Siapa Pegawai Khas Nizar kena tahan?

Johari Jaafar
Awal pagi tadi saya menerima panggilan daripada Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Abdul Rahim Mohd Noordin, bertanyakan siapa dia Pegawai Khas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ditahan bersabit dengan isu pasir.

Saya pun terpinga-pinga mendengarnya. Setahu saya tahu pegawai khas Menteri Besar dahulu ada tiga orang, Amran Haron, Mohamad K.Y. Tiang dan Nadarajah. Saya pun hantar SMS kepada Mohamad Tiang bertanyakan hal itu. Dia jawab, tak tahu siapa yang dimaksudkan itu.

Menurut Abdul Rahim, berita itu ada keluar dalam TV malam tadi. Saya kemudian menghubungi Bendahari PAS Perak, Haji Abdul Rahim Md Arif bertanyakan hal itu. Dia pun tidak berapa pasti, kalau nak tahu, hubungi Ismad.

Saya pun menghubungi Penolong Setiausaha PAS Perak, Ismad Shahril Che Mat. Katanya pegawai khas Menteri Besar Perak semasa Ir Nizar dahulu ada tiga orang sahaja, iaitu Amran Haron, Mohamad K.Y. Tiang dan Nadarajah. Mereka sihat sahaja, tidak kena tangkap pun.

Menurut Ismad, ‘Mamat’ yang kena tangkap itu dikenali sebagai Hamzah, mengaku sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, Mohamad Nizar. Mamat upahan mana pulak yang mengaku pegawai khas Nizar?

Saya pun buat satu kesimpulan, ini isu hendak pilihan raya yang dicipta oleh pihak tertentu kerana 9 Februari depan kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin lawan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Umno sekarang sakit `demam panas'. Sekiranya Nizar menang, pastinya Dewan Undangan Negeri(Dun) dibubarkan dan berlakulah pilihan raya di seluruh Dun di negeri ini.

Saya kira ini isu pilihan raya yang sengaja hendak memburuk-burukkan Nizar. Saya cadangkan Pakatan Rakyat khasnya Nizar saman pihak terbabit sekiranya didapati berita itu sengaja direka untuk memburuk-burukkannya.

Sementara itu, Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim yang juga Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak turut mengulas perkara itu di dalam blognya.

Sepanjang hari semalam sehingga larut malam, saya masih menerima panggilan dan sms bertanyakan mengenai berita yang didakwa disiarkan dalam berita di TV3 mengenai pegawai khas kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri (DS) Mohammad Nizar yang dikaitkan dengan siasatan SPRM yang hangat diperkatakan sekarang.

Secara kebetulan berita kelmarin juga dihangatkan dengan surat yang diterima oleh DS Nizar mengenai tarikh 9 Februari yang akan memutuskan keputusan perbicaraaan di Mahkamah Persekutuan pada 5 November tahun lepas.

Saudara Amran Harun adalah Pegawai Khas kepada DS Nizar dan sampai semalam saya bersama beliau dan maklumat yang diberikan kepada saya ialah dalam salah seorang yang ditangkap oleh SPRM, individu tersebut memiliki kad nama yang memperkenalkan dirinya adalah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Setelah diadakan pemeriksaan kembali kepada nama yang terlibat, ianya adalah seorang yang tidak dikenali oleh kami. Semacam satu penyamaran dan suatu yang serius yang saya kira akan disusuli oleh DSN izar sendiri untuk membuat penafian secara tegas dalam kes ini.

Penyamaran adalah sesuatu yang salah dan melanggar hukum negara. Dalam Islam, menyamar menjadi adalah salah apa lagi dengan tujuan untuk memfitnah orang lain. Kerja menyamar adalah kerja iblis dan syaitan dan dia boleh menyamar menjadi siapa sahaja selagi diizinkan oleh Allah.

Tetapi hanya satu sahaja yang tidak boleh ditiru oleh iblis iaitu menyamar menjadi Rasulullah s.a.w., suara atau batang tubuh Nabi.

Kerana itu, saya mengambil sikap sangat berhati-hati dalam soal penyamaran ini, juga saya nasihatkan kepada semua rakan Adun Pakatan Rakyat Perak supaya berjaga-jaga dan berhati-hati dengan usaha sedemikian yang ada kaitan dengan penyamaran di atas.

Kalau ianya adalah provokasi dan konspirasi pihak tertentu dan satu agenda yang terancang, ianya adalah sesuatu yang malang kerana mereka yang bukan menyamar, malah terang lagi bersuluh melakukan rasuah tidak disiasat dan diambil tindakan oleh SPRM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan