kelantan dan Terengganu. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan.

28 Januari ini bakal menjadi hari yang penting untuk Kelantan kerana di hari itu ketua-ketua gereja seluruh negara juga akan mengadakan perhimpunan mereka di Kota Bharu.

Ia kemudian disusuli dengan majlis Makan Tengahari dengan Menteri Besar Kelantan bersama ketua-ketua agama lain termasuk para ulama dan sami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan